addin

Berusaha untuk khusyuk dalam solat

Oleh Qira’ah Fatwa

Di setiap masjid biasanya ada televisyen yang menayangkan kandungan maklumat secara interaktif seperti tazkirah dan perkara bermanfaat lain.

Adakah solat seseorang itu sah kerana maklumat yang dipaparkan itu mengganggu sedikit kekhusyukan jemaah?

Khusyuk adalah sesuatu yang dituntut. Bahkan, ia dianggap lubuk dan jantung kepada solat.

Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan Uthman bin Affan bermaksud: “Bagi seorang Muslim yang datang padanya solat maktubah (solat fardu), kemudian dia memperelokkan wuduknya, kekhusuyukannya dan rukuknya, dosanya yang lalu akan diampunkan selagi dia tidak melakukan dosa yang besar dan diampunkan (dosanya) pada tahun itu.” (Riwayat Muslim - 565)

Kata Sheikh Ubaidullah al-Mubarakfuri: “Iaitu melakukan segala rukun dengan penuh tawaduk dan merendah diri. Serta buat dengan rukun-rukun itu dengan zahir, batin iaitu dengan hati dan juga anggota tubuh.” (Rujuk Mir’ah al-Mafatih Syarh Mishkah al-Masabih - 3/31)

Berkenaan persoalan yang dikemukakan, pada asasnya disunatkan untuk memandang ke arah tempat sujud.

Ini berdasarkan hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud: “Sesungguhnya pernah sekali Rasulullah menunaikan solat sambil matanya diangkat ke langit. Lalu diturunkan ayat yang bermaksud: ‘Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya’, lalu Baginda menundukkan kepalanya.” (Riwayat al-Baihaqi di dalam - 3683 di dalam Sunannya)

Perbuatan menundukkan kepala dan memfokuskan mata ke tempat tempat sujud membantu untuk khusyuk di dalam solat.

Kata Imam al-Nawawi: “Para ulama bersepakat bahawa perlunya ada khusyuk di dalam solat dan harus menundukkan pandangan daripada apa yang melalaikan serta makruh menoleh-noleh di dalam solat.” (Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab - 3/270)

Makruh hukumnya menoleh dan memandang selain ke arah tempat sujud.

Oleh itu, dengan cara menundukkan kepala dan menumpukan mata ke arah tempat sujud dapat menumpukan sepenuh perhatian di dalam solat.

Antara cara lain untuk khusyuk di dalam solat adalah menutup mata bagi menghalang daripada melihat perkara yang boleh menghalang daripada fokus di dalam solat.

Itulah pandangan yang dinyatakan Imam al-Nawawi. Kata beliau: “Tidak makruh menutup jika ada dia takut adanya kemudaratan.

Ini membolehkannya untuk menggabungkan di antara khusyuk dan tetapnya hati.

Ia juga menghalang daripada pandangan meliar dan menghalang juga daripada terganggunya fikiran.” (Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab - 3/271)

Dalam kitab al-Taqrirat al-Sadidah menyatakan: “Disunatkan menutup mata jika di hadapannya ada sesuatu yang boleh menganggunya.” (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Fi Masail al-Mufidah - halaman 238)

Maka, kami menyimpulkan sunat kepada kita menundukkan kepala dan menumpukan pandangan ke arah tempat sujud.

Diharuskan juga menutup mata bagi menghalang daripada melihat perkara yang boleh merosakkan khusyuk di dalam solat.

Kami juga menasihati pegawai masjid atau surau, seeloknya televisyen atau iklan yang berada di hadapan ditutup sebaik saja iqamat dilaungkan.

Ini supaya jemaah dapat memberi perhatian sepenuhnya ketika solat tanpa diganggu iklan atau tazkirah yang muncul di televisyen itu.

Sumber: Al-Kafi Li Al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 11:53am
d