addin

Bina budaya ikut acuan agama

Oleh Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

BUDAYA boleh diterjemahkan sebagai keseluruhan pola tingkah laku, seni, kepercayaan, institusi, hasil usaha manusia serta ciri-ciri pemikiran masyarakat.

Islam melihat budaya sesuatu masyarakat terletak dalam kerangka kepercayaan Islam (akidah), perbuatan menjalankan penyembahan (ibadat), kod tingkah laku (akhlak) dan syariah.

Setiap budaya diterima baik oleh Islam selagi tidak bercanggah dengan akidah tanpa mengira kaum yang mengamalkannya.

Budaya dan agama adalah dua perkara berbeza, tetapi mempunyai hubung kait yang rapat.

Budaya terbentuk hasil ‘karya’ daripada tindakan manusia, sementara agama bersumberkan daripada Tuhan.

Melalui agama, sesuatu kelompok manusia membina budaya yang diamalkan berdasarkan ajaran agama berkenaan.

Agama yang dianuti pula mewarnai corak budaya dan akan diamalkan secara turun-temurun.

Semua penduduk di dunia ini mempunyai budaya masing-masing.

Sesuatu budaya menjadi identiti sekumpulan manusia yang tinggal di tempat tertentu, bercakap bahasa sama serta mengamalkan gaya hidup tersendiri termasuk agama dan kepercayaan.

Biarpun sebuah masyarakat itu memiliki budaya berbeza, tetapi mereka mempunyai beberapa persamaan dari sudut pakaian, bahasa dan makanan.

Contohnya, bangsa Melayu di Kedah berbeza dengan masyarakat Melayu di Melaka.

Begitu juga dengan etnik Cina seperti Hokkien, Kantonis dan Hakka masing-masing mempunyai budaya yang berbeza.

Malah, masyarakat yang tinggal berhampiran pantai juga berbeza dengan mereka yang hidup di persekitaran darat.

Interaksi dengan alam sekitar membentuk budaya kehidupan dan pola pemikiran.

Malaysia adalah sebuah negara berbilang etnik dan budaya di mana masyarakat Melayu beragama Islam, sementara masyarakat lain seperti Cina kebanyakannya pengikut agama dan kepercayaan seperti Buddha, Taois dan Konfusius.

Tidak kurang juga masyarakat Cina mengikuti campuran kepercayaan serta penyembahan nenek moyang.

Sekarang, terdapat orang Cina beragama Kristian dan Islam.

Oleh kerana sejarah politik dan sosial yang unik di negara ini, identiti rasmi dan sosial seseorang biasanya ditakrifkan mengikut latar belakang etniknya yang turut berkait rapat dengan agamanya.

Mengikut statistik dikeluarkan Jabatan Statistik Malaysia, pada 2000, jumlah penduduk Cina Muslim adalah 57,211 iaitu satu peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Cina seramai 5.69 juta orang.

Bagaimanapun, jumlah itu berkurangan pada 2012 kepada 42,048 iaitu hanya 0.66 peratus daripada jumlah penduduk Cina Malaysia berjumlah 6.39 juta orang.

Walaupun jumlahnya kecil, masyarakat Cina Muslim tetap memberikan impak dalam masyarakat Islam di Malaysia.

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Universiti Putra Malaysia

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 1:30am
d