addin

Adil dalam berpoligami

Oleh Suriany Awaludin

Saya wanita berusia 45 tahun dan mempunyai kerjaya yang baik. Hampir tiga tahun saya hidup bermadu.

Cuma akhir-akhir ini, sikap suami berubah dan dia sudah mula bersikap tidak adil serta sering melebihkan isteri keduanya terutama giliran bermalam di rumah.

Apabila memikirkan keadaan itu menyebabkan timbul perasaan benci dan mahu bercerai.

Bagaimanapun, saya tetap mahu memilih untuk bersabar dan diharap ada jalan penyelesaian. Saya berharap dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik serta suami sedar akan tanggungjawabnya.

Saya tiada masalah dengan madu, cuma berasa terkilan dengan sikap suami yang tidak dapat berlaku adil.

Isteri Duka, Johor Bahru

Poligami adalah isu yang mudah menjadi topik perbincangan dalam masyarakat kita sama ada secara serius atau sekadar untuk berjenaka.

Hukum poligami dalam Islam adalah harus. Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka, maka berkahwinlah (dengan) sesiapa yang baik daripada perempuan-perempuan yang (lain) dua, tiga atau empat.” (Surah an-Nisa’, ayat 3)

Namun, hukum berpoligami berubah menjadi makruh apabila ia dilakukan hanya untuk berseronok, sedangkan suami ragu akan kemampuan dirinya untuk berlaku adil terhadap isteri-isterinya.

Ini kerana poligami itu bukan kerana keperluan dan boleh jadi kesan perkahwinan itu memberi kemudaratan kepada isteri-isterinya disebabkan tidak mampu berlaku adil terhadap mereka.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tinggalkanlah perkara yang meragukan kamu kepada perkara yang tidak meragukan kamu.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Sunat hukumnya apabila suami memerlukan isteri lain. Misalnya, bagi mendapatkan zuriat kerana isteri pertamanya mandul atau sakit atau suami mempunyai keinginan kuat sehingga isteri tidak mampu melayaninya.

Jika suami berkeyakinan mampu berlaku adil terhadap isteri-isterinya zahir dan batin, maka ketika itu tiada halangan baginya untuk berpoligami.

Ini kerana ia mempunyai kebaikan serta maslahat syarak. Ramai dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW berkahwin lebih daripada satu.

Haram hukumnya jika seseorang lelaki ingin berpoligami berasa ‘zhan’ atau yakin dia tidak mampu berlaku adil terhadap isteri-isterinya.

Boleh jadi kerana kemiskinan, kelemahannya atau dia tidak yakin dirinya dapat mengawal kecenderungan dan sifat prejudisnya, hukum poligami pada ketika itu haram kerana ia memberi kemudaratan kepada orang lain.

Sambungan ayat di atas yang mengubah hukum harus kepada haram iaitu: “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang saja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (Surah an-Nisa’, ayat 3)

Apabila suami yakin dirinya tidak akan mampu berlaku adil terhadap isteri-isterinya jika dia tetap memutuskan untuk berpoligami.

Meskipun akad nikahnya sah di sisi syarak, suami tetap menanggung dosa kerana memberi kemudaratan kepada orang lain.

Oleh itu, apabila seorang lelaki hendak berpoligami, dia hendaklah memenuhi syarat ditetapkan terutamanya berlaku adil.

Mufassirin berpendapat, berlaku adil itu wajib. Adil bukan bererti hanya adil terhadap isteri saja, tetapi mengandungi erti berlaku adil secara mutlak.

Setiap isteri berhak mendapatkan hak masing-masing daripada suaminya iaitu kemesraan hubungan jiwa, nafkah makanan, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain.

Isteri berhak mendapat giliran suami menginap di rumahnya sama lamanya dengan waktu menginap di rumah isteri yang lain.

Sekurang-kurangnya suami mesti menginap di rumah seorang isteri satu hari satu malam atau dua hari dua malam atau tiga hari tiga malam.

Diharuskan berpoligami dalam Islam untuk menjaga kepentingan semua pihak. Jika kepentingan itu tidak dapat dijaga dengan baik, berpoligami ketika itu adalah berdosa.

Namun begitu, kupasan berkenaan tanggungjawab suami berpoligami tidak akan memberi penyelesaian jika suami tidak cuba memperbaiki diri.

Sebagai isteri pertama, tindakan puan amat tepat dan dikira sebagai satu perbuatan baik yang disukai Allah SWT.

Ada keadaan kita merasakan diri diuji hebat, walhal kita sendiri belum tentu dapat menghadapinya. Namun, Allah SWT memilih puan mengharungi ujian itu dan tetap berbaik sangka.

Allah SWT lebih mengetahui kemampuan puan. Bagi meneruskan perkahwinan puan, pilihan untuk mempertahankan perkahwinan dengan niat mendapat ganjaran kebaikan, saya mencadangkan puan perlu memulakan satu tindakan berbentuk luahan dan perbincangan daripada hati ke hati bersama suami.

Puan boleh mencadangkan kepada suami aturan hidup berpoligami seperti ditetapkan syarak.

Jika masih belum mampu menyelesaikan masalah, puan boleh membabitkan pihak ketiga terdiri daripada orang yang dihormati suami untuk memberi teguran.

Usahakan juga untuk mendapatkan pertolongan Yang Maha Esa, hanya Dia-lah yang mampu menggerakkan hati manusia.

Sebagaimana tetapnya hati puan mempertahankan perkahwinan, begitu juga kebergantungan puan terhadap Allah SWT untuk memberi penyelesaian terbaik.

Penulis ialah peguam syarie

Disiarkan pada: June 7, 2018 @ 11:23am
d