addin

Sentiasa bersyukur peroleh nikmat

Oleh Kembara Mukmin

DALAM hidup ini, setiap Mukmin perlu reda di atas setiap apa yang Allah kurniakan meskipun ia dilihat sedikit di mata mereka.

Allah hanya meminta setiap hamba-Nya menikmati dan bersyukur, tidak lebih daripada itu. Kita dituntut mencari yang halal dan menjauhi segala perkara dan hasil yang haram.

Namun, ramai dalam kalangan manusia yang masih memilih nikmat yang diberikan. Contohnya, seorang itu sudah memiliki sebuah motosikal, namun merasakan belum cukup dan tidak berasa puas kerana berkehendakkan kenderaan lebih besar.

Apabila ada rakan yang tanya, “Kamu naik apa ke sini?” Lalu dijawab seakan tidak bersyukur seperti, “Aku naik motosikal sahaja.” Seolah-olah tidak bersyukur dengan apa yang sudah dimilikinya itu.

Sebaiknya ucapkan, “Itu motosikal saya, alhamdulillah.” Apabila kita dapat mengungkapkan kalimah rasa syukur yang ringkas dan mudah itu jelas menunjukkan hadir perasaan syukur dalam diri.

Apa yang pasti, setiap kali kita bersyukur, Allah pasti akan menambah pelbagai nikmat buat kita.

Sebagaimana firman Allah di dalam surah Ibrahim, ayat 7, bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”

Begitu juga hal lain yang mungkin kita menganggapnya tidak baik seperti rasa lapar dan haus, itu juga satu nikmat. Realitinya, jika ditanya kepada sesiapa pun pasti mengatakan rasa lapar dan dahaga itu satu azab buat diri.

Namun, kita terlupa sekiranya tidak merasa lapar sudah pasti makanan itu tidak enak dan lazat dinikmati. Begitu yang perlu setiap Mukmin tanamkan dalam diri supaya sentiasa mengucapkan kalimah Alhamdulillah dalam setiap nikmat yang mereka peroleh.

Jika hidup kita diuji dengan musibah, lihat mereka yang jauh lebih berat ujiannya sehingga kita merasa itu masih ringan buat diri kita. Manakala, jika diberi nikmat, lihat pula orang yang berada di bawah atau lebih sederhana daripada kita.

Jangan sampai kita diberi pelbagai nikmat, namun mulut sentiasa merungut dan mengeluh, apatah lagi apabila ditimpa musibah sudah pasti bertambah teruk keadaannya.

Sehubungan itu, setiap Mukmin perlu mendidik diri mereka menjadi golongan muhsinin iaitu apabila Allah memberikannya nikmat dia sentiasa bersyukur.

Begitu juga apabila ditimpa ujian mereka tetap dan terus bersyukur. Berbeza dengan golongan yang rosak jiwanya, apabila dikurniakan nikmat dia tidak pernah bersyukur dan tidak bersabar apabila diberikan ujian.

Disiarkan pada: October 16, 2018 @ 1:30am
d