addin

Hati bersih elak ungkapan keji

Oleh Kembara Mukmin

Dalam satu hadis dinyatakan, tiga sifat atau perilaku mulia yang memberi kesan kepada pelakunya serta orang lain.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat hendaklah dia mengucapkan perkataan yang baik atau (jika tidak dapat) lebih baik diam sahaja. Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis itu menjelaskan, antara kesempurnaan iman ialah seorang hamba sentiasa menuturkan kata-kata yang baik dan sedaya upaya menahan diri daripada bercakap kotor atau menyakitkan hati orang lain.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Anas, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Iman seseorang tidak akan sempurna kecuali apabila hatinya bersih. Dan hati seseorang tidak akan bersih apabila lisannya terjaga daripada ucapan yang kotor dan keji.”

Sebab itu, setiap kali hendak mula berbicara atau mengeluarkan sebarang kenyataan, teliti dan fikir dahulu kesannya.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Antara tanda keislaman seseorang sudah baik, dia mampu meninggalkan hal-hal yang tidak berguna baginya.” (Sunan Tirmizi dan Ibnu Majah)

Malah, apabila seseorang membicarakan hal tidak berfaedah pasti akan mengurangkan pahalanya serta salah satu sebab menjadi penghalang dirinya masuk syurga.

Begitu juga cuba elakkan diri daripada banyak berbicara meskipun perkara yang dibualkan itu dibenarkan dalam agama.

Apabila terlalu banyak bercakap, pasti akan ada kata-kata yang tersasar dari perkara pokok sehingga menyinggung perasaan orang lain tanpa disedari.

Ibn Umar meriwayatkan sabda Nabi Muhammad yang bermaksud: “Janganlah kalian banyak bicara tanpa mengingati Allah. Sesungguhnya banyak bicara tanpa mengingati Allah boleh menyebabkan kerasnya hati. Sedangkan orang yang paling jauh daripada Allah adalah orang yang hatinya keras.” (Sunan Tirmizi)

Selain itu, dalam hadis sebelum ini juga menyatakan orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah memuliakan jiran tetangga dan tetamunya, jauh sekali menyakiti hati mereka.

Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah ditanya mengenai wanita yang rajin solat malam dan berpuasa pada siangnya namun mulutnya celupar sehingga menyakiti hati jirannya.

Baginda bersabda yang bermaksud: “Tidak ada kebaikan pada dirinya. Dia masuk neraka.”

Kemudian Nabi Muhammad ditanya mengenai wanita yang rajin solat, berpuasa pada bulan Ramadan, bersedekah dan mulutnya tidak menyakiti jirannya. Baginda berkata, “Dia berada di syurga.” (Riwayat Ahmad dan al-Hakim)

Cara untuk memuliakan serta berbuat baik kepada jiran tetangga itu banyak, antaranya bersikap prihatin dengan memerhatikan keadaan mereka sekiranya ada yang memerlukan bantuan.

Umar menceritakan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Seorang Mukmin tidak boleh kenyang (sendirian), tanpa mengajak tetangganya.” (Riwayat Ahmad)

Abu Dzar berkata, “Kekasihku (Nabi Muhammad) berwasiat kepadaku, ‘Apabila kamu memasak sesuatu, perbanyakkanlah kuahnya, kemudian lihatlah keluarga jiran tetanggamu. Berikanlah sebahagian masakanmu itu kepada mereka dengan cara yang baik.” (Sahih Muslim)

Diakui, amalan masyarakat kampung zaman dahulu seperti bertukar-tukar juadah kurang diamalkan.

Sehubungan itu, dalam kehidupan kita sekarang walaupun masing-masing sibuk dengan kerjaya atau keluarga, namun hubungan jiran tetangga perlu sentiasa dibaja dan dihargai.

Disiarkan pada: September 18, 2018 @ 2:38pm
d