addin

Berkat doa Ibu

Oleh Fatimah Syarha Mohd Noordin

LIHAT mana-mana tokoh masyarakat, kemudian lihat pula ibu dan ayahnya. Kebanyakan tokoh, di belakang mereka ada pendidik yang sangat mengambil berat mengenai pendidikannya.

Ia bermula daripada seorang ibu dan ayah, lebih-lebih lagi apabila anak mendapat doa seorang ibu.

Nabi SAW turut berpesan supaya berbuat baik kepada ibumu! Ibumu! Ibumu! Malah, Islam juga mengangkat darjat ibu susuan menjadi mahram bagi anak seperti ibu kandungnya sendiri.

Syeikh Dr Muhammad al-Areefi pernah berkhutbah berjudul Masuuliyyatur Rajuli fi Usratihi, andai ada ulama salaf yang menghafal al-Quran ketika berusia tujuh tahun atau menghafal hadis ketika berusia sembilan tahun atau berusia 14 tahun sudah menjadi mufti (seperti Imam Syafie) atau saat berusia 12 tahun mampu menghadiri 12 kajian ilmiah sehari semalam (seperti Imam Nawawi), ketahuilah itu semua tidak terjadi begitu saja.

“Di sebalik kejayaan mereka ada ibu solehah yang sentiasa mendorong perkara itu. Ibu-ibu yang menanam kualiti akhlak dalam dirinya selalunya akan memetik hasil menakjubkan daripada kesolehan anak-anak.

“….Maka wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah memelihara mereka…” (Surah al-Nisa’, ayat 34)

Nabi SAW pernah memuji wanita Quraisy kerana perhatian besarnya kepada anak-anak dan suami. “Wanita Quraisy adalah sebaik-baik wanita Arab. Merekalah paling belas kasihan terhadap anaknya dan paling memberi perhatian terhadap urusan suaminya.” (Riwayat Bukhari)

l Bonda Imam al-Bukhari

Siapa tidak kenal Imam al-Bukhari? Tanpa jasanya, mungkin kita sedang terkapai-kapai dahagakan hadis Nabi SAW. Imam al-Bukhari pernah buta ketika kanak-kanak. Ibunya berdoa siang dan malam dengan cucuran air mata.

Lalu apa yang terjadi? Suatu malam, ibunya bermimpi beliau berjumpa Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim berkata kepadanya, “Wahai ibu, sesungguhnya Allah SWT berkenan mengembalikan penglihatan anakmu kerana cucuran air mata dan banyaknya doa yang engkau panjatkan kepadaNya.”

Keesokan harinya, ternyata dengan izin Allah SWT penglihatan al-Imam Bukhari pulih semula. (Siyar A’laamiin Nubalaa’ III/3324, cetakan Baitul Afkar al-Duwaliyah)

l Ummu Sulaim, Bonda Anas bin Malik

Ramai mengagumi tokoh bernama Anas bin Malik. Hampir 2,286 hadis beliau riwayatkan. Beliau juga mendidik ramai ulama hebat seperti Hasan al-Basry, Ibnu Sirin, Al-Sya’bi, Abu Qilabah, Makhul, Umar bin Abdul Aziz, Tsabit al-Bunany, Ibnu Syihab al-Zuhri, Qatadah al-Sadusy dan ramai lagi.

Ibunya bernama Ummu Sulaim (Rumaisha’). Ummu Sulaim sanggup menghadiahkan anaknya, Anas bin Malik kepada sebaik-baik guru di muka bumi iaitu Nabi Muhammad SAW.

Daripada Jabir bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Ketika aku masuk ke syurga, tiba-tiba aku melihat di sana ada Rumaisha’ isteri Abu Talhah,” (Riwayat Bukhari)

Ummu Sulaim adalah wanita yang menjaga kecerdasan akalnya, penyabar dan berani. Dia menyahut seruan kebenaran tanpa perlu menanti-nanti mengikut pilihan suaminya. Suaminya ketika itu, Malik bin Nadhar (ayahanda kepada Anas bin Malik) tidak mahu masuk Islam.

Dia marah kepada Ummu Sulaim dan meninggalkannya dengan berhijrah ke Syam, lalu mati di sana. Allah SWT memberi ganjaran kepada Ummu Sulaim dengan suami yang jauh lebih baik iaitu Abu Talhah.

Ummu Sulaim menjadi contoh wanita yang mengutamakan hak suami sebagai pemimpin keluarga walaupun terpaksa memendam kesedihan atas kematian salah seorang anak mereka. Kata-katanya begitu mengagumkan selepas melayani keperluan batin suaminya, Abu Talhah yang baru pulang ke rumah dan baru menikmati makan malam: “Wahai Abu Talhah, apa pendapat kamu, seseorang itu memberi pinjaman kepada orang lain. Adakah orang itu boleh menghalang permintaan peminjamnya ketika dia meminta?” Suaminya menjawab, “Tidak.” Maka Ummu Sulaim berkata, “Begitulah dengan anakmu.” “Innalillahi wa inna ilaihi raajiiun,” kata Abu Talhah. (Siyar A’laamin Nubalaa’, I/1155-1156)

l Asma’ binti Abu Bakr, Bonda Urwah bin Zubair

Tokoh tabiin, Urwah bin Zubair bin Awwam tidak sempat berjumpa Rasulullah SAW sebagaimana abangnya, Abdullah bin Zubair. Namun, beliau tetap meneruskan perjuangan Nabi SAW sehingga menjadi salah seorang daripada tujuh fuqaha Madinah terbilang dari segi keilmuan, kezuhudan dan ketakwaan.

Beliau juga menjadi penasihat Umar bin Abdul Aziz yang ketika itu menjadi Gabenor Madinah. Tidak hairanlah, ibunya, Asma’ binti Abu Bakr bergelar Dzaatun Nithaaqain. Asma’ sejak muda terkenal dengan peranannya membawa makanan dalam peristiwa hijrah Nabi SAW.

Adiknya, Aisyah turut berjasa kepada umat Islam, sekali gus menjadi seorang daripada guru yang melengkapi Asma’ dalam mendidik keperibadian Urwah.

l Ummu Salamah, Ibu Susu Hassan al-Basry

Nama Hassan al-Basry bukan saja harum di Kota Basrah, tetapi di seluruh dunia umat Islam. Ibunya bernama Khairah, seorang hamba sahaya milik isteri Nabi SAW yang bijaksana, Ummu Salamah.

Ketika Ummu Salamah mengutus Khairah untuk sesuatu keperluan, maka Hassan al-Basry menangis menagih susu lalu Ummul Mukminin, Ummu Salamah menyusuinya sehingga dia lena kekenyangan. Ummu Salamah rajin membawa Hassan al-Basry bertemu sahabat dan Hassan al-Basry mendapat keberkatan doa mereka.

Antaranya, doa Umar al-Khattab supaya dia memahami agama dan dicintai manusia. Menurut satu riwayat, payudara Ummu Salamah berulang kali mengeluarkan susu, padahal secara biologi, seorang wanita hanya mengeluarkan susu selepas melahirkan anak.

Sedangkan Ummu Salamah sudah lama tidak melahirkan anak sejak berkahwin dengan Rasulullah SAW dan tidak bernikah lagi setelah Baginda SAW wafat. Ramai ulama meyakini makanan dan minuman serta doa mempengaruhi terhadap keperibadian seseorang.

Allah SWT berfirman: “Hai sekalian manusia, makanlah yang halal dan baik-baik daripada apa yang ada di muka bumi.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Andai kita mahukan anak yang hebat, hebatkanlah pendidikan ke atas diri kita terlebih dahulu. Masukkan bekalan roh, keperluan akal, akhlak serta dan makanan yang baik.

Penulis pendakwah dan penulis buku

Disiarkan pada: December 22, 2018 @ 2:00am
d