addin

Hukum letakkan tanda di kubur

Oleh AL-FIQH

1. Apakah bahasa yang digunakan Malaikat Munkar dan Nakir ketika bertanya kepada si mati di dalam kubur? Adakah soalan itu hanya kepada umat Nabi Muhammad SAW saja atau membabitkan umat nabi terdahulu?

Adakah soalan itu umum bagi semua orang Islam dan orang kafir atau hanya khusus untuk orang Islam saja?

Mengikut setengah pendapat, Munkar dan Nakir akan bertanya dalam bahasa Parsi seperti dinyatakan dalam Hasyiah Jamal.

Mengikut pendapat Imam al-Suyuti, Munkar dan Nakir akan bertanya dalam bahasa Siryani.

Ada pula pendapat lain yang mengatakan dalam bahasa Arab, bahkan ada pendapat mengatakan dalam bahasa yang diguna pakai oleh si mati.

Adapun soalan Munkar dan Nakir hanya tertentu bagi umat ini saja kerana memuliakan bagi NabiNya tujuh kali pada tujuh hari dinisbahkan bagi setiap orang yang beriman kerana menyatakan bagi memuliakannya dan 40 kali bagi orang munafik kerana mengaibkannya dan menghinanya.

Munkar dan Nakir tidak akan bertanya kepada orang kafir kerana soalan itu hanya ditujukan kepada orang Islam dan orang munafik saja.

Walau bagaimanapun, ada pendapat mengatakan soalan itu akan diajukan kepada semua manusia termasuk yang dahulu.

2. Apakah hukum perbuatan menulis nama si mati pada kepingan kayu, batu atau pada batu nisan kemudian meletakkannya di bahagian kepala atau membina di atas kuburnya pendinding berbentuk empat segi sama ada daripada kayu, marmar dan seumpamanya?

Perbuatan menulis nama si mati sama ada pada kepingan batu atau pada batu nisannya lalu dipacakkan di bahagian kepala adalah makruh.

Bagaimanapun, jika ia bertujuan supaya dikenali dan memudahkan orang menziarahi kuburnya, maka hukumnya adalah sunat iaitu sekadar untuk keperluan.

Perbuatan membina sesuatu di atasnya atau meletakkan kotak kurungan di sekelilingnya atau membuat tembok daripada batu marmar atau seumpamanya (bertujuan untuk mencantikkannya dan sebagai perhiasan), maka hukumnya seperti binaan dan makruh dilakukan jika tanah itu miliknya.

Bagaimanapun, jika tanah itu bukan miliknya, bahkan tanah yang diwakafkan, maka hukumnya haram jika si mati itu bukan daripada golongan orang yang soleh, aulia dan ulama.

Melainkan jika binaan itu dibuat semata-mata bertujuan untuk melindunginya daripada digali binatang buas atau memelihara supaya tanah di atasnya tidak melimpah keluar ke tempat lain, maka tidaklah diharamkan dan harus membina di atasnya sesuatu sekadar yang diperlukan.

3. Sunat ditaburkan batu kecil dan dipacak di atas kubur dengan pelepah tamar (yang masih basah). Begitu juga sunat ditanam tumbuhan basah seperti daun selasih dan seumpamanya.

Apakah hukum jika perkara itu diambil daripada kubur bersebelahan lalu diletakkan di kubur baru?

Tidak diharuskan orang lain mengambil sesuatu seperti pelepah tamar atau daun selasih yang dipacakkan di atas mana-mana kubur selagi ia masih basah.

Berlainan jika ia sudah kering dan tuannya sudah tidak mengendahkannya lagi, maka tidaklah menjadi kesalahan mengambilnya.

Hikmah di sebalik meletakkan tanda atau batu nisan adalah supaya diketahui waris dan tidak ada orang lain dikebumikan di tempat sama.

Sumber: Furu’ al-Masa’il Wa Usul al-Wasa’il oleh Maulana al-Syeikh Daud Abdullah al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz

Disiarkan pada: November 24, 2018 @ 12:34am
d