addin

Akhlak mulia gambaran indah Islam

Oleh Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

Apabila seorang Islam ditanya mengenai agama anutannya, selalunya mereka hanya menceritakan amalan berkisar ibadat khusus semata-mata seperti solat, puasa, zakat dan haji.

Seolah-olah Islam hanya diberi gambaran mengenai agama ritual saja manakala perbuatan selain itu hanya sampingan yang tidak perlu diberi penekanan.

Adakah seorang yang rajin mengerjakan solat, tetapi pengotor menepati ciri-ciri sebagai seorang Muslim?

Begitu juga, apakah nilaian terhadap orang yang hebat amal ibadatnya tetapi buruk pula akhlaknya terhadap manusia lain, haiwan dan alam sekitar?

Islam tidak dapat dilihat sebagai agama yang indah sekiranya orang Islam sendiri tidak beramal seperti ajarannya. Tiada gunanya jika penganutnya berpakaian seperti seorang ‘alim’ namun mereka tidak mampu menjaga tutur katanya.

Islam bukan hanya mengatur kehidupan umatnya pada perkara berkaitan aktiviti keagamaan semata-mata. Islam adalah agama atau sistem hidup yang menyeluruh.

Menyeluruh bermakna segala aturan berkaitan kehidupan manusia diambil kira iaitu daripada sebesar-besar sehinggalah sekecil-kecil perkara.

Bagi seorang Muslim, Islam sentiasa mencakupi semua keperluan umatnya. Islam mengatur kehidupan manusia dengan lengkap meliputi akidah, ibadat, akhlak, ekonomi, politik, kemasyarakatan, kesihatan, kenegaraan, kebudayaan dan kesenian, bahasa, ilmu, hubungan antarabangsa, alam sekitar, falsafah, sains dan teknologi.

Setiap perbuatan baik sesuai dengan ajaran al-Quran adalah sesuatu yang diterima mengikut hukum Islam. Secara prinsipnya, setiap perkara itu dibenarkan melainkan jika ada nas dan dalil yang jelas melarangnya.

Seorang Muslim yang berjaya bijak mengimbangi antara kehidupan dunia dan akhiratnya.

Allah SWT mengajar manusia dengan doa yang sangat masyhur: “Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia, juga kebaikan di akhirat. Dan peliharalah kami daripada azab neraka.” (Surah al-Baqarah, ayat 201)

Islam tidak memandang orang yang hanya mengutamakan urusan dunia, tetapi melupakan urusan akhirat. Begitu juga sebaliknya, Islam tidak mengajar umatnya hanya menumpukan perhatian kepada urusan akhirat sehinggakan urusan dunia dilupakan.

Urusan dunia adalah perantaraan menuju ke akhirat. Tanggungjawab asas seorang Muslim mesti dilaksanakan dengan baik sementara hal keduniaan dilakukan bukan hanya untuk kepentingan diri sendiri tetapi buat faedah orang ramai.

Umat Islam yang baik bukan hanya perlu tahu menjaga solatnya, tetapi mampu memelihara akhlaknya terhadap manusia dan hidupan lain.

Mereka mampu menguruskan masa dengan baik sehinggakan setiap masa yang ada dimanfaatkan untuk melakukan kebaikan dan memperoleh reda Allah SWT.

Muslim juga diajar memelihara tutur katanya supaya tidak merendahkan orang, mencela, mengumpat, memburukkan serta memanggil orang dengan gelaran yang menghina.

Itulah akhlak sebenar yang patut tersemat pada diri seorang Muslim. Ia penting kerana keindahan Islam yang dipamerkan melalui peribadi seorang Muslim secara tidak langsung dapat menarik minat bukan Islam.

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Universiti Putra Malaysia

Disiarkan pada: September 20, 2018 @ 12:36pm
d