addin

Taubat orang terlantar sakit

Oleh Datuk Dr Zahazan Mohamed

Apa yang patut dilakukan buat ahli keluarga yang terlantar di hospital dan tiada harapan lagi untuk sembuh?

Badri, Damansara

Keluarga pesakit digalakkan untuk sentiasa mengingatkannya supaya bertaubat kepada Allah SWT. Perkara itu juga boleh dilakukan sahabat serta orang baik yang datang menziarahinya.

Taubat dituntut daripada seluruh orang Mukmin sebagaimana firman-Nya dalam surah an-Nur ayat 31 bermaksud: “..dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang beriman supaya kamu berjaya.”

Bagaimanapun, taubat bagi orang sakit lebih wajib lagi hukumnya di samping dia lebih memerlukannya kerana besar keuntungannya.

Begitu sebaliknya bagi orang yang lalai. Orang yang berbahagia adalah orang yang segera bertaubat sebelum habis waktunya.

Allah berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 18 yang bermaksud: “Dan tidak ada taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila seorang daripada mereka hampir mati, berkatalah dia, sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini...”

Selain itu, kita juga boleh mengingatkan pesakit supaya berwasiat jika dia belum melaksanakannya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada hak seseorang Muslim yang mempunyai sesuatu yang selayaknya diwasiatkan sesudah bermalam selama dua malam melainkan hendaklah wasiatnya tertulis di sisinya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitu juga apabila pesakit ditakdirkan Allah sembuh daripada penyakitnya, sebaiknya dia dinasihatkan supaya menunaikan apa yang dijanjikannya kepada Allah ketika ditimpa penyakit sebelum ini sebagai tanda kesyukuran kepada Allah.

Allah berfirman dalam surah al-Isra, ayat 34 yang bermaksud: “..dan penuhilah janji (dengan Allah dan manusia), sesungguhnya janji itu akan ditanya.”

Allah juga memuji ahli kebajikan dan ahli takwa dengan firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menepati janjinya apabila mereka berjanji.” (Surah al-Baqarah, ayat 177)

Ulama ada berkata, sepatutnya pesakit mempunyai keinginan untuk memperbaiki akhlaknya, menjauhi pertikaian dan pertentangan mengenai urusan dunia, merasakan bahawa waktu ini adalah waktu terakhirnya di ladang amal sehingga dia perlu mengakhirinya dengan kebajikan.

“Pesakit hendaklah meminta kelapangan dan maaf kepada isteri, anak, keluarga, pembantu, jiran tetangga, temannya dan semua orang yang ada hubungan, pergaulan, persahabatan serta meminta keredaan mereka.

“Hendaklah dia menyibukkan dirinya dengan membaca al-Quran, zikir, kisah orang soleh dan keadaan mereka ketika menghadapi kematian. Hendaklah dia memelihara solatnya dan mengikuti kegiatan keagamaan.

“Usah hiraukan perkataan orang yang mencela atas apa yang dia lakukan. Orang yang mencelanya adalah teman yang tidak baik.

“Di samping itu, hendaklah dia berpesan kepada keluarganya agar bersabar jika dia menghadap-Nya dan jangan meratapinya.

“Hendaklah mereka bersungguh-sungguh mendoakannya kerana doa orang yang hidup itu berguna bagi orang yang mati.” (Disebut oleh Imam Nawawi dalam kitab Majmu’)

Penulis ialah pendakwah

Disiarkan pada: July 13, 2018 @ 11:34am
d