addin

<em> </em>Pembersih sikap orang beriman

Oleh Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

Kehidupan dan realiti umat Islam hari ini banyak menyumbang salah faham yang timbul kepada masyarakat umum khususnya bukan Islam.

Tradisi dan pemahaman orang Islam mengenai Islam hanya dari sudut ibadat khusus seperti solat, puasa dan haji saja menambahkan lagi prasangka bahawa Islam hanya agama ritual yang sempit dan tidak mempunyai hubungan dengan kehidupan masyarakat dan aspek keduniaan.

Menurut mantan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia, Datuk Dr Ismail Ibrahim, sikap sebahagian golongan agamawan yang terlalu keras dengan amaran mengenai dosa dan azab serta perubahan mendadak yang harus diambil serta- merta orang yang hendak menganut Islam kadang-kadang membawa pandangan negatif orang bukan Islam terhadap Islam.

Katanya, itu meninggalkan kesan psikologi yang serius pada persepsi mereka terhadap Islam.

Islam adalah agama universal dan komprehensif bukan saja sesuai untuk segenap zaman, juga meliputi segala aspek dalam kehidupan manusia.

Islam adalah cara hidup yang lengkap bukan saja menumpukan kepada soal akhirat seperti akidah dan ibadat, juga meliputi hal keduniaan seperti ekonomi, adat dan kebudayaan, hubungan kemanusiaan dan banyak lagi.

Salah satu aspek kehidupan yang ditekankan dalam Islam ialah menjaga kebersihan.

Seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 222 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri.”

Islam sangat mementingkan soal kebersihan dan penjagaan kebersihan dalam mewujudkan suasana selesa dalam semua keadaan sama ada ketika beribadat atau tidak.

Islam amat menyukai orang yang cintakan kebersihan kerana ia adalah asas kepada kesihatan yang baik.

Kebersihan juga lambang keperibadian seseorang dan simbol kepada kemajuan sesuatu bangsa dan negara.

Kemajuan dan pembangunan sesebuah negara dan masyarakat bergantung kepada sejauh mana prihatinnya masyarakat dan negara mengenai aspek kebersihan.

Hakikatnya, menjaga kebersihan juga termasuk dalam ciri-ciri orang yang beriman.

Sebelum ini, terdapat laporan media mengenai kutipan sebanyak satu tan longgokan sampah-sarap mengandungi sisa makanan, bekas polisterena, lampin pakai buang, tin minuman dan lain-lain di sepanjang 78 kilometer Lebuhraya Lipis-Gua Musang yang ditinggalkan pengguna jalan raya ketika waktu berbuka dan sahur.

Itu menunjukkan kurangnya kesedaran dan kepentingan mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan.

Mengambil contoh bagaimana keprihatinan masyarakat Jepun terhadap kebersihan. Walaupun bukan beragama Islam, mereka mengambil inisiatif bukan hanya menjaga kebersihan diri malah membersihkan kesekitaran mereka.

Ini terbukti apabila pasukan bola sepak Jepun ketika perlawanan Piala Dunia yang berlangsung di Russia, seluruh dunia menyaksikan dewan persalinan pasukan Jepun bersih selepas digunakan.

Begitu juga dengan sikap penonton Jepun yang membersihkan sekitar stadium selepas tamat perlawanan.

Ia hanya satu ajaran Islam yang diabaikan orang Islam sendiri.

Alangkah indahnya sekiranya umat Islam dapat menunjukkan kehebatan ketamadunan Islam menerusi akhlak Islam.

Sudah pasti imej Islam akan lebih menyerlah dan menjadi tarikan ramai.

Penulis Presiden Persatuan Cina Malaysia (MACMA) dan Profesor di Jabatan Kimia, Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia

Disiarkan pada: July 19, 2018 @ 11:24am
d