addin

Istighfar, taubat hapus dosa

Oleh Fatimah Syarha Mohd Noordin

Istighfar mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT. Ia permohonan ampun kepada Allah atas dosa atau kesalahan yang dilakukan saban hari.

Istighfar disertai dengan niat bertaubat yang ikhlas akan dilafazkan dengan harapan supaya dosa atau kesalahan itu diampunkan Allah.

Sama-sama kita melafazkan astargfirullahal azhim.

Kita sepatutnya melafazkan istighfar pada bila-bila masa saja setiap hari.

Lebih-lebih lagi selepas melakukan sesuatu perkara yang tidak selari dengan syariah.

Selepas melewat-lewatkan solat, merasa diri kita suci seperti tidak ada apa-apa kesalahan, kita perlu segera beristighfar.

Kita bukan malaikat dan nabi. Baginda yang maksum dan sudah dijamin syurga untuknya itu pun masih melafazkan istighfar 100 kali sehari.

Sabda Nabi yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali.” (Hadis Riwayat Muslim)

Bahkan, Nabi yang tinggi darjatnya di sisi Allah sendiri pernah tersilap dan menunjukkan akhlak segera memerdekakan diri daripada kesalahan itu dengan sepantas-pantasnya taubat.

Nabi Adam pernah mendekati pokok larangan. Nabi Yunus pernah meninggalkan kaumnya sehingga dihukum dengan ditelan ke perut ikan nun.

Nabi Musa pernah menarik janggut Nabi Harun kerana marah.

Nabi Muhammad SAW pernah berpaling daripada Abdullah bin Ummi Makhtum dengan muka masam kerana keutamaan lain pada saat itu.

Lumrah anak Adam, semuanya pernah tersilap dan sebaik-baik insan yang melakukan kesilapan ialah bertaubat.

Berputus asa daripada rahmat Allah juga satu dosa.

Begitu Maha Pengampunnya Allah mahukan kita terus bebas dan merdeka daripada belenggu dosa dan mulakan detik indah hidup yang baru dengan taubat.

Lafaz istighfar paling sempurna adalah sebagaimana diajar Nabi dalam ‘sayyidul istighfar’.

Lafaz istighfar mengajar kita penuh adab dan etika kerana didahului dengan pujian-pujian kepada Tuhan yang Maha Agung.

Selepas memuji Allah secara panjang lebar, barulah meminta sesuatu.

Penghulu istighfar adalah apabila kita mengucapkan (maksudnya): “Ya Allah, Engkau Tuhanku, tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkau menciptakanku dan hamba-Mu, dan aku (terikat) dengan janji-Mu semampu yang aku boleh laksanakan, aku mohon perlindungan-Mu dari kejahatan yang aku lakukan, aku mengakui bahawa semua nikmat yang Engkau berikan kepadaku adalah milik-Mu, dan aku mengakui terhadap dosa-dosaku. Oleh itu ampunilah aku, sesungguhnya tiada yang dapat memberi keampunan kecuali Engkau.”(Riwayat Bukhari daripada Syadad bin Aus)

Sabda Rasulullah lanjutan daripada hadis itu: “Barang siapa mengucapkan pada siang hari dan meyakininya, lalu dia mati pada hari itu sebelum petang, maka dia termasuk penghuni syurga. Dan barang siapa mengucapkannya pada malam hari dalam meyakininya, lalu dia mati sebelum waktu pagi, maka dia termasuk penghuni syurga.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Allahu Akbar! Bacaan itu meliputi makna taubat di samping lafaz keimanan. Bacaan itu juga mengandungi kemurnian ibadat dan kesempurnaan serta pengharapan kepada Allah.

Ia juga lafaz yang mengungkap tauhid rububiyah dan uluhiyyah.

Lafaz yang mengandungi pengakuan yang sangat tulus ikhlas daripada seorang hamba serta mengandungi doa perlindungan daripada kejahatan yang kita lakukan.

Pengakuan bahawa tidak ada yang dapat mengampunkan dosa melainkan Allah serta bebas daripada api neraka adalah kemerdekaan hakiki.

Masuk dalam syurga itu adalah kebebasan abadi.

Mendapat kebebasan abadi adalah erti kejayaan seorang hamba yang mencari Ilahi. Perhambaannya hanya mutlak milik Ilahi, bukan sesiapa dalam kalangan makhluknya.

Semoga Allah memberikan kekuatan dan kesempatan kepada kita untuk mengamalkan zikir ini.

Penulis ialah pendakwah dan penulis buku

Disiarkan pada: August 25, 2018 @ 1:35pm
d