addin

Boleh kekal nama selepas peluk Islam

Oleh Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

Peribahasa Melayu ada mengatakan, gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Nama adalah tajuk yang menyatakan sesuatu mengenai diri seseorang. Ia adalah perhiasan atau simbol di mana seseorang itu akan dipanggil dalam kehidupan dunia dan akhirat kelak.

Manusia juga diberikan identitinya tersendiri sebagaimana dinyatakan dalam Surah ar-Rum ayat, 22 yang bermaksud: “Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan bagi orang yang berpengetahuan.”

Setiap bangsa dan etnik memiliki bahasa tersendiri. Setiap bangsa dan etnik begitu berbangga dengan bahasa yang menjadi identiti mereka.

Bangsa Jepun menggunakan bahasa Jepun, manakala orang Eropah mempunyai bahasa mereka sendiri mengikut negara dan wilayah masing-masing seperti Inggeris, Sepanyol, Perancis, Jerman dan banyak lagi.

Setiap bangsa berkomunikasi menggunakan bahasa bangsa atau etnik mereka sendiri. Bangsa Cina juga mempunyai bahasanya mengikut suku kaum masing-masing seperti Mandarin, Hokkien, Kantonis, Hainan, Hakka, Teochew, Fuchow dan lain-lain lagi.

Begitulah bukti kekuasaan dan kebijaksanaan Allah SWT dalam penciptaan manusia. Ia membolehkan manusia berbicara menggunakan pelbagai bahasa dan mengumpamakan seperti penciptaan langit dan bumi.

Bagaimanapun, ada juga manusia daripada bangsa tertentu menggunakan nama daripada bangsa lain. Ini adalah seperti mereka yang menganut agama tertentu dan memiliki nama tambahan selain nama bangsanya sendiri.

Dalam konteks Islam, apakah seseorang yang baru menerima Islam perlu menukar nama asal bangsanya atau hanya menambah nama tambahan?

Itu persoalan biasa ditanya oleh mereka yang ingin menukar agama atau baru menerima Islam.

Pada dasarnya, seseorang yang memeluk Islam tidak perlu mengubah nama kecuali nama asal mereka mempunyai unsur penyembahan kepada makhluk, dewa atau sesuatu selain daripada Allah SWT.

Sekiranya nama asalnya tidak mengandungi sesuatu yang dilarang Islam, dia dibenarkan menggunakannya tanpa sebarang masalah.

Bagi masyarakat Cina, sudah tentu mereka bangga dengan nama diberikan oleh ibu bapa mereka. Biasanya nama itu mempunyai makna yang baik.

Misalnya, nama penulis Yap Yun Hin mempunyai makna yang sangat baik. Yap adalah nama keluarga, bermakna penulis berasal daripada keturunan Yap. Nama tengah Yun bermakna ‘selama-lamanya’ merujuk kepada generasi tertentu dan nama akhir, Hin pula bermakna kegembiraan atau kegirangan.

Sudah pastinya Yun Hin bermaksud kegembiraan selama-lamanya mempunyai makna yang baik serta akan menjadi ciri-ciri yang baik buat penulis.

Tidak ada alasan kenapa harus menukar nama yang baik dan bersesuaian dengan Islam hanya kerana ia tidak berbunyi Arab, sedangkan bahasa Cina juga adalah ciptaan Allah SWT.

Orang Muslim di China sudah lama menerima Islam sejak kurun ke-7 lagi. Mereka masih menggunakan nama dalam bahasa dan struktur Cina. Bagaimanapun, mereka mempunyai nama Islam yang datang daripada bahasa Arab.

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Universiti Putra Malaysia

Disiarkan pada: November 15, 2018 @ 1:12pm
d