addin

Ujian penghapus dosa, diberi pahala

Oleh Kembara Mukmin

Peribahasa Melayu ada mengatakan, ‘Laut mana tidak bergelora, bumi mana tidak ditimpa hujan’.

Begitu juga kepada diri manusia yang sentiasa melakukan kesilapan dan ada kalanya usaha sudah dilakukan, namun berdepan dengan kesukaran dan cabaran.

Allah SWT menjadikan dua perkara kepada manusia dalam hidup ini untuk merapatkan diri kepada-Nya iaitu ujian dan hajat.

Ujian kadang-kadang membolehkan seseorang itu dapat bangun menunaikan solat malam dan berdoa sehingga menitiskan air mata.

Begitu juga dengan hajat, apabila seseorang itu mempunyai harapan dia pasti akan memohon kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh.

Sebab itu, amat malang sekali bagi manusia apabila ditimpa ujian dan berhajatkan sesuatu, dia semakin jauh daripada Allah SWT.

Contohnya, seorang itu diuji dengan masalah keluarga atau di tempat kerja, namun dia tidak pula menjalankan kewajipannya menunaikan solat sebagai tanda pengabdian dan memohon pertolongan Yang Maha Esa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

“Dan demi sesungguhnya! Kami menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya mengenai orang-orang yang berdusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Dalam ayat itu, Allah SWT merakamkan adakah manusia itu menganggap diri mereka orang Islam dan beriman kepada-Nya, namun tidak diuji. Padahal, Allah turut menguji umat-umat terdahulu. Contohnya, pada zaman Nabi Musa AS, kaum Bani Israel diuji apabila seorang raja dikenali sebagai Firaun menzalimi bangsa berkenaan dengan kejam terutamanya membunuh bayi lelaki serta menjadikan penduduk berpecah-belah.

Setiap ujian yang ditimpakan ke atas manusia itu menyempitkan hati mereka. Misalnya, dalam hidup ini ada manusia yang diuji dengan kekurangan harta benda dan wang untuk menyara diri dan keluarga yang sentiasa tidak cukup.

Ada juga diuji sebaliknya iaitu mereka hidup dalam keadaan mewah dan banyak harta tetapi diuji pula dengan kesihatan yang memudaratkan.

Selain itu, ada juga manusia diuji di dunia ini dengan fitnah serta dia dianiaya orang.

Sebab itu, jangan sesekali bandingkan kebahagiaan kita dengan orang lain kerana nanti kita tidak akan temui kebahagiaan dalam hidup ini.

Walau sebesar mana sekalipun ujian dan masalah yang dihadapi, Allah SWT pasti akan memberi jalan keluar kepada hamba-hamba-Nya dengan syarat mereka benar-benar bertakwa.

Firman Allah yang bermaksud: “Kalau kita beriman kepada Allah SWT, maka Allah beri dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah at-Talaaq, ayat 3)

Tujuan Allah SWT menguji setiap hamba-Nya adalah untuk menunjukkan kekuasaan-Nya kerana manusia itu sangat lemah sifatnya.

Sekiranya ada dalam kalangan kita yang berjaya pada hari ini, jangan riyak atau sombong kerana di hadapan Allah, kita tetap hamba-Nya.

Manusia juga diuji kerana Allah mahu gantikan perkara yang lebih baik buat mereka yang sabar menghadapinya.

Contohnya, seorang hilang kasut ketika menunaikan solat di masjid. Ketika keluar masjid pasti dia susah hati.

Namun, cuba tenangkan hati dengan meredai kehilangan itu. Berdoalah kepada Allah supaya digantikan kehilangan itu dengan yang lebih baik. Itulah sikap yang sepatutnya ada pada diri seorang Mukmin.

Selain itu, Allah SWT menimpakan ujian buat manusia kerana ingin memberikan pahala. Banyak pahala yang boleh diperoleh antaranya pahala bersikap sabar dan bersangka baik terhadap Allah.

Mungkin seorang itu kurang pahala dari sudut ibadat, namun Allah SWT mendatangkan pahala daripada jalan bukan ibadat.

Disiarkan pada: August 28, 2018 @ 11:51am
d