addin

Pilih baik, elak buruk

Oleh Fadly Samsudin

Kelmarin, seluruh negara dikejutkan dengan kejadian menyayat hati apabila seorang wanita ditemui mati di dalam tangki najis di belakang rumahnya di Sungai Burung, Balik Pulau, Pulau Pinang akibat dibunuh.

Pelakunya adalah anak lelakinya sendiri yang dipercayai mempunyai masalah ketagihan dadah dan suka menghidu petrol.

Berdasarkan laporan polis, suspek dipercayai menusuk serta mengelar leher ibu kandungnya itu dengan pisau selepas berlaku pertengkaran.

Di mana letaknya martabat seorang ibu yang sepatutnya diangkat tinggi kerana pengorbanannya mengandungkan, menyusukan serta membesarkan anak itu dengan penuh kasih sayang?

Kejadian penagih penagih dadah yang tergamak mencederakan atau membunuh ahli keluarga kini semakin membimbangkan. Sebelum ini sudah banyak kes berlaku kesan rangsangan dadah terutama jenis sintetik menyebabkan pelakunya khayal dan berhalusinasi sehingga mendorong melakukan kekejaman.

Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia, Dr Mohd Shukri Hanapi berkata, semua agama melarang penganutnya mabuk, berkelakuan tidak senonoh atau sesuatu yang boleh menyebabkan seseorang hilang pertimbangan sebagai manusia normal.

Menurutnya, Islam begitu tegas mencegah penyalahgunaan dadah dan ia dilabelkan sebagai sesuatu yang melemahkan (mukhadir), memabukkan (muftir) dan sesuatu yang mengakibatkan seseorang tidak sedar (musakir).

“Dari segi biologi, dadah termasuk dalam perkataan sesuatu yang memabukkan (al-Khamr). Terdapat tiga rujukan khusus mengenai al-Khamr dalam al-Quran dan perkataan al-Khamr pertama kali diturunkan di Madinah pada tahun pertama dan kedua Hijrah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Mereka bertanya kepada-Mu (Wahai Muhammad) mengenai ‘al-Khamr’ dan ‘judi’. Katakanlah, pada kedua-duanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, akan tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 219)

Dalam Surah al-Nisa’, ayat 43, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menunaikan sembahyang, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehinggalah kamu mengerti apa-apa yang kamu ucapkan.”

“Dalam hadis diriwayatkan Ibn Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, ‘Setiap bahan yang memabukkan ialah khamr dan segala yang memabukkan adalah haram. Sesiapa meminum arak di dunia ini dan mati dalam meminumnya dan tidak memohon keampunan, tidak akan dapat meminumnya di akhirat.’

“Tanpa merujuk kepada jenis atau bentuknya, apa jua bahan mengakibatkan seseorang itu hilang kewarasan akal adalah haram. Pengecualian dari peraturan itu hanya jika dadah dimakan sebagai ubat atau penawar sekiranya tiada pilihan lain.

“Meskipun dadah tidak disebut secara jelas dalam al-Quran, namun pengharamannya diqiaskan kepada pengharaman arak kerana kedua-dua mempunyai unsur memabukkan,” katanya.

Beliau berkata, akibat mabuk dan khayal seseorang itu boleh melakukan perkara di luar pertimbangan kewarasan akalnya.

“Sebab itulah Islam melarang keras pengambilan bahan yang memabukkan itu. Penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia disebabkan perasaan ingin mencuba sesuatu yang baru.

“Pada mulanya mungkin ia diambil bagi menghilangkan tekanan perasaan atau sekadar suka-suka, namun akhirnya menyebabkan ketagihan melampau.

“Pelbagai cara dilaksanakan untuk membendungnya, namun belum ditemui kaedah penyelesaian yang benar-benar berkesan,” katanya.

Dr Mohd Shukri berkata, penghayatan agama dan ketakwaan sangat penting supaya ia menjadi perisai diri daripada terjebak dengan segala aktiviti berkaitan dadah.

“Penagihan dadah bukan saja mengakibatkan kemusnahan individu, bahkan mengundang masalah sosial lebih berat sehingga boleh menggugat ketenteraman, keharmonian dan pembangunan sesebuah negara.

“Statistik PDRM pada 2011 menunjukkan, kira-kira 60 hingga 70 peratus kejadian jenayah ada kaitan dengan masalah dadah. Sementara itu, 45 peratus banduan yang terdapat di Malaysia disebabkan terbabit dengan dadah.

“Masalah itu berpunca daripada sikap agresif dalaman yang tidak dikawal, kurangnya penghayatan agama, pemberontakan emosi dan jiwa serta desakan mencari ketenangan.

“Justeru, kepincangan itu perlu ditangani segera dengan mengembalikan jiwa kepada keadaan fitrah manusia yang suci. Jiwa yang suci akan sentiasa berdamping dengan pencipta-Nya serta merasai ketenangan dan pembebasan daripada segala sifat mazmumah,” katanya.

Menurutnya, penyalahgunaan dadah juga membawa implikasi lain seperti menghidap HIV dan AIDS, jenayah ragut, pecah rumah serta ancaman terhadap kaum keluarga dan masyarakat.

“Sebab itu, dadah menyalahi maqasid syariah yang termaktub dalam syariah Islam. Hal itu diqiaskan dengan pengharaman arak yang juga memudaratkan akal,” katanya.

Penulis wartawan Harian Metro

Disiarkan pada: September 26, 2018 @ 12:31pm
d