addin

Belum daftar dah dicerai

Oleh Suriany Awaludin

Seorang sahabat saya bernikah di Thailand tiga tahun lalu. Bagaimanapun perkahwinan mereka tidak pernah didaftarkan di Malaysia. Pada Mei lalu, dia diceraikan suaminya melalui panggilan telefon dan selepas itu mereka tidak pernah berhubung dan bertemu lagi.

Perkahwinan mereka tidak dikurniakan anak. Kini, wanita itu sudah menjalin hubungan pula dengan lelaki lain dan bercadang berkahwin. Bagaimana dia boleh melaksanakan perkahwinan sedangkan tidak mengetahui secara jelas berhubung perceraiannya sebelum ini?

Apakah tindakan yang perlu dilakukan kerana wanita ini diceraikan dan ditinggalkan begitu saja oleh bekas suaminya.

Hazwany, Segambut, Kuala Lumpur

Mana-mana perkahwinan dilangsungkan tanpa kebenaran pihak berkuasa adalah satu kesalahan dan boleh dihukum. Peraturan itu disediakan pemerintah di Malaysia untuk menguruskan dan mengawal selia kehidupan umat Islam.

Setiap negeri ditubuhkan Jabatan Agama Islam untuk mentadbir perkara berkaitan dengan undang-undang di bawah peruntukan pentadbiran agama Islam.

Justeru, setiap perkahwinan perlu mendapat kebenaran Jabatan Agama Islam Negeri. Melalui Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984, Seksyen 16, diperuntukkan mengenai permohonan untuk kebenaran berkahwin iaitu;

(1) Apabila dikehendaki untuk mengakadnikahkan sesuatu perkahwinan dalam Wilayah Persekutuan, tiap-tiap pihak kepada perkahwinan yang dicadangkan itu hendaklah memohon dalam borang yang ditetapkan untuk kebenaran berkahwin kepada pendaftar bagi kariah masjid di mana pihak perempuan itu bermastautin.

Sekiranya gagal mendapatkan kebenaran dan berkahwin tanpa mana-mana kebenaran di bawah Akta Undang-Undang Keluarga di atas, itu adalah kesalahan di bawah Seksyen 40 yang memperuntukkan:

(1) Mana-mana orang yang diketahuinya mengakadnikahkan atau menjalankan upacara sesuatu perkahwinan

(a) Tanpa ada kebenaran berkahwin sebagaimana dikehendaki oleh seksyen 19; atau

(b) Di hadapan sekurang-kurangnya dua orang saksi yang boleh dipercayai selain orang yang mengakadnikahkan perkahwinan itu, melakukan kesalahan itu hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Merujuk persoalan pembaca, berikutan perkahwinan dilangsungkan di Thailand dan tidak didaftarkan di Malaysia, sudah pasti perkahwinan itu bertentangan dengan undang-undang dan ia tidak direkodkan di Malaysia.

Maka, apa-apa yang berlaku dalam perkahwinan itu tidak dapat diambil tindakan sesuai di bawah undang-undang Malaysia. Ia seolah-olah perkahwinan yang tidak wujud.

Bagi mencari penyelesaian, perkahwinan yang kedua wanita itu tiada sebarang syak wasangka khususnya berkaitan hukum. Maka, dia perlu selesaikan terlebih dulu masalah perkahwinannya yang pertama.

Setiap perkahwinan yang dilangsungkan tanpa kebenaran di luar negara hendaklah didaftarkan dan perlu melalui prosedur yang ditetapkan.

Tindakan awal yang perlu dilakukan adalah pihak kepada perkahwinan itu atau pemohon hendaklah hadir ke Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk merujuk permohonan pendaftaran nikah.

Selepas dijalankan siasatan awal dan mendapati pernikahan itu perlu disahkan terlebih dulu, maka satu surat arahan akan diserahkan kepada pemohon untuk hadir ke Mahkamah Syariah bagi mendapat pengesahan pernikahan dan perintah daftar pernikahan.

Ketika memohon untuk mengesahkan pernikahan itu, pemohon perlu menyediakan semua dokumen dan bukti yang cukup bagi menyokong permohonan mereka.

Pada peringkat itu, setiap permohonan yang dibuat di hadapan mahkamah hendaklah memenuhi rukun dan syarat nikah.

Rukun dan syarat nikah itu sangat penting untuk dipenuhi. Dalam permohonan itu juga, kegagalan meyakinkan pihak mahkamah mengenai segala rukun dan syarat nikah akan menyebabkan pemohon gagal mendapatkan pengesahan nikah serta perintah pendaftaran nikah.

Setelah mendapat perintah daftar daripada Mahkamah Syariah, pemohon hendaklah hadir ke JAWI untuk proses pendaftaran nikah.

Pemohon perlu hadir ke Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga JAWI dan mengisi Borang Permohonan Pendaftaran Pernikahan Luar Negara.

Setelah berjaya mendapatkan pengesahan dan dokumen pendaftaran nikah, wanita itu hendaklah memohon kepada Mahkamah Syariah pengesahan perceraiannya.

Selepas menjalankan siasatan, mahkamah akan membuat penghakiman mengenai kedudukan perkahwinan wanita itu untuk menentukan iddahnya dengan tepat.

Pada peringkat permohonan untuk mengesahkan perceraian, wanita itu perlu menyediakan semua bukti sokongan dalam bentuk dokumen atau saksi sekiranya ada. Ini dapat memudahkan urusan perbicaraan kes selain memastikan ia berjalan lancar. Keperluan pengesahan cerai dan penetapan iddah amat penting sebelum pernikahan baru atau kedua dilangsungkan bagi mengelakkan berlakunya kecacatan kepada sahnya nikah kedua berkenaan.

Penulis ialah peguam syarie

Disiarkan pada: September 13, 2018 @ 12:46pm
d