addin

Tugas manusia lestarikan bumi

Oleh Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

MANUSIA mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan komponen alam sekitar iaitu air, udara, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Selain manusia, haiwan juga turut memerlukan udara bersih dalam proses penghidupannya.

Manusia dan haiwan menggunakan oksigen dalam pernafasan sementara tumbuhan pula memerlukan karbon dioksida, air dan cahaya matahari dalam proses fotosintesis bagi membina karbohidrat sebagai sumber makanan.

Begitulah kitaran proses alam yang memberi kepentingan kepada seluruh makhluk ciptaan Allah SWT. Apakah yang akan berlaku sekiranya alam sekitar diganggu serta dirosakkan manusia sebagai pentadbir alam ini?

Banyak persidangan antarabangsa sudah membincangkan kesan kerosakan yang dilakukan manusia. Penyelidik dan saintis menyatakan kebimbangan mereka seperti dalam makalah berimpak tinggi yang diterbitkan.

Bagaimanapun, perkara itu jelas dinyatakan dalam al-Quran lebih awal lagi. Firman Allah SWT dalam Surah ar-Ruum, ayat 41 yang bermaksud: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Kerosakan dan pencemaran alam yang berlaku di darat, laut, hutan serta kepupusan tumbuhan serta sebilangan haiwan itu sudah mencapai tahap yang membimbangkan. Maka, setiap manusia perlu bertanggungjawab di atas kerosakan dan pencemaran yang berlaku itu.

Bagi mengembalikan karbon dioksida dalam atmosfera pada paras normal, kegiatan dan proses yang terus-menerus mencemari atmosfera perlu dihentikan. Ini penting bagi memastikan kelestarian hidup buat seluruh makhluk selain dapat menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini.

Bencana alam seperti banjir, jerebu, tanah runtuh dan lain-lainnya banyak berkaitan dengan ketidakseimbangan ekosistem. Semua yang berlaku itu disebabkan tindak-tanduk manusia.

Begitu juga dengan kerosakan yang berlaku ke atas ekologi dan ekosistem. Kerosakan itu menjadi bukti kebimbangan malaikat bahawa manusia akan melakukan kerosakan di bumi serta menumpahkan darah.

Seperti disebut dalam al-Quran yang bermaksud: “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: ‘Sesungguhnya aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’

Mereka berkata: ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, pada hal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?’”

Tuhan berfirman: “Sesungguhnya aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Kerakusan manusia yang berlumba-lumba mencari keuntungan material menyebabkan mereka tidak memikirkan kesan jangka panjangnya. Tujuan Allah SWT mencipta alam ini jelas adalah untuk manusia mengambil manfaat, bukan memusnahkannya.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu sekalian yang ada di bumi ini semua.” (Surah al-Baqarah, ayat 29).

Hakikatnya, setiap ciptaan Allah itu cukup sempurna fungsi atau peranannya.

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Universiti Putra Malaysia

Disiarkan pada: December 20, 2018 @ 1:30am
d