addin

<em> </em>Peribadi baik cerminan Islam

Oleh Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

Apakah pandangan umum masyarakat bukan Islam di Malaysia ke atas Islam?

Kebanyakan mereka menggambarkan Islam dalam bentuk negatif, agama yang sensitif dan tidak boleh dibincangkan secara terbuka di khalayak umum.

Malah, ada yang tidak mahu bercakap sedikit pun mengenai Islam kerana ia agama yang asing dan tidak kena mengena dengan mereka.

Sudah tentu yang paling dekat ialah mereka melihat Islam melalui penganutnya Islam itu sendiri.

Itu yang mereka perhatikan dan mendapat idea apa itu Islam dan bagaimana kehidupan seorang Muslim.

Secara logiknya, apabila baik seorang Muslim itu, maka Islam dilihat baik begitulah sebaliknya.

Islam secara umumnya digambarkan sebagai:

• Agama yang banyak larangan dan haram serta menyekat kebebasan individu.

• Agama untuk bangsa tertentu saja seperti agama untuk orang Melayu. Oleh itu, bangsa lain yang menganut Islam bermakna hilang bangsa asalnya atau putus hubungan dengan keluarganya.

• Agama yang susah dipraktikkan kerana terlalu dibebankan dengan ibadat yang terlalu banyak dan memenatkan.

Salah faham dan persepsi masyarakat bukan Islam terhadap Islam seperti yang dinyatakan itu memberi implikasi secara langsung akibat akhlak yang dipamerkan seorang Muslim yang gagal memberi penerangan serta perkongsian terhadap keindahan Islam.

Masyarakat tidak didedahkan secara serius keindahan Islam dan nilai moral yang unik dalam Islam.

Akibatnya mereka hilang minat terhadap Islam dan takut untuk bertanya mengenai Islam kerana bimbang mendapat kecaman bukan hanya daripada masyarakat bukan Islam, tetapi lebih malang orang Islam sendiri yang menyindir kerana dikatakan ‘menceroboh’ hal ehwal Islam.

Pada asalnya mereka mungkin ingin mendapatkan penjelasan dan kepastian, tetapi akhirnya terkubur minat dan keinginan mereka.

Justeru, setiap Muslim mesti mempamerkan akhlak dan peribadi yang baik.

Peribadi seorang Muslim mesti mencerminkan ajaran Islam.

Gambaran Islam yang dilihat melalui orang Islam yang tidak beramal dengan Islam yang sebenarnya memberikan gambaran salah mengenai Islam.

Secara tidak langsung orang Islam sendiri yang ‘merosakkan’ imej Islam.

Sepatutnya, seorang Muslim mempamerkan apa itu Islam. Mungkin ada orang Islam yang menjawab, Muslim bukan manusia sempurna, tetapi apakah mereka maksudkan ajaran Islam adalah mustahil diikuti dan dipraktikkan sepenuhnya seorang Muslim?

Hakikatnya, Muslim belum lagi beramal sepenuhnya dan kembali ke ajaran Islam yang sebenarnya.

Peribadi dan akhlak seorang Muslim pastinya mengambarkan al-Quran sebenar sebagaimana diterangkan oleh Aisyah, ‘Akhlak Rasululullah SAW adalah al-Quran.’

Penulis ialah Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia dan Profesor di Jabatan Kimia, Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia

Disiarkan pada: July 12, 2018 @ 3:30pm
d