addin

Biarlah anak buat pilihan sendiri

Oleh Hilmi Isa

DARIPADA Ibnu Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kamu sekalian adalah pemimpin, dan kamu sekalian bertanggungjawab atas orang yang dipimpinnya. Seorang Amir (raja) adalah pemimpin, seorang suami pun pemimpin atas keluarganya, dan isteri juga pemimpin bagi rumah suaminya dan anak-anaknya. Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu sekalian akan diminta dipertanggungjawabkan atas kepemimpinannya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ada sebilangan ibu bapa berbuat sesuka hati terhadap anak mereka dengan alasan Allah menyuruh mentaati ibu bapa.

Mereka tidak menghiraukan perasaan anak. Misalnya, dalam pemilihan kursus dan kerjaya, ramai ibu bapa ingin anak mengikut apa yang mereka mahukan.

Kebanyakan pilihan ibu bapa adalah cita-cita mereka yang tidak kesampaian dalam hidup. Mereka ingin mengecapi kerjaya glamor di mata masyarakat seperti doktor dan jurutera.

Lalu mereka memaksa anak menerima pilihan yang mereka putuskan walaupun ia tidak sesuai dengan jiwa, minat dan bakat anak. Maka, anak terseksa kerana terpaksa mengambil kursus atau kerjaya yang tidak disukainya.

Segala-galanya dilakukan dalam keadaan terpaksa demi memenuhi impian ibu bapa. Perkara itu memberi kesan buruk kepada jiwa anak.

Sebab itu, ada yang sengaja ‘menggagalkan’ diri daripada meneruskan pengajian. Lebih buruk lagi, apabila terlalu memendam perasaan menyebabkan mereka menjadi murung hingga ke tahap ingin membunuh diri.

Apa yang sesuai bagi diri kita belum tentu sesuai bagi orang lain. Apa yang ibu bapa minat belum tentu anak mereka minat. Jika sesuatu perkara itu membahagiakan ibu bapa, belum tentu anak-anak berasa bahagia.

Lihat pada anak kembar, pada zahirnya mereka serupa tetapi adakah personaliti dan minat mereka sama? Ibu bapa sering bertindak seolah-olah mereka tahu segala-galanya mengenai anak.

Dalam kesibukan membina kerjaya, hakikatnya hanya beberapa jam saja dalam sehari ibu bapa dapat bersama-sama anak mereka.

Adakah kita tahu semua bahan bacaan atau apa rancangan yang mereka tonton?

Dalam kehidupan ini, komunikasi dua hala amat penting. Anak adalah manusia seperti kita yang mempunyai hati dan perasaan. Sebelum melakukan sesuatu terhadap mereka, tanya diri: “Apa aku rasa kalau orang buat begini kepada aku?”

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dengan sebab rahmat Allah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentu mereka menjauh dari sekelilingmu.” (Surah Ali Imran, ayat 159)

Dengarlah apa luahan hati mereka untuk lebih memahami. Usah dengar untuk menunjukkan pandangan kita betul dan mereka salah.

Kesannya, lama-kelamaan mereka tidak ingin lagi berkomunikasi dengan kita. Saya pernah bertugas mengendalikan kes remaja bermasalah. Banyak kes konflik antara anak dengan ibu bapa berpunca daripada saluran komunikasi tertutup.

Ibu bapa tidak ingin berkomunikasi dan mendengar pandangan anak. Apabila konflik bertambah buruk, barulah ibu bapa mengambil inisiatif membuka semula pintu komunikasi. Malangnya, segala usaha itu tidak berhasil.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “…Ya Rabb kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Furqaan, ayat 74)

Penulis Perunding Psikologi Bahasa

Disiarkan pada: December 7, 2018 @ 1:30am
d