addin

Kembalikan keindahan ajaran Islam

Oleh Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

Pemimpin dan ulama Islam seperti Almarhum Abu Aala Maududi menulis sebuah buku bertajuk Towards Understanding Islam khusus untuk memberikan pencerahan mengenai kekeliruan mengenai Islam.

Salah faham itu menyebabkan keunggulan dan keindahan Islam sebagai agama yang diredai Allah SWT tidak terserlah lagi sama ada dari segi ilmiahnya, apatah dari segi praktikalnya.

Perkara itu menyebabkan orang bukan Islam tidak tertarik untuk mendekati Islam, bahkan memusuhinya.

Malah, ada ibu bapa orang bukan Islam melarang anak mereka mendekati Islam.

Anak mereka walaupun diberikan kebebasan memilih agama, tetapi bukan untuk menganut agama Islam.

Lebih malang lagi, ada dalam kalangan umat Islam sendiri meragui agama mereka.

Ketidakyakinan kepada Islam antara lain berpunca daripada cara dan pendekatan sebilangan guru agama dan orang Islam yang cenderung menjatuhkan hukuman sehinggakan Islam dilihat tidak mesra tetapi penuh ancaman dan menakutkan.

Kejadian musibah alam seperti banjir dan ribut terus ditafsirkan sebagai hukuman kepada penduduk di kawasan berkenaan dan selayaknya bagi mereka yang berdosa.

Tafsiran seumpama itu terus menyebabkan orang Islam meragui dan hilang keyakinan terhadap agama yang mereka anuti itu.

Walaupun masih mengakui dirinya beragama Islam, agama Islam hanya dilihat sebagai satu aktiviti ritual dan hanya satu adat budaya bangsa saja.

Umat Islam mempunyai peranan yang amat besar bukan hanya membaik pulih imej Islam pada pandangan orang bukan Islam, juga pada masa sama mesti mengembalikan semula keyakinan umat Islam sendiri terhadap kesyumulan Islam sebagai satu cara hidup yang menyeluruh.

Umat Islam hendaklah mencontohi bagaimana tindak balas Rasulullah SAW dalam menghadapi perbagai situasi dan keadaan.

Islam bukan saja satu agama yang hanya indah dari segi teorinya, malah jauh lebih indah jika dapat diamalkan dalam kehidupan seharian.

Dari segi ilmiahnya, Allah SWT menegaskan Islam adalah agama yang diredai untuk seluruh manusia.

Ini seperti firman-Nya yang bermaksud: “Pada hari ini Aku sempurnakan untuk kamu agamamu dan Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan Aku redai Islam itu agama bagimu.” (Surah al- Maidah, ayat 3)

Allah SWT menekankan sekali lagi: “Sesungguhnya agama yang diredai di sisi Allah ialah Islam.” (Surah Ali Imran, ayat 19)

Keunggulan Islam bukan hanya diketengahkan secara teori dalam buku semata-mata, juga perlu dipamerkan secara amali oleh penganutnya.

Ini masih jauh berbeza dengan realiti umat Islam masa kini. Umat Islam mestilah sentiasa meningkatkan kefahaman mereka terhadap Islam serta menguatkan kerohanian dan membangunkan kemajuan material.

Umat Islam juga mesti menjauhi segala gejala sosial yang juga larangan Allah SWT seperti rasuah, jenayah dan penyimpangan seks.

Kehebatan Muslim sudah tentu akan meningkatkan imej keunggulan Islam.

Penulis ialah Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Jabatan Kimia, Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia

Disiarkan pada: July 26, 2018 @ 11:32am
d