addin

Anak tidak warisi dosa ibu bapa

Oleh Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

Kemuliaan manusia terletak pada keinsanan dan ketakwaan. Dari segi keinsanan, manusia diangkat menjadi khalifah kepada seluruh ciptaan Allah.

Allah SWT juga memuliakan manusia dengan membekalkan ilmu pengetahuan sebagai panduan hidup.

Satu lagi kemuliaan manusia menerusi keinsanan ialah semua manusia dilahirkan secara fitrah iaitu suci dan bersih.

Seperti seorang bayi yang tidak ada dosa sedikit pun ketika baru dilahirkan. Dalam satu hadis, daripada Abu Hurairah, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seorang bayi tidak dilahirkan (ke dunia ini) melainkan ia berada dalam kesucian (fitrah). Kemudian kedua-dua orang tuanyalah yang akan membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani ataupun Majusi.”

Allah SWT dengan sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang sudah pasti tidak akan membiarkan manusia berdosa melainkan manusia itu melakukannya sendiri.

Ibu bapa bayi itulah yang menentukan imannya kepada Allah SWT. Menjadi tanggungjawab ibu bapa menentukan arah keimanan anak mereka.

Mulianya manusia dari sudut keinsanan ialah dosa seseorang manusia hanya ada pada manusia berkenaan dan tidak boleh diwariskan daripada ibu bapanya atau mewariskan kepada anak mereka.

Tidak benar manusia mewarisi dosa dilakukan Nabi Adam kerana memakan buah larangan ketika berada di syurga.

Al-Quran mencatatkan peristiwa itu setelah mereka dihasut iblis. “Dan kami berfirman: Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga dan makanlah daripada makanannya sepuas-puasnya apa saja kamu berdua sukai dan janganlah kamu hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu daripada golongan orang-orang yang zalim. Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan daripada nikmat yang mereka berada di dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! Sebahagian daripada kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati).” (Surah al-Baqarah, ayat 35-36)

Al-Quran juga mencatatkan sejarah itu dalam Surah Taha, ayat 120-121 yang bermaksud: “Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya dengan berkata: Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap? Kemudian mereka berdua memakan daripada pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari syurga dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (daripada mencapai hajatnya)”

Bagaimanapun, Nabi Adam dan Hawa sudah memohon keampuanan dengan bertaubat bersungguh-sungguh dan Allah SWT menerima taubat mereka sepertimana firman Allah bermaksud: “Kemudian Nabi Adam menerima daripada Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya, sesungguhnya Allah, Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah, ayat 37)

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Jabatan Kimia, Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia

Disiarkan pada: June 7, 2018 @ 11:52am
d