addin

Jalan ke syurga

Oleh Fatimah Syarha Mohd Noordin

Apabila dinyalakan unggun api pada waktu malam, kebiasaannya akan ada serangga datang ke arah cahaya.

Jika terlalu dekat menghampiri api, serta-merta serangga itu mati. Kemudian datang lagi segerombolan serangga lain terbang terburu-buru menerkam unggun api yang sama.

Akhirnya, satu persatu serangga itu mati. Itulah perumpamaan yang Nabi SAW berikan kepada segelintir manusia yang masih berterusan melakukan dosa dan membiarkan diri mereka mendekati api neraka sedikit demi sedikit.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Permisalan diriku adalah seperti orang yang menyalakan api. Ketika api menyinari apa yang ada di sekelilingnya, datanglah anai-anai dan haiwan-haiwan yang jatuh ke dalamnya.

“Sementara itu, orang ini terus berusaha menghalangi mereka daripada api, namun serangga-serangga itu mengabaikannya hingga jatuh ke dalamnya.”

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Itulah permisalan diriku dan diri kalian (umatku). Aku menarik ikat-ikat pinggang kalian untuk menyelamatkan daripada neraka (seraya berseru), ‘Jauhilah neraka! Jauhilah neraka!’ Namun, kalian (kebanyakan umatku) tidak menghiraukanku dan menerjang jatuh ke dalamnya.’” (Riwayat Muslim dalam al-Shahih, Kitabul Fadhail dan Ahmad dalam al-Musnad)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Semua umatku akan masuk syurga kecuali mereka yang enggan.”

Sahabat bertanya: “Siapa yang enggan, wahai Rasulullah? “Orang yang taat kepadaku akan masuk syurga dan orang yang memaksiatiku sungguh enggan (masuk syurga).”

An-Nawawi berkata, maksud hadis itu, Rasulullah SAW menyamakan jatuhnya orang-orang jahil dan menyimpang dalam neraka akhirat kerana kemaksiatan-kemaksiatan dan syahwat, padahal Baginda melarang mereka seperti terjatuhnya anai-anai ke dalam api dunia kerana hawa nafsu dan tidak mampu membezakan (api dan bukan api).

Kedua-duanya (baik manusia yang melakukan kemaksiatan ataupun anai-anai yang memilih api) sama-sama bersemangat atas kebinasaan dirinya. (Syarah sahih Muslim)

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sebahagian diberi petunjuk dan sebahagian lagi pasti kesesatan bagi mereka. Sesungguhnya mereka menjadikan syaitan-syaitan sebagai pelindung (mereka) selain Allah dan mereka mengira bahawa mereka mendapat petunjuk.” (Surah al-A’raf, ayat 30)

Amalan apakah yang paling utama yang boleh menyelamatkan diri kita daripada api neraka?

Tiada syak lagi, amalan paling utama ialah bersaksi tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan bersaksi Nabi Muhammad SAW adalah pesuruh Allah.

Tauhid adalah asas kepada semua amalan. Amalan seseorang tidak akan diterima tanpa pintu masuknya, tauhid.

Analoginya mudah, bayangkan seseorang yang masuk ke universiti, dia belajar dengan tekun dan menyiapkan tugasan dengan baik.

Cuma satu, dia enggan mendaftar sebagai pelajar di universiti itu. Akhirnya dia tidak dibenarkan untuk menerima ijazah kerana pihak universiti mendapati dia tidak pernah membuat pendaftaran pengajiannya di universiti serta tidak pernah membayar yuran.

Walau setinggi mana ilmu dan pencapaiannya, kerana kedegilannya untuk mendaftar menyebabkan dia tidak layak untuk membawa pulang ijazah.

Segala penat lelahnya tidak diiktiraf. Itulah analogi orang yang beramal tanpa terlebih dahulu bersyahadah.

Selepas bukti terbentang dengan begitu jelas bersama dalil wahyu dan dalil akal (saintifik), kesombongan seseorang untuk mengakui wujudnya satu kuasa Maha Pencipta dan mengakui kerasulan utusan-Nya akan mengundang padah.

Kalimah syahadah adalah pintu masuk yang membawa kita mematuhi satu sistem. Di dalamnya ada perintah dan ada larangan.

Jangan risau, yang haram sempit saja manakala yang halal dan dibolehkan jauh lebih luas. Semua orang pasti berbahagia dan menikmati ketenangan hakiki jika benar-benar memahami hikmah di sebalik semua perintah dan larangan yang menyusuli syahadah.

Rasa manis dan lazat tidak akan hadir tanpa mengamalkannya.

Kesimpulannya, kita semua berpotensi untuk masuk ke syurga atau neraka. Selamatkan diri dan keluarga kita daripada jalan menuju ke neraka.

Nabi SAW begitu ingin menyelamatkan umatnya. Rasailah perasaan sama terhadap diri dan keluarga kita. Rasai seperti setiap hari kita perlu menyelamatkan mereka daripada rumah yang terbakar.

Perbaharui syahadah dan teruskan hidup dalam ibadat sama ada ibadat umum atau khusus.

Penulis pendakwah dan penulis buku

Disiarkan pada: August 18, 2018 @ 3:23am
d