addin

Hutang ayah atau ibu

Oleh Suriany Awaludin

Bagaimana sekiranya seorang anak pernah meminjam wang daripada ibu atau ayah, namun hutang tidak sempat dibayar sehingga kedua-dua mereka meninggal dunia.

Adakah nilai hutang itu dianggap harta pusaka yang wajib dijelaskan, kemudian dibahagikan kepada adik-beradik lain mengikut hukum faraid?

Harun, Alor Gajah, Melaka

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 282 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya.

Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar), dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu, hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Islam menggalakkan sikap membantu sesama saudara Muslim. Memberi hutang salah satu daripada bentuk bantuan yang boleh diberikan.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa meringankan sebuah kesusahan (kesedihan) seorang Mukmin di dunia, Allah akan meringankan kesusahannya pada hari kiamat. Sesiapa memudahkan urusan seseorang yang dalam keadaan sulit, Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat. Sesiapa menutup aib seseorang, Allah pun akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan sentiasa menolong hamba-Nya, selagi hamba tersebut menolong saudaranya.” (Riwayat Muslim)

Itu adalah galakan bagi mereka yang memberikan kemudahan bagi saudaranya yang berada dalam kesulitan.

Dengan izin Allah, orang seperti itu akan mendapat kemudahan ketika masa penuh kesulitan nanti pada hari kiamat kelak.

Tiada keraguan, menghutangkan harta kepada orang lain adalah perbuatan terpuji yang dianjurkan syariat.

Bahkan, ia lebih utama daripada memberi sedekah. Islam anjurkan antara perkara yang wajib disegerakan di atas dunia ialah membayar hutang.

Seseorang yang tidak melunaskan hutang walaupun mampu berhadapan kesan buruk.

Dalam sebuah hadis dinyatakan, “Sesiapa yang berhutang lalu berniat tidak mahu bayar, maka dia akan bertemu Allah sebagai pencuri.” (Riwayat Ibnu Majah)

“Penangguhan hutang oleh orang yang berkuasa (mampu) membayarnya adalah satu kezaliman.” (Riwayat Ibn Majah)

“Sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seseorang hamba berjumpa dengan Allah selepas dosa besar lain ialah seseorang lelaki yang berjumpa dengan Allah di hari hisab dengan mempunyai hutang yang belum dijelaskan.” (Riwayat Abu Daud)

Berkaitan hutang seorang anak kepada ibu atau bapanya, tetap dikira sebagai hutang yang wajib dibayar.

Ini kerana akad yang dibuat ketika urusan pinjaman itu adalah sebagai hutang.

Hutang itu wajib dibayar sama ada cara bayarannya dinyatakan atau tidak ketika urusan akad berkenaan.

Sebagai anak yang berhutang dengan ibu bapanya, mereka tetap tertakluk kepada tatacara hutang yang ditetapkan Islam.

Sepatutnya hutang itu perlu ditulis dan disaksikan supaya ia boleh dituntut sama ada oleh si pemberi hutang mahupun warisnya.

Jika tiada sebarang catatan mengenai hutang itu, namun diakui dan disahkan si penerima hutang (anak), maka ia tetap wajib dibayar.

Disebabkan ibu dan bapa sudah meninggal dunia, hutang itu akan termasuk di dalam harta pusaka peninggalan ibu bapa.

Selepas dilunaskan hutang, ia perlu diselesaikan pembahagiannya bersama harta pusaka lain menurut hukum faraid.

Melainkan ketika hayat ibu atau bapa pernah menyatakan hutang itu sudah dihalalkan atau pinjaman itu dihibahkan kepada anak yang meminjam, maka tidak perlu dibayar dan dimasukkan dalam senarai harta pusaka ayah ibu untuk pembahagian secara faraid.

Justeru, jika mampu dan sampai tempoh pembayaran, segeralah membayar hutang supaya tidak menimbulkan fitnah dalam kalangan masyarakat serta tidak menjadi orang munafik kerana tidak menepati janji.

Penulis ialah peguam syarie

Disiarkan pada: July 12, 2018 @ 3:20pm
d