addin

Badan sihat, aurat terjaga

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

SEJARAH kehidupan Rasulullah SAW bersama sahabatnya membuktikan aktiviti sukan turut menjadi sebahagian dalam kehidupan mereka.

Rasulullah SAW berpesan dengan sabdanya: “Lemparkanlah (lepaskanlah anak panah) dan tunggangilah (kuda).” (Riwayat Muslim)

Hadis itu membuktikan Islam tidak menyekat umatnya bergiat dalam aktiviti kesukanan selain menepis tanggapan golongan yang menganggap Islam hanya memfokuskan kepada amalan spiritual semata-mata.

Islam melihat aktiviti bersukan bermatlamat untuk memberikan manfaat dan kesejahteraan fizikal, mental dan jiwa manusia.

Kekuatan dan kesihatan fizikal, mental dan jiwa penting untuk setiap Muslim bagi memantapkan pelaksanaan ibadat kepada Allah SWT. Selain itu, aktiviti bersukan menurut pandangan Islam mampu dijadikan platform membangunkan masyarakat yang hidup dalam keadaan harmoni dan bersatu padu.

Seperkara lagi yang sewajarnya diketahui dalam bersukan adalah berkaitan etika berpakaian. Selama ini kita hanya patuh dan taat menutup aurat ketika mahu menunaikan solat saja, sedangkan dalam situasi lain kita tidak menganggapnya sebagai perintah Allah.

Larangan ke atas sesuatu dalam Islam bukan bermaksud mahu menyekat kebebasan manusia sebagaimana dianggap golongan yang memusuhi Islam.

Di dalam al-Quran dan sunah Rasulullah SAW sudah diperjelaskan apa yang boleh dan ditegah. Hakikatnya, dalam situasi apapun hatta menjalani aktiviti riadah, aspek pematuhan berpakaian menutup aurat perlu diikuti.

Islam menggariskan, bagi golongan lelaki aurat mereka antara pusat dan lutut manakala bagi Muslimah, semua anggota badannya kecuali muka dan kedua-dua telapak tangannya.

Ia sebenarnya sudah didedahkan sejak seseorang berada di sekolah rendah lagi. Bergiatlah dalam apa jenis sukan sekalipun, kita tidak seharusnya lupa kepada peraturan dan etika berpakaian yang diajar Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding daripada orang beriman yang lemah.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Soalnya, bagaimanakah kita dapat merealisasikan diri sebagai seorang Mukmin yang kuat? Untuk apa kita perlu memiliki fizikal, mental dan jiwa yang kuat?

Kesihatan fizikal memberikan kita keselesaan untuk beramal ibadat dan melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Oleh itu, baru-baru ini Kerajaan Terengganu mengambil langkah memperkenalkan peraturan patuh syariat dalam sukan mulai tahun depan. Langkah yang akan diperkenalkan Kerajaan Terengganu itu adalah satu langkah yang wajar disokong semua masyarakat Islam khasnya mereka yang terbabit dalam bidang sukan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah menyatakan, pakaian patuh syariah terbukti tidak menjejaskan prestasi atlet, malah mereka tidak keberatan untuk mematuhinya.

Langkah diumumkan oleh kerajaan negeri itu akan dimulakan dengan pemain bola sepak di semua peringkat bernaung di bawah Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Dalam melaksanakan dasar Islam sebagai dasar negeri, pendekatan Islam berada bukan saja di masjid dan surau tetapi di mana-mana termasuk di atas padang bola.

Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita wajib membawa imej dan etika Islam dalam situasi apa sekalipun. Kita mesti menunjukkan umat Islam benar-benar sayangkan agama kepada masyarakat lain.

Peraturan Islam dalam bersukan tidak hanya terhad pada etika pemakaian saja, malah adab dan hubungan kemanusiaan mesti juga ditegakkan.

Sukan tanpa roh Islam lebih banyak membawa kemudaratan.

Berapa banyak insiden memalukan dalam sesuatu pertandingan akibat pergaduhan, menipu pengadil, malah ada yang melanggar peraturan sukan termasuk mengambil bahan terlarang.

Golongan atlet seperti itu sanggup melakukan apa saja semata-mata mahu munculkan diri sebagai juara. Soal patuh kepada peraturan atau tidak bukan lagi dijadikan pegangan.

Tambahan pula dalam keadaan sekarang, wang sudah menjadi habuan dalam sukan. Masingmasing mengaut keuntungan dan kelebihan menerusi sukan sehingga segalanya perlu diikhtiarkan untuk meralisasikan hasrat sebagai sang juara.

Sesungguhnya tidak akan mundur atau ketinggalan zaman sekiranya atlet memperagakan etika berpakaian sebagaimana ditetapkan syariat Islam.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Disiarkan pada: December 4, 2018 @ 2:00am
d