addin

Kewajipan berbakti kepada ibu bapa

Oleh Sedetik Rasa

Nabi Muhammad SAW mengingatkan, keredaan Allah itu bergantung kepada keredaan ibu bapa.

Begitu juga, kemurk aan Allah bergantung kepada kemurkaan ibu bapa.

Sebenarnya, tiada ruang waktu di dalam hati seorang ibu melainkan sentiasa teringatkan serta mendoakan kebahagiaan dan kesejahteraan buat anaknya walaupun mereka sudah dewasa dan berkeluarga.

Doa ibu itulah sebenarnya yang menjadi pembuka pintu hidayah buat anaknya.

Dalam Surah an-Nahl, ayat 78, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun dan Dia memberikan kepadamu pendengaran, penglihatan dan hati supaya kamu bersyukur.”

Apabila manusia dilahirkan ke dunia ini, ibulah orang pertama mengajar segala-galanya kepada si anak.

Bayi akan menangis semahu-mahunya kerana mendapati diri dalam keadaan begitu asing ketika baru dilahirkan.

Dakapan ibulah yang menenangkan bayi ketika itu. Ibu kemudian mengajar bayinya menyusu bagi menikmati rezeki yang baik dan menyihatkan itu.

Justeru, hati ibu jangan dibiarkan terluka. Jika itu terjadi, maka ia akan menutup petunjuk Allah SWT selain mendatangkan malapetaka kepada kehidupan anak.

Ali bin Abu Talib meriwayatkan: “Aku mendengar Nabi Muhammad SAW berkata, ‘Aku berlepas diri daripada orang yang tidak memenuhi hak kedua-dua orang tuanya.’

“Aku bertanya, ‘Ya Rasulullah, bagaimana sekiranya orang itu tidak memiliki apa-apa yang dapat diberikan kepada orang tuanya?’

“Nabi menjawab, ‘Apabila mendengar kata-kata orang tua itu, jawablah, ‘Aku dengar dan aku taat, jangan berkata ‘ah’ dan jangan membentak mereka dan katakanlah kata-kata yang baik.’”

Al-Quran, sunah dan ijmak ulama menegaskan, hukum berbakti kepada orang tua itu adalah wajib.

Dalam Surah al-An’am, ayat 151, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Marilah kubacakan apa yang Allah haramkan ke atas kamu iaitu janganlah kamu mempersekutukannya dengan sesuatu pun dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapamu.”

Allah SWT melanjutkan usia orang tua sehingga dapat membesarkan kita, itu satu nikmat yang cukup besar.

Orang tua kita tidak pernah meminta jasa mereka dibalas. Cukup bagi mereka untuk melihat semua anaknya bahagia dan berjaya.

Bagaimana pula bagi mereka yang sudah ketiadaan insan mulia itu di dunia ini? Mungkin ramai menganggap, mereka sebenarnya tidak puas berbakti kepada orang tuanya.

Ada juga menyesal atas perbuatan mereka dahulu yang pernah melukakan hati atau tidak patuh kepada orang tuanya.

Apabila melalui detik kehilangan itu, barulah hadir perasaan rindu. Sekiranya masa itu dapat diundur, sudah pasti hendak saja anak itu sentiasa berbuat baik serta memohon keampunan kepada ibu bapa mereka.

Bagaimanapun, janganlah berasa terlalu kecewa kerana peluang itu sebenarnya masih ada.

Seorang ulama besar, al-Faqih Uthman bin Hasan bin Ahmad mengatakan, ada orang yang pernah bertanya kepadanya, masih adakah kesempatan bagi seorang anak berbakti kepada orang tuanya yang sudah meninggal dunia.

Beliau menjawab, “Lakukanlah tiga perkara iaitu jadilah anak yang soleh, bersilaturahim dengan kaum kerabat dan sahabat-sahabat orang tuamu dan memohon keampunan serta mendoakan rahmat Allah untuk mereka.”

Jelas kepada kita, masih ada cara untuk berbakti kepada orang tua yang sudah meninggal dunia iaitu mendoakan mereka, memohon keampunan untuk mereka, melaksanakan wasiat mereka, menghubungkan silaturahim dan menghormati sahabat mereka.

Selain itu, salah satu cara adalah dengan bersedekah atau infaqkan harta yang pahalanya diniatkan untuk orang tua kita.

Seorang sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, bagaimana sekiranya dia sudah tidak mempunyai ibu dan bapa di dunia ini, apakah yang perlu dia lakukan?”

Nabi menjawab: “Bersedekahlah untuk kedua-dua ibu bapa dengan membaca al-Quran atau mendoakan mereka.

“Apabila ada anak yang mengabaikan hal itu, dia menderhaka kepada ibu bapanya. Sesiapa yang menderhaka kepada orang tua, dia berdosa besar.”

Disiarkan pada: September 12, 2018 @ 12:16pm
d