addin

<em> </em>Makruh puasa sunat hari Jumaat saja

Oleh Qira’ah Fatwa

Apakah hukum berpuasa pada hari Sabtu dan Ahad?

Para ulama menjelaskan hukum mengerjakan ibadat puasa sunat semata-mata pada hari Sabtu atau Ahad adalah makruh.

Begitu juga makruh melakukan puasa sunat pada hari Jumaat saja. (Lihat Tuhfatul Muhtaj dalam Hawasyi asy-Syarwani, juzuk 3/458, Nihayatul Muhtaj, juzuk 3/209 & Mughni Muhtaj, juzuk 2/184-185)

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu berpuasa (semata-mata) pada hari Sabtu melainkan apa yang Allah fardukan ke atas kamu. Jika seseorang daripada kamu tidak mendapati (pada hari apa-apa makanan) melainkan satu kulit anggur atau ranting pokok, maka hendaklah ia memamahnya (supaya kamu tidak dinamakan berpuasa pada hari itu).” Riwayat Abu Daud (2421)

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah seseorang daripada kamu berpuasa sunat semata-mata pada hari Jumaat melainkan berpuasa sebelumnya atau sehari selepasnya.” (Hadis riwayat Bukhari :1849 dan Muslim: 1929)

Ulama menyatakan larangan di dalam hadis itu merujuk kepada larangan yang tidak putus (makruh).

Manakala berpuasa semata-mata pada hari Ahad pula diqiyaskan kepada ibadat puasa pada hari Sabtu.

Menurut ulama, sebab menjadikan perbuatan ibadat puasa semata-mata itu makruh adalah kerana hari itu adalah hari yang diagung-agungkan oleh orang Yahudi.

Manakala hari Ahad, hari yang diagung-agungkan oleh Nasrani. (Lihat Hasyiah Qalyubi wal Umairah, juzuk 2/94 & Mughni Muhtaj, juzuk 2/185)

Berkata Imam An-Nawawi, berkata Ashab kami iaitu di kalangan ulama as-Syafii’yyah: Makruh semata-mata berpuasa sunat pada hari Jumaat, namun sekiranya bersambung puasa itu dengan hari sebelum atau selepasnya atau pun bertepatan hari Jumaat itu dengan adatnya sebagai contoh seseorang itu bernazar berpuasa apabila sembuh daripada penyakitnya, maka bertepatan perkara itu pada hari Jumaat maka puasa sunatnya tidak menjadi makruh. (Lihat Al-Majmu[ Syarh al-Muhazzab, Juzuk 6 / 479).

Sekiranya ibadat puasa sunat itu dicantumkan pada hari sebelumnya atau selepasnya, maka tidaklah makruh berpuasa sunat pada hari-hari berkenaan kerana ia tidak lagi menyerupai amalan yang dilakukan mana-mana kaum.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kedua-dua (hari Sabtu dan Ahad ) adalah dua hari raya bagi orang-orang musyrik dan aku mahu perbuatanku berbeza dengan mereka”. (Hadis riwayat Ahmad: 44 /330- 331)

Begitu juga, tidak makruh mengerjakan puasa semata-mata Jumaat, Sabtu atau Ahad sekiranya hari-hari itu dianjurkan oleh syarak untuk berpuasa seperti hari Asyura atau hari Arafah yang jatuh bertepatan pada hari berkenaan.

Atau tidak makruh bagi mereka yang mengerjakan puasa sunat Nabi Daud (puasa selang-seli di antara berpuasa sehari dan berbuka sehari) atau tidak makruh juga mereka yang mengerjakan puasa qada’ atau puasa nazar. (Lihat Nihayatul Muhtaj, Juzuk 3/209)

Sumber: Al-Kafi Li Al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Disiarkan pada: July 9, 2018 @ 3:32pm
d