addin

Beri tumpuan ketika bacaan khutbah

Oleh Qira’ah Fatwa

Ketika mendengar khutbah Jumaat kadangkala ada jemaah berasa mengantuk. Apakah yang boleh dilakukan untuk mengelakkan hal itu?

Mendengar khutbah Ju-maat adalah dituntut. Sekalipun fuqaha berbeza pendapat mengenai hukumnya antara wajib dan sunat, ia tetap menjadi tuntutan dan keutamaan bagi mereka yang hadir untuk mendengar khutbah dengan teliti.

Terdapat dua perkara menjadikan seseorang itu dianggap sebagai lagha solat Jumaatnya seperti berikut:

1. Perkataan

Sebarang ucapan dan perkataan yang berlaku ketika khutbah Jumaat sedang berlangsung menyebabkan pelakunya menjadi lagha.

Ini berdasarkan satu riwayat daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu berkata kepada sahabat kamu: ‘Diamlah’ ketika imam sedang berkhutbah pada hari Jumaat, maka sesungguhnya kamu telah lagha. (Riwayat al-Bukhari - 934)

Hadis itu menjadi dalil bahawa sebarang ucapan sekalipun berbentuk amar makruf (arahan kepada kebaikan) dilarang ketika khutbah sedang berlangsung serta menyebabkan pelakunya menjadi lagha. Pengertian lagha di sisi ulama membawa kepada makna berikut:

1. Tidak mendapat sebarang pahala.

2. Fadilat Jumaat seseorang itu terbatal.

3. Solat Jumaatnya menjadi solat Zuhur saja.

Berdasarkan hadis itu juga, dalalah al-muwafaqah (petunjuk yang bertepatan) membawa kepada larangan berkata-kata ketika khutbah.

Sekalipun ucapan ‘diamlah’ itu suatu amar makruf, ia dianggap sebagai lagha. Maka ucapan selain daripada itu adalah lebih utama untuk dinilai sebagai lagha.

2. Perbuatan anggota badan

Sebarang pergerakan dan perbuatan menyebabkan hilang tumpuan dan fokus kepada khutbah yang disampaikan turut menyebabkan seseorang itu menjadi lagha. Satu riwayat daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berwuduk dan dia perelokkan wuduknya, kemudian dia pergi menuju solat Jumaat serta mendengar (khutbah) dengan teliti, dan diam (ketika khutbah), akan diampunkan dosa-dosanya dalam tempoh antara dirinya dan juga hari Jumaat (yang akan datang) serta pertambahan tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain dengan batu kecil, maka dia lagha. (Riwayat Muslim - 857)

Berdasarkan hadis di atas, dapatlah difahami perbuatan bermain-main batu kecil ketika khatib sedang berkhutbah adalah dilarang. Ia menjadikan pelakunya lagha. Hal itu diluaskan lagi kepada perbuatan lain menyebabkan hilangnya tumpuan dalam mendengar isi khutbah seperti bermain telefon bimbit dan menyibukkan diri dengan tasbih.

Namun, terdapat pengecualian ke atas perbuatan yang dapat membantu menambahkan fokus mendengar khutbah. Terutamanya perbuatan yang dapat menghilangkan rasa mengantuk ketika khutbah dibacakan.

Satu riwayat daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang kamu mengantuk ketika dia berada di dalam masjid (pada hari Jumaat), maka hendaklah dia beralih kedudukan dari tempat duduknya itu kepada tempat yang lain. (Riwayat Abu Daud - 1119)

Hadis itu menunjukkan, tidaklah semua pergerakan anggota badan itu dilarang ketika khutbah, tetapi perbuatan seperti beralih kedudukan dari satu tempat ke tempat lain itu dibolehkan, bahkan disunatkan dengan tujuan untuk mengelakkan rasa mengantuk serta dapat terus fokus mendengar khutbah.

Berikut adalah hikmah perbuatan beralih kedudukan ini:

• Pergerakan dapat menghilangkan rasa mengantuk.

• Tempat duduknya yang menyebabkan dia tidur itu terdapat padanya syaitan.

Dua hikmah itu disebutbutkan oleh al-Sayyid Muhammad Siddiq Hasan di dalam kitabnya, Al-Diin al-Khaalis (4/145-146).

Maka, perbuatan dan pergerakan seperti itu tidak dilarang dan dianggap sebagai lagha. Bahkan, ia suatu yang dituntut lagi disunatkan.

Kesimpulannya, seseorang yang rasa mengantuk ketika khutbah disunatkan beralih kedudukan tempat duduknya ke tempat lain di dalam masjid.

Bagaimanapun, memandangkan suasana setempat kita pada hari ini saf sudahpun penuh ketika khutbah, maka tidaklah perlu seseorang yang berasa mengantuk beralih tempat lain sehingga menyebabkan mengganggu jemaah lain.

Dibolehkan untuk melakukan perbuatan lain yang dapat menghilangkan mengantuk seperti memicit leher atau badannya.

Sumber: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Disiarkan pada: September 17, 2018 @ 12:14pm
d