addin

Roh alam barzakh saling menziarahi

Oleh AL-FIQH

1. Firman Allah SWT dalam surah al-Syura, ayat 30 bermaksud: “Dan apa jua yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan yang salah dan berdosa)”

Adakah ayat itu bermaksud, semua nabi dan rasul yang diseksa dan dianiaya, termasuk kanak-kanak yang dizalimi, binatang yang disakitinya tidak berhak menuntut balasan ke atas mereka yang melakukan kezaliman itu kerana ia berpunca daripada mereka sendiri?

Segala bentuk kezaliman dilakukan ke atas nabi dan rasul, begitu juga ke atas orang yang tidak bersalah dan berdosa antaranya bertujuan supaya Allah mengangkat darjat mereka.

Sedangkan penyeksaan dilakukan terhadap binatang sebenarnya kita tidak dapat melihat hikmah yang terselindung di sebaliknya, hanya dalam ilmu Allah SWT jua pada hari kiamat nanti.

Allah SWT berkuasa menentukan segala-galanya. Ada antara mereka dimasukkan ke syurga bukan disebabkan amalan mereka dan ada pula yang akan dibalas dengan api neraka sehingga selesai segala kesalahan mereka lakukan.

2. Bagaimana keadaan orang yang meninggal dunia di dalam kubur dan pada hari kiamat nanti?

Orang yang meninggal dunia di dalam kubur saling ziarah menziarahi dalam keadaan berbalut kain kapan masing-masing tetapi apabila mereka dibangkitkan pada hari kiamat nanti, mereka dalam keadaan telanjang, kecuali yang gugur syahid di medan pertempuran.

Terdapat hadis diriwayatkan daripada Saidina Ali yang bermaksud: “Orang pertama yang akan diberikan persalinan pakaian iaitu dua helai kain Qibti ialah Nabi Ibrahim, selepas itu dikurniakan pula kepada Nabi Muhammad SAW kain Hibrah yang didatangkan daripada pihak kanan Arasy sebelum mereka berdua dibawa masuk ke syurga. Selepas itu, barulah akan diberikan pakaian kepada sesiapa yang Allah kehendaki sebelum mereka dibawa ke syurga.”

3. Adakah roh di alam barzakh saling mengenali antara satu sama lain?

Roh bagi orang beriman akan terus mendapat nikmat yang berkekalan. Mereka (yang hidup dalam suatu alam dinamakan barzakh) mengenali antara satu sama lain.

Suami mengenali isterinya begitu juga sebaliknya. Bapa mengenali anaknya dan begitulah sebaliknya. Selain itu, sahabat mengenali sahabat yang lain, bahkan mereka saling ziarah menziarahi.

Segala kebaikan dan perkara kebajikan yang mereka lakukan semasa hidup di dunia dahulu didatangkan dalam bentuk kebaikan tidak kira sama ada kecil mahupun besar.

Walaupun kebaikan dilakukan itu hanyalah sekadar memberi minum seteguk air kepada orang yang memerlukan tetapi pahalanya amat besar di sisi Allah SWT.

4. Orang yang meninggal dunia kerana lemas dan tenggelam di lautan adakah akan disoal oleh Munkar dan Nakir? Bagaimana pula dengan kanak-kanak dan orang yang mati syahid dalam peperangan Sabil?

Kanak-kanak yang masih kecil dan orang yang mati syahid di medan perang, mereka terselamat dan tidak akan ditanya oleh Munkar dan Nakir ketika dimasukkan ke dalam kubur.

Manakala orang yang mati lemas dan tenggelam di lautan, yang mati syahid dunia, orang gila, orang yang meninggal dunia pada malam Jumaat, orang yang mati pada zaman kemelesetan atau mati di tempat yang tidak mempunyai makanan (mati kelaparan), semua mereka akan disoal oleh Munkar dan Nakir tetapi soalan dalam bentuk penghormatan, senang dan mudah untuk menjawabnya.

Akhirnya, mereka juga akan terselamat daripada seksa kubur. Selain daripada mereka yang dinyatakan itu, mereka akan menghadapi soalan Munkar dan Nakir dalam bentuk yang amat berat sekali.

Sumber: Furu’ Al-Masa’il Wa Usul Al-Wasa’il oleh Maulana Al-Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz

Disiarkan pada: October 6, 2018 @ 2:30am
d