addin

Pupuk akhlak mulia di jiwa

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

AKIBAT pengabaian akhlak Islam, maka tercetuslah pelbagai gejala sosial yang menggawatkan. Antara tunjang dalam ajaran Islam adalah pembinaan akhlak yang murni.

Keseluruhan aspek pengajaran dibawa junjungan besar Nabi Muhammad SAW membawa mesej kepentingan menjaga akhlak.

Di dalam rumah tangga, sudah banyak berlaku anak biadab terhadap orang tua mereka. Rasa hormat dan saling menyayangi sudah tidak lagi mewarnai alam kekeluargaan.

Di sekolah, masalah buli masih lagi sukar dibendung. Isu pergaduhan antara pelajar dan sikap tidak menghormati guru sudah banyak kali terjadi yang semuanya itu menggambarkan betapa merosotnya kualiti peribadi dan akhlak rakyat khususnya generasi muda.

Begitu juga senario di jalan raya di negara ini dengan gejala pemandu melanggar peraturan jalan raya sewenang-wenangnya.

Selain itu, sering terjadi pergaduhan disebabkan hilang sifat sabar dan mahu tunjuk ego diri masing-masing.

Sebenarnya di peringkat sekolah, usaha memupuk nilai murni dalam bersosial giat dijalankan. Ia dilaksanakan dalam bentuk rasmi seperti menerusi subjek Pendidikan Islam bagi murid Islam dan subjek Moral bagi mereka yang bukan Islam.

Usaha itu digandakan lagi melalui kegiatan kokurikulum. Antara tujuan utama kegiatan luar bilik darjah itu diadakan adalah berusaha untuk membina jati diri murid dengan nilai akhlak yang murni.

Bagaimanapun, setakat ini keberkesanannya masih diragui lantaran ada segelintir murid sekolah serta mereka yang sudah tamat persekolahan berkelakuan tidak sopan yang bukan melambangkan nilai budi dan akhlak masyarakat  beragama Islam.

Apakah kurangnya dengan sistem pendidikan di negara kita sehingga isu gejala sosial dalam kalangan remaja dan orang muda dikatakan kurang menyenangkan?

Ibu bapa tidak boleh menyerahkan didikan anak mereka 100 peratus kepada pihak sekolah. Demikian juga dengan anggota masyarakat yang lain seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kegawatan isu gejala sosial tidak boleh dipandang sepi lagi. Institusi kekeluargaan seharusnya menjadi medan utama dengan menyediakan ekosistem kehidupan berlandaskan ajaran Islam. Ibu bapa tidak wajar hanya menjadi tukang penyedia tempat tinggal dan makan minum  semata-mata.

Aspek pendidikan dan bimbingan adab pekerti perlulah diutamakan. Kita berasa sangat sedih dengan laporan di akhbar ini pada 3 Disember tahun lalu yang memaparkan berita bertajuk Budak gian pil kuda.

Dalam laporan itu, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menahan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang terjebak dalam kancah penyalahgunaan dadah.

Lebih menyedihkan apabila pengakuan kanak-kanak itu yang memberitahu dia terjerumus dalam gejala itu kerana keluarganya bermasalah di samping pengaruh daripada bapanya.

Kanak-kanak itu dikesan mengambil pil kuda selain faktor bapanya yang juga seorang penagih dadah menjadi penyebab utama kanak-kanak itu terbabit dalam aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang negara.

Sepatutnya, pada usia sebegitu dia melalui kehidupannya sama seperti kanak-kanak lain yang sedang lincah bermain bersama rakan sambil menekuni pembelajaran, bukannya layu terkulai akibat pil kuda.

Kisah sebegitu amat menyedihkan kita kerana dalam masyarakat, ternyata masih ada yang kehidupan keluarganya porak peranda.

Individu yang menjadi mangsa keadaan tentulah si anak. Mereka  sepatutnya diberikan kasih sayang dan didikan sempurna, bukannya diabaikan sehingga terus terjerumus ke lembah gejala sosial yang memusnahkan diri.

Justeru, kita semua tiada masa untuk menuding jari mencari siapa yang bersalah.

Sebaliknya, masa yang ada perlu dimanfaatkan untuk bertindak menjadikan seluruh ahli keluarga kembali berpegang teguh kepada setiap perintah Allah SWT dan menjauhkan diri daripada apa saja tegahan-Nya.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam, Shah, Pahang

Disiarkan pada: October 23, 2018 @ 2:00am
d