addin

Elak 'berkata ke atas Allah tanpa ilmu'

Oleh Qira’ah Fatwa

Benarkah ada kenyataan menyebut, menyentuh tangan isteri mendapat satu pahala dan dihapuskan satu dosa serta diangkat darjatnya satu tingkat? Begitu juga mencium isteri mendapat 10 pahala, dihapuskan 10 dosa dan diangkat darjatnya 10 tingkat?

Islam menitikberatkan hubungan kasih sayang antara pasangan suami isteri. Ini dapat dilihat berdasarkan beberapa nas syarak daripada al-Quran dan hadis.

Antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bergaullah dengan mereka (golongan wanita) dengan cara yang makruf.” (Surah an-Nisa’, ayat 19)

Dalam ayat itu, Allah SWT menunjukkan ‘khitab’ iaitu perintah kepada golongan lelaki supaya mereka melakukan ‘mu’asyarah’ iaitu bergaul dan berurusan dengan orang perempuan melalui cara yang makruf.

Justeru, arahan itu secara asasnya membawa hukum wajib berbuat makruf kepada perempuan dalam urusan kehidupan. Imam al-Qurthubi yang menafsirkan ayat itu berkata: (Iaitu) dengan cara yang Allah perintahkan daripada pergaulan yang baik. Dan seruan itu adalah kepada semua kerana setiap seorang mempunyai pergaulan sama ada seorang suami atau seorang wali. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan perintah itu secara kebiasaannya adalah suami. (Rujuk Al-Jaami’ Li Ahkam al-Quran, Al-Qurthubi - 5/84)

Begitu juga berdasarkan satu riwayat daripada Ibn Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik (hubungannya) dengan ahli keluarganya dan aku adalah yang paling baik di antara kamu kepada keluargaku.” (Riwayat Ibn Majah - 1977)

Hadis itu antara bukti keagungan dan keindahan ajaran Islam yang menganjurkan orang lelaki khususnya suami untuk berbuat baik kepada ahli keluarga meliputi isteri, anak dan kaum kerabatnya.

Syeikh Muhammad Abd al-Rahman al-Mubarak-furi Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis itu berkata: (Iaitu berbuat baik) kepada kaum keluarganya dan juga mereka yang mempunyai hubungan silaturahim dengannya. Menurut pendapat lain: (Iaitu) kepada isterinya dan juga kaum kerabatnya. (Rujuk Tuhfat al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri - 10/269)

Kami tidak menjumpai sebarang sokongan dan sandaran al-Quran dan juga hadis Nabi SAW yang menyebutkan mengenai hal itu. Dalam isu menyatakan fadilat dan ganjaran terhadap sesuatu amalan, ia mestilah disandarkan kepada riwayat yang sahih.

Agama ini adalah milik Allah SWT yang disampaikan Rasulullah SAW kepada umatnya. Justeru, apabila diletakkan ganjaran ke atas amalan tertentu tanpa mempunyai sandaran daripada al-Quran dan sunah, ia ditakuti termasuk dalam perbuatan ‘berkata ke atas Allah tanpa ilmu’ yang jelas dilarang syarak.

Kesimpulannya, kenyataan itu sekiranya dianggap sebagai hadis, ia tidak sahih kerana tidak ada riwayat yang sahih menyatakan perkara berkenaan.

Namun, kami tidak menafikan dari sudut mafhum kenyataan itu, ada antaranya yang boleh diperincikan dengan hadis lain. Contohnya, Nabi SAW ada menyebut dalam hadis diriwayatkan Abu Zarr al-Ghifari yang bermaksud: “Dan kemaluan salah seorang kamu juga ada sedekah. Ditanyakan: Pada syahwat seseorang juga terdapat sedekah?

Baginda menjawab: “Kalau diletakkan syahwat pada tempat yang haram (berzina) tidakkah seseorang itu mendapat dosa? Begitulah juga apabila syahwat diletakkan di tempat yang halal (persetubuhan suami isteri), maka dia mendapat pahala. (Riwayat Al-Bukhari dalam Al-Adab al-Mufrad - 227)

Hadis itu boleh juga dikaitkan dengan makna kenyataan dalam persoalan itu secara umum. Sekiranya seseorang menyentuh perempuan yang bukan mahram dan tidak halal baginya, maka dikira berdosa.

Justeru, apabila seorang lelaki menyentuh isteri yang halal baginya, maka mudah-mudahan dia diberikan ganjaran pahala. Berhubung mencium isteri mendapat 10 ganjaran pahala, kita boleh kaitkan ia dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang membawa satu kebaikan, maka dia mendapat sepuluh ganjaran pahala.” (Surah al-An’aam, ayat 160)

Sumber: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Disiarkan pada: October 1, 2018 @ 1:11pm
d