addin

Suami tidak lafaz rujuk

Oleh Suriany Awaludin

PADA bulan lalu, saya dan suami bergaduh selepas saya terlihat suami masih menyimpan nombor bekas teman wanitanya. Saya bertanya kepada suami kenapa dia masih menyimpan nombor wanita itu?

Bagaimanapun, suami enggan menjawab dan memberi amaran supaya saya tidak masuk campur urusannya.

Jawapan itu menyebabkan kemarahan saya kian bertambah. Saya kemudian terus meminta suami menceraikan saya kerana seolah-olah dia tidak menghargai diri saya.

Kami bergaduh dan telefon suami retak kerana terjatuh di lantai. Suami menolak badan serta menampar muka saya selain menghamburkan kata-kata kesat.

Saya terkejut dengan tindakan suami lalu memohon maaf kepadanya. Saya merayu supaya dia tidak meninggalkan saya. Suami ketika itu masih marah dan menyalahkan saya sebagai punca dia melafazkan cerai itu.

Akhirnya, suami peluk dan menyatakan dia sebenarnya masih sayang kepada saya. Persoalan saya mengenai lafaz rujuk seperti yang pernah saya baca, seorang suami perlu menyatakan kepada isteri seperti, “saya kembali kepada isteri saya” atau “aku rujuk kepadamu.”

Bagaimanapun, pada malam kejadian, suami tidak menyebut perkataan seumpama itu. Bolehkah suami ambil masa sesuai dan mengungkapkan semula lafaz rujuk dan kami dikira sah sebagai suami isteri?

Selain itu, bolehkah jika ada pasangan tidak pergi ke pejabat agama untuk merekodkan perceraian mereka terutama bagi kes talak pertama?

Ika, Petaling Jaya

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Dan isteri-isteri itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (daripada berkahwin) selama tiga kali suci dari haid. Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan dan tidak memberitahu tentang anak yang dijadikan Allah dalam kandungan mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk) isteri-isteri itu dalam masa iddah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka terhadap (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang perempuan (isterinya). Dan ingatlah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al- Baqarah, ayat 228)

Bagi menjawab persoalan ini, suami puan mempunyai tempoh tiga kali suci haid puan untuk rujuk. Tempoh rujuk itu sebagaimana Allah SWT tetapkan di dalam al-Quran dan tiada tempoh lain sekiranya melebihi tiga kali suci haid.

Dalam kitab Fiqh Sunnah karangan Sayyid Sabiq menyebut: “Rujuk itu hak suami selama dalam iddah, suami mempunyai hak

yang ditetapkan syarak padanya. Oleh itu, tidak boleh digugurkan haknya.Sekalipun suami berkata: “Tidak ada rujuk baginya” maka suami masih mempunyai hak rujuk dan hak merujuki isterinya. Bila rujuk itu hak suami, maka tidak perlu disyaratkan reda isterinya dan tidak mesti dalam pengetahuannya dan tidak perlu wali kerana itu adalah hak suami.”

Dalam kitab Minhaj AtTalibin dalam bab Ruju’ karangan Imam an-Nawawi menyebut: “Seseorang suami yang mentalak isterinya dengan talak raj’ie berhak merujuk isterinya itu selama ia masih dalam tempoh iddah iaitu dia boleh menarik balik lafaz talaknya dan mengambil balik isterinya semula dengan tidak memerlukan berkahwin semula untuk maksud itu.”

Seterusnya, terdapat beberapa perbahasan dan pendapat ulama mengenai cara suami merujuk isteri.

Imam Shafie menolak pendapat rujuk hendaklah diadakan di hadapan dua orang saksi. Sungguhpun rujuk itu boleh disebut dengan perkataan yang dibayangkan (kinayah), undang-undang tidak membenarkan ia digantungkan dengan apa-apa syarat.

Rujuk tidak boleh dilakukan dengan perbuatan saja tanpa diucapkan sebagai contoh dengan persetubuhan. Seorang suami hendaklah menyebutkan dia mengambil semula isterinya.

Selain itu, rujuk itu sah jika rukun dan syaratnya dipenuhi iaitu terdiri daripada suami, isteri dan sighah atau lafaz.

Lafaz antara rukun yang menjadikan rujuk itu sah atau sebaliknya. Lafaz rujuk itu adalah lafaz sarih (jelas) dan lafaz kinayah (tidak jelas). Lafaz yang jelas tidak memerlukan niat seperti suami menyatakan “saya rujuk isteri saya” atau “saya kembalikan isteriku dalam perkahwinanku.”

Namun, bagi lafaz kinayah ia memerlukan niat suami. Sekiranya suami tidak membuat lafaz secara jelas atau khusus, maka perlu diketahui niat suami apabila dia kembali bersama isteri seperti biasa atau melakukan hubungan kelamin dengan niat rujuk.

Perceraian di luar mahkamah adalah satu kesalahan. Tujuan undang-undang perceraian di luar mahkamah diwujudkan bagi mengelakkan perceraian dilakukan tanpa kebenaran mahkamah yang mendatangkan risiko.

Kesukaran timbul apabila isteri mendakwa dia diceraikan melebihi tiga kali. Jika perceraian tidak didaftarkan, ia memberi kelebihan kepada suami untuk mengekalkan isterinya dengan merujuknya atas dakwaan perceraian hanya berlaku dua kali saja.

Perceraian yang dilafazkan di luar mahkamah hendaklah disahkan mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam dan menjadi kesalahan matrimoni mengikut 125 Enakmen sama.

Bahkan, peruntukan berkaitan perceraian di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah digubal antara lain bertujuan mengawal supaya perceraian dapat dilakukan dengan baik.

Maksud menceraikan dengan cara baik adalah selain mentalakkan isteri, pada masa sama dia boleh memulakan iddah termasuklah tidak diburukkan, dicerca dan melakukan kekerasan.

Selain itu, hendaklah diselesaikan masalah seperti nafkah iddah, nafkah anak dan penjagaan anak-anak.

Sekiranya mahkamah berpuas hati perkahwinan itu benar-benar gagal dan selepas usaha perdamaian dijalankan, barulah mah- kamah memberikan kebenaran suami melafazkan talak.

Menurut undang-undang keluarga Islam yang berkuat kuasa di setiap negeri, perceraian tidak boleh sewenang-wenangnya dilafazkan di luar mahkamah.

Puan dan suami perlu lmembuat pengesahan lafaz cerai di mana-mana mahkamah berhampiran.

Oleh itu, suami yang menceraikan isterinya dengan lafaz talak di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah perlu melaporkannya dalam tempoh tujuh hari dari hari lafaz talak itu berlaku.

Justeru, puan dan suami perlu lapor dan membuat pengesahan lafaz cerai di mana-mana mahkamah berhampiran.

Jika perceraian berlaku, ia memberi kesan kepada perwarisan. Begitu juga dengan jumlah baki talak yang tinggal. Ia perlu direkodkan secara rasmi untuk rujukan pada masa depan.

Penulis ialah peguam syarie

Disiarkan pada: January 3, 2019 @ 2:00am
d