addin

Madu penawar pelbagai penyakit

Oleh HM Digital

Satu-satunya makanan di dalam al-Quran yang dinamakan dengan jelas sebagai ubat adalah madu.

Perkara itu dinyatakan menerusi firman Allah yang bermaksud: "Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (daripada pelbagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir." (Surah al-Nahl: 69)

Perkataan 'syifa' pada madu bersifat mengubati secara menyeluruh. Madu sebenarnya mempunyai glukosa dan fruktosa yang tinggi dan ia mudah diserap.

Madu turut mengandungi pelbagai jenis vitamin iaitu A, B1, B2, mineral seperti kalsium, natrium, kalium, magnesium, besi, garam iodin dan radium.

Manakala, sumber makanan haiwan yang menjadi antara makanan yang baik adalah daging burung. Berbanding sumber haiwan lain yang hidup di darat, kumpulan burung atau unggas lebih rendah paras kadar kolesterolnya.

Lemak pada daging burung juga berbeza dengan lemak haiwan ternakan. Lemaknya sudah terpisah dan terdapat pada lapisan kulitnya sahaja. Malah, daging burung juga antara yang menjadi menu di syurga kelak.

Ia dinyatakan di dalam surah al-Waqiah, yang bermaksud: "(Mereka duduk di dalam Syurga itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan permata. Sambil berbaring di atasnya dengan berhadap-hadapan. Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka. Dengan membawa piala-piala minuman dan teko-teko serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir. Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya. Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan daripada jenis yang mereka pilih, serta daging burung daripada jenis yang mereka ingini." (Surah al-Waqiah: 15-21)

Bagaimanapun, persepsi mengenai makanan sunah perlu diperbetulkan. Setiap perkara yang hendak disandarkan kepada Rasulullah SAW perlu kepada kajian terperinci.

Pemakanan sunah itu sebenarnya membawa manfaat kepada roh dan jiwa seseorang yang menerapkan konsep halal dan thayyib.

Perkataan thayyib itu bererti lazat, baik, sihat dan paling utama. Dalam konteks makanan, perkataan thayyib membawa maksud makanan yang tidak kotor atau rosak dari segi zatnya.

Kisah Nabi Musa yang memohon 'manna dan salwa' iaitu makanan berkualiti tinggi yang diturunkan dari langit kepada umatnya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan kami membahagikan mereka (Bani Israil) menjadi dua belas suku, sebagai golongan-golongan besar, dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa, ketika kaumnya meminta air kepadanya: 'Pukullah batu itu dengan tongkatmu.' Maka terpancarlah daripadanya dua belas mata air. Tiap-tiap golongan (di antara mereka) mengetahui tempat masing-masing. Dan Kami naungi mereka dengan awan, dan Kami turunkan kepada mereka 'Mann' dan 'Salwa'. (Lalu Kami berfirman): "Makanlah daripada yang baik-baik yang kami kurniakan kepada kamu. Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (dengan kekufuran mereka), tetapi mereka menganiaya diri sendiri." (Surah al-A'raaf: 160)

Namun, apa juga bentuk makanan yang halal, selamat dan bersih sekalipun perlu diikuti dengan peraturan pemakanan.

Al-Quran di dalam surah al-A'raaf, ayat 31, menyeru manusia supaya sentiasa bersederhana dalam pengambilan makanan.

Rasulullah SAW menekankan keseimbangan sangat penting bagi menjaga kesihatan jasmani dan rohani.

Baginda memberikan panduan dalam pemakanan iaitu dengan konsep satu pertiga adalah untuk makanan, satu pertiga untuk minuman manakala satu pertiga lagi untuk udara (pernafasan).

Penulis wartawan Harian Metro

Disiarkan pada: May 27, 2018 @ 4:40am
d