addin

Bersalin bedah tak perlu mandi wajib

Oleh AL-FIQH

ADAKAH wajib perempuan yang melahirkan anak melalui cara pembedahan perlu mandi wajib?

Jika seseorang perempuan melahirkan anak tidak melalui jalan keluar yang biasa, tetapi melalui pembedahan di perut, dia tidak diwajibkan mandi.

Apabila seorang wanita keguguran, tetapi yang gugur itu hanya sebahagian daripada anggota badan bayi sedangkan keluar sesuatu melalui saluran faraj, maka batal wuduknya.

Persoalannya, bagaimanakah jika berlaku keguguran yang mana semua anggota bayi yang berselerakan itu keluar semuanya. Apakah wanita yang keguguran itu diwajibkan mandi atau tidak? Perlukah dia berwuduk setiap kali hendak mengerjakan solat? Jika ada solat yang tertinggal, perlukah dia menggantikan semua solatnya?

Jika berlaku kelahiran sempurna, wanita yang melahirkan itu wajib mandi. Jika ada solat yang tertinggal, dia wajib qada’.

Seorang yang berjunub tidak mendapat air untuk mandi mengangkat hadas janabatnya. Cuma ada sebuah kolam air di dalam bangunan masjid.

Haruskah orang yang berjunub itu masuk dan duduk di dalam masjid bertujuan untuk mandi bagi mengangkat hadas janabatnya?

Boleh, bahkan harus orang yang berjunub itu masuk dalam masjid untuk mandi mengangkat hadas tanpa duduk lama di dalam masjid berkenaan.

Sama seperti jika dia mendapati ada kolam berisi air melebihi dua qullah dan dia masuk dalam kolam itu, harus dia mandi di dalam masjid itu.

Jika seorang lelaki mendapati ada cecair keluar dari kemaluannya sedangkan dia tidak dapat memastikan apakah yang keluar itu mani atau wadi. Adakah dia diwajibkan mandi?

Sekiranya sekadar mengesyaki dan tidak dapat memastikan yang keluar itu mani atau wadi, dia tidak diwajibkan mandi kerana pendapat kami tidak mewajibkan seseorang itu mandi semata-mata kerana syak.

Bahkan, dia dikehendaki memastikan yang keluar itu mani atau wadi. Jika dia mendapati yang keluar itu mani, dia diwajibkan mandi, tetapi sekiranya dia berpendapat yang keluar itu adalah wadi, dia hanya dikehendaki membasuhnya tanpa perlu mandi.

Sumber: Furu’ Al-Masa’il Wa Usul Al-Wasa’il oleh Maulana Al-Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz

Disiarkan pada: October 13, 2018 @ 1:30am
d