addin

Bentuk golongan muda mesra masjid

Oleh Hilmi Isa

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bertasbih kepada Allah di masjid-masjid yang diperintahkan untuk dimuliakan dan disebut nama-Nya di dalamnya pada waktu pagi dan waktu petang.” (Surah al-Nur, ayat 36)

Masyarakat moden hari ini semakin jauh daripada agama. Mereka tidak nampak kepentingan, faedah dan manfaat pergi ke masjid.

Mereka fikir daripada pergi ke masjid, lebih baik buat kerja lebih masa di pejabat, dapat juga duit. Yang muda sibuk membina hidup dan pulang ke rumah dalam keadaan kepenatan.

Sampai saja di rumah terus tidur tanpa solat. Yang tua pula sibuk di kedai kopi, main dam entah berapa kali haji dan membahaskan isu politik negara mengalahkan menteri.

Sebagai ahli jawatankuasa masjid, kita perlu kreatif bagi menarik lebih ramai masyarakat pergi ke masjid.

Salah satu inisiatif yang baik adalah mewujudkan Almari Rezeki. Almari ini menyediakan barangan keperluan asas harian seperti gula, susu, tepung gandum, bihun dan makanan lain.

Sekurang-kurangnya golongan yang dalam keadaan terdesak kewangan tidak kelaparan. Orang yang berada dalam kesusahan tidak akan bercerita kesusahan mereka.

Orang mempunyai maruah dan berasa malu apabila meminta-minta. Sesetengah orang mempunyai prinsip, biar susah asalkan jangan meminta-minta.

Pada bulan Ramadan lalu, setiap masjid dan surau diadakan majlis berbuka puasa. Itu adalah inisiatif yang sangat baik kerana ketika menunggu waktu berbuka, jemaah dapat mengisi masa dengan berzikir, membaca al-Quran dan berdoa.

Selesai saja berbuka terus dapat solat Maghrib secara berjemaah, seterusnya menunggu masuk waktu solat Isyak dan dapat bertarawih bersama-sama.

Tidak seperti budaya berbuka di rumah yang penuh kelalaian. Sementara menunggu waktu berbuka diisi dengan drama cinta, kemudian makan sehingga terlalu kenyang.

Solat pula dilewatkan sehingga melebihi jam 8 malam. Solat Isyak dan Tarawih tidak pergi kerana badan sudah lesu kerana kekenyangan.

Selain itu, masjid juga perlu dijadikan tempat keilmuan dan ceramah agama perlu diteruskan. Pada masa sama, perhatikan aspek keilmuan orang muda seperti kelas tuisyen untuk pelajar sekolah.

Seminar akademik juga sesuai dianjurkan. Jika tiada kelas tuisyen yang mereka ikuti, pihak masjid boleh anjurkan.

Jika pihak sekolah sudah anjurkan, boleh dirunding supaya ia diadakan di masjid. Sementara menunggu kelas dimulakan, mereka akan solat Maghrib berjemaah terlebih dahulu.

Apabila masuk waktu Isyak, pelajar berkenaan berhenti seketika untuk solat. Tidaklah selepas pulang tuisyen dalam kepenatan mereka terus tidur tanpa solat.

Ibu bapa pula sementara menunggu kelas tamat boleh beriktikaf di masjid.

Hal berkaitan aktiviti sukan juga boleh dianjurkan di pekarangan masjid.

Didik golongan muda bahawa riadah adalah sebahagian daripada ajaran agama. Sekurang-kurangnya mereka akan memakai pakaian menutup aurat ketika beriadah di pekarangan masjid.

Apabila mendengar bacaan al-Quran dimulakan, mereka tahu waktu riadah sudah tamat.

Berbeza jika beriadah di padang. Waktu sudah gelap pun masih lagi leka bermain tanpa menghiraukan azan yang dilaungkan.

Penulis Perunding Psikologi Bahasa

Disiarkan pada: June 29, 2018 @ 5:45am
d