addin

Tutur kata seorang pemimpin

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Ramai yang ingin menjadi pemimpin. Ia amanah yang bukan bertujuan membawa kemuliaan dan penghormatan.

Setiap pemimpin perlu memastikan kebajikan orang di bawahnya sentiasa terjamin selain menjadi contoh teladan.

Fitrah manusia memang sanggup memikul amanah di atas muka bumi ini.

Kesanggupan itu sebenarnya boleh menjadikan manusia menerima ganjaran besar di akhirat nanti.

Tidak mustahil juga kesanggupan itu menyebabkan manusia dihumban ke dalam api neraka kerana gagal menunaikan tanggungjawab sebaiknya ketika diberi amanah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara yang tidak patut dikerjakan.” (Surah al-Ahzab, ayat 72)

Seorang pemimpin akan sentiasa diperhatikan oleh orang yang dipimpinnya. Apatah lagi dengan kemajuan dunia teknologi hari ini, setiap yang dituturkan golongan pemimpin menjadi perhatian orang ramai.

Apabila pemimpin melakukan perkara tidak baik, ia menjadi ikutan pengikut yang taasub dengan pemimpin berkenaan.

Jika seorang pemimpin mengeluarkan kata-kata kesat ketika berbicara, dia sudah tergelincir daripada landasan seorang pemimpin yang berwibawa.

Begitu juga jika seorang pemimpin gagal menahan kemarahan sehingga khalayak menyaksikan pertikaman lidah tidak bertamadun, itu sesuatu perkara yang menjatuhkan kredibiliti kepemimpinannya.

Tutur kata antara perlakuan yang sukar untuk dikawal manusia termasuk pemimpin.

Manusia berupaya menuturkan apa saja berdasarkan dorongan hati, nafsu dan akal.

Tanpa iman, kata-kata yang dikuasai nafsu akan sentiasa membasahi lidah. Dengan kata-kata, pelbagai perkara boleh terjadi serta mampu mengubah sesuatu keadaan kepada yang baik atau sebaliknya.

Pelbagai masalah dan kejadian buruk boleh berlaku sekiranya gagal menjaga tutur kata.

Sebagai manusia yang sentiasa sedar tujuan penciptaannya di dunia, setiap apa yang dituturkan tidak akan lari daripada catatan malaikat yang sentiasa memerhatikan setiap gerak-gerinya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan melainkan ada di sampingnya malaikat pengawas yang selalu hadir.” (Surah Qaf, ayat 18)

Kini sedang berlangsung Sidang Parlimen Keempat Belas 2018 bagi mesyuarat pertama bermula pada 16 Julai lalu hingga 16 Ogos ini.

Rakyat dengan mudah dapat mengakses perbahasan yang berlangsung di Dewan Rakyat.

Tanpa merujuk kepada Ahli Yang Berhormat daripada pihak kerajaan atau pembangkang, masing-masing perlu lebih peka mengenai adab ketika berhujah.

Rakyat dapat menyaksikan ada dalam kalangan pemimpin ketika sesi perbahasan, fokusnya lari daripada topik serta saling bercakaran yang menampakkan situasi tidak harmoni di dalam dewan yang mulia itu.

Mereka adalah pemimpin yang sepatutnya menjadi contoh ikutan bagi rakyat biasa.

Mana mungkin ada pemimpin yang meninggikan suara tanpa keperluan dalam topik perbahasan.

Begitu juga perihal label-melabel sesama sendiri. Kadangkala kedengaran ejekan itu seolah-olah mereka berada dalam kelas anak-anak di sekolah rendah.

Semua itu tidak patut berlaku di dalam dewan membabitkan pemimpin yang sepatutnya mempamerkan akhlak terpuji ketika berbahas memperjuangkan kepentingan rakyat dan negara.

Setiap pemimpin khususnya dalam kalangan beragama Islam bukan saja perlu memastikan mereka dapat memperjuangkan nasib kehidupan rakyat, malah perlu membawa rakyat bersama-sama menuju ke syurga.

Tidak ada ahli syurga ketika di dunia ini lidahnya sentiasa dibasahi dengan kata-kata kotor melainkan mereka memohon keampunan kepada Allah SWT atas tindakannya yang keterlaluan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seorang lelaki mengucapkan satu kalimah yang dia tidak merasakan apa-apa masalah dengannya (memandang remeh dengan kalimah itu), yang mana ia boleh membawanya kepada tujuh puluh jarak neraka.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Penulis pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Disiarkan pada: August 13, 2018 @ 12:25pm
d