addin

Dunia 'penjara' bagi orang Mukmin

Oleh Kembara Mukmin

Bagi orang beriman, apabila melakukan sesuatu kemungkaran, dengan segera mereka berasa takut kerana menyedari Allah SWT sentiasa melihat dan mengawasi mereka.

Nabi SAW ada menyatakan, dunia ini adalah penjara bagi orang Mukmin dan syurga bagi orang kafir.

Adakah sesuatu yang berbaloi buat manusia dapat menikmati kesenangan dan kemewahan hidup di dunia ini, namun di akhirat kelak mereka akan menerima seksaan yang amat dahsyat yang tidak diketahui sampai bila dia akan terus menanggung keperitan seksaan itu.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran mengingatkan setiap hamba-Nya bahawa di dunia ini tidak ubah seperti permainan dan senda gurau saja,

Dalam Surah al-An’am, ayat 32 yang bermaksud: “Tidaklah kehidupan di dunia ini melainkan permainan dan hiburan yang melalaikan dan akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?”

Inilah kehidupan dunia, ia kelihatan indah dan bercahaya tetapi sebenarnya menipu dan memperdaya orang yang lalai.

Pelbagai kenikmatan yang diperoleh di dunia ini tidak akan kekal buat selamanya. Segala penderitaan dan kesusahan dialami orang beriman di dunia ini sama sekali bukan disebabkan Allah SWT membenci mereka.

Begitu juga, kemewahan dan segala kenikmatan diperoleh orang kafir bukan bermakna Allah reda kepada mereka.

Allah SWT tetap mengurniakan kemurahan-Nya kepada seluruh manusia, namun kasih sayang-Nya hanya buat kaum Muslimin. Manusia diciptakan Allah SWT adalah makhluk yang memiliki banyak keinginan.

Mereka inginkan rumah besar, kereta mewah, isteri atau suami yang cantik, harta kekayaan, pengaruh dan jawatan besar. Namun keinginan paling penting yang didambakan setiap Mukmin ialah masuk ke syurga Allah SWT.

Sebenarnya, tidak menjadi kesalahan buat orang Islam yang menjadi golongan berharta, kaya raya dan berpengaruh asalkan seiring dengan tuntutan agama.

Nabi SAW menyatakan, orang kaya yang menafkahkan hartanya ke jalan Allah adalah orang yang berhak dicemburui. Pada setiap masa, kita perlu yakin dengan kebesaran Allah SWT.

Apabila sesuatu perbuatan itu ditegah, sudah pasti ada sebab Allah SWT melarangnya. Dalam al-Quran, Allah SWT menegaskan sesiapa yang melakukan kejahatan, hati mereka akan ditutupi dosa mereka sendiri.

Sehubungan itu, jangan anggap mematuhi perintah Allah SWT itu satu yang sia-sia kerana sesiapa yang beranggapan sedemikian, Allah akan merendahkan maruah mereka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesiapa yang dihinakan Allah, ingatlah tidak ada seorang pun yang akan memuliakannya.” (Surah al-Hajj, ayat 18)

Bagi orang yang merasakan dirinya terlalu banyak dosa, perasaan gelisahnya akan memuncak setiap kali dosa yang dilakukan itu bertambah. Bagi manusia yang taat pula, mereka sentiasa berasa dekat dengan Allah.

Kesan daripada mengingkari perintah Allah menyebabkan hati seseorang menjadi gelap. Imam Malik berkata kepada Iman Syafie, “Aku melihat Allah menurunkan cahaya di hatimu, oleh itu janganlah kamu padamkan dengan perbuatan-perbuatan yang dilarang Allah. Semoga Allah merahmati kamu.”

Justeru, kebahagiaan hidup seorang Mukmin itu banyak bergantung kepada amal kebajikan yang dilakukannya. Kehidupan yang disinari cahaya, di situlah terkumpulnya segala kebaikan yang menyebabkan hatinya akan segera menghindari segala ajakan yang menjurus kepada perkara jahat dan mungkar.

Disiarkan pada: September 25, 2018 @ 12:21pm
d