addin

Penetapan tahun hijrah

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Esok bermula hari dan bulan pertama dalam kalendar Islam bagi tahun 1440 Hijrah.

Ini bermakna sudah 1440 tahun berlalu pengorbanan Rasulullah SAW dan sahabat berhijrah dari Makkah ke Madinah untuk mendaulatkan Islam.

Tanggal 1 Muharam sebenarnya bukan tarikh penghijrahan Baginda tiba di Madinah.

Takwim Hijri dengan Hijrah Rasulullah ialah tahun perkiraan pertama yang mengambil kira tahun pertama Rasulullah dan sahabat berhijrah ke Madinah.

Menurut pengkaji sejarah Islam, hijrah Rasulullah SAW berlaku dalam bulan Rabiulawal.

Itu fakta yang perlu difahami. Seluruh umat Islam sepatutnya bangga kerana mereka termasuk dalam kalangan umat yang memiliki tamadun dan peradaban tinggi.

Berdasarkan sejarah, banyak usaha dilakukan sarjana Islam dalam menzahirkan ketinggian martabat Islam bukan saja membabitkan lurusan agama berbentuk ibadat khusus, malah mencakupi segenap aspek kehidupan.

Ini termasuk bidang perundangan, ekonomi, perubatan dan teknologi.

Semua itu membuktikan Islam agama yang tidak sesekali menolak kemajuan, malah sarjana Islam terus mendahului sarjana lain mengkaji pelbagai bidang untuk manfaat manusia.

Kewujudan kalendar Islam satu daripada bukti Islam terus mencipta kegemilangan tamadunnya.

Usaha itu dilakukan Saidina ‘Umar bin al-Khattab. Beliau memilih bulan Muharam sebagai bulan pertama dalam Takwim Hijri.

Adakah Saidina ‘Umar orang pertama menetapkan bulan dalam Islam?

Saidina ‘Umar adalah orang yang dikenal pasti menggunakan semua 12 bulan itu dalam menentukan Takwim Hijri kerana masyarakat Arab sebelum itu tidak mempunyai kiraan tahun yang sistematik.

Ketika Rasulullah SAW masih hidup, Baginda menjelaskan sesetengah ibadat dalam Islam menggunakan bulan Islam.

Ibadat puasa contohnya dilakukan dalam bulan Ramadan dan ibadat haji dilakukan dalam bulan Zulhijjah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan (yang ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati…” (Surah at-Taubah, ayat 36)

Nama bulan hijrah yang digunakan sekarang sebenarnya diambil daripada nama bulan digunakan orang Arab sebelum kedatangan Islam lagi.

Cuma masyarakat Arab tidak mempunyai kiraan tahun seperti bangsa Rumawi yang mempunyai kiraan tahun Masihi.

Pada mulanya, terdapat pelbagai cadangan diberikan kepada Saidina Umar berkenaan perkiraan tahun bagi umat Islam.

Terdapat cadangan yang menyarankan supaya tahun Islam dikira mengikut tahun kelahiran Rasulullah SAW.

Ada juga mencadangkan tahun kewafatan Rasulullah SAW dijadikan asas dalam menetapkan tahun dalam takwim Islam.

Saidina Umar memilih untuk menetapkan perkiraan tahun bagi takwim Islam berdasarkan tahun hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah.

Oleh itu, tahun di mana Rasulullah SAW berhijrahke Madinah dijadikan sebagai tahun pertama dalam takwim Islam.

Selepas mendapat persetujuan penetapan tahun pertama dalam takwim Islam, timbul pula persoalan bulan pertama dalam Takwim Hijri.

Saidina Umar memilih bulan Muharam sebagai bulan pertama. Ini disebabkan Muharam adalah bulan umat Islam yang baru saja melaksanakan ibadat haji.

Ibn Kathir menyebut dalam karyanya, al-Bidayahwa al-Nihayah: Kata Muhammad bin Sirin: Seorang lelaki datang kepada Umar dan berkata: “Tetapkan tarikh seperti orang bukan Arab lakukan dengan menulis pada bulan tertentu dan tahun tertentu.”

Jawab Umar: “Cadangan yang baik.” Mereka berkata: “Tahun bila kita hendak mulakan?” Ada yang mencadangkan tahun kebangkitan Nabi SAW, ada pula cadangan tahun kewafatan dan lain-lain.

Lalu mereka bersetuju tahun Baginda berhijrah. Lalu mereka bertanya lagi: “Bulan manakah hendak kita mulakan?”

Ada yang mencadangkan Ramadan. Ada yang mencadangkan Muharam kerana ia bulan orang ramai baru saja selesai menunaikan haji dan termasuk dalam bulan haram.

Lalu mereka bersetuju menjadikan Muharam bulan yang pertama.

Begitulah serba ringkas mengenai sejarah penetapan tahun Hijrah dan pemilihan Muharam sebagai bulan pertama dalam sistem perkiraannya.

Perkara itu perlu diketahui kerana ia adalah sejarah yang menjadi bukti Islam mempunyai tamadun unggul satu masa dahulu.

Ramai dalam kalangan kita tidak mengetahui sistem perkiraan tahun hijrah dan bulan yang terdapat di dalamnya.

Menjadi tanggungjawab kita semua untuk mengekalkan penggunaan sistem Takwim Hijri dalam urusan seharian.

Tidak bermaksud kita wajib meninggalkan penggunaan sistem kalendar Masihi namun jangan sesekali tinggalkan sistem Takwim Hijri yang kita warisi daripada tokoh terbilang dalam sejarah Islam.

Sempena kedatangan tahun baharu ini, kita perlu berazam supaya setiap hari dan bulan yang berlalu dalam tahun ini dipenuhi amal ibadat.

Penulis pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Disiarkan pada: September 10, 2018 @ 10:40am
d