addin

Lelaki pemimpin wanita

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Kejadian manusia bermula daripada penciptaan Nabi Adam, diikuti pasangannya Hawa. Kemudian diikuti zuriat keturunannya yang terbentuk daripada air mani.

Semua itu menjadi bukti bahawa segala-galanya atas kekuasaan dan kehendak Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (Hawa), dan juga yang membiakkan daripada kedua-duanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati kamu.” (Surah an-Nisa’, ayat 1)

Selepas penciptaan itu, Allah SWT memerintahkan manusia untuk bertakwa kepada-Nya, mengakui keesaan-Nya, sentiasa menyebut dan mengingati-Nya dan sentiasa menjaga hubungan sesama manusia.

Antara bentuk ketaatan kepada Allah SWT ialah menyedari dan menerima penciptaan manusia itu terdiri daripada lelaki dan perempuan.

Ia bukan satu pilihan, sebaliknya ketetapan daripada Allah SWT. Tidak ada sebarang kuasa boleh memberi jaminan dan menentukan jantina seseorang manusia.

Hatta penentuan jantina haiwan juga hak mutlak Allah SWT yang memperlihatkan kekuasaan-Nya.

Ketetapan jantina sama ada lelaki atau perempuan adalah satu bentuk ujian daripada Allah SWT. Ujian untuk menentukan siapakah dalam kalangan hamba-Nya yang taat dan siapakah pula yang melakukan maksiat.

Lelaki dan perempuan mempunyai tanggungjawab tersendiri yang perlu digalas kerana ia akan diadili di akhirat kelak.

Seorang lelaki akan menjadi ketua dalam keluarga yang bertanggungjawab memastikan seluruh ahli keluarganya terselamat daripada api neraka.

Seorang perempuan pula menjadi isteri yang perlu patuh kepada suaminya selagi suami tidak menyuruh sesuatu yang bersalahan dengan ketetapan Ilahi.

Kedua-dua jantina diletakkan pada kedudukan tersendiri bagi menggambarkan tiada sebarang bentuk ketidakadilan berlaku dalam urusan dunia membabitkan lelaki atau perempuan.

Kedua-duanya dibezakan pada beberapa keadaan, namun perbezaan itu tidak sesekali merendahkan kedudukan kedua-duanya.

Contohnya, dalam bab pelaksanaan ibadat solat berjemaah, lelaki berada di hadapan sesuai dengan tanggungjawabnya mengetuai jemaah.

Kedudukan perempuan pula di bahagian belakang. Bukan bermakna wanita ditindas, tetapi demi menjaga kehormatan wanita supaya tidak menjadi tontonan kepada golongan lelaki.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik saf lelaki adalah yang paling depan dan seburuk-buruk saf orang lelaki adalah yang paling akhir. Manakala sebaik-baik saf orang perempuan adalah yang paling belakang dan seburuk-buruk saf bagi mereka adalah yang paling hadapan.” (Hadis riwayat Muslim)

Jelas, perbezaan kedudukan lelaki dan perempuan itu bertujuan menjaga maslahah kedua-dua jantina. Banyak lagi aspek yang boleh diperhatikan seperti tatacara pemakaian dan aurat, pembahagian pusaka, peranan dalam medan jihad, hatta tatacara pengurusan jenazah semuanya menampakkan Islam meletakkan lelaki dan perempuan pada kedudukan yang istimewa mengikut jantina masing-masing.

Tidak ada istilah diskriminasi antara lelaki dan perempuan dalam Islam kerana setiap satunya dipelihara sebaiknya.

Justeru, tidak timbul soal lelaki ingin menjadi perempuan, begitu juga sebaliknya. Setiap insan perlu akur dengan ketetapan jantina kerana ia hak mutlak Allah SWT.

Apabila disebut hak mutlak Allah SWT, maka segala usaha menyalahi ketetapan adalah salah dan perlu dijauhi.

Naluri lelaki yang ingin menjadi perempuan dan perempuan yang ingin menjadi lelaki itu salah. Ia juga mengundang laknat daripada Allah SWT dan Rasul-Nya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Rasulullah melaknat mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Pada masa yang sama, golongan yang terbabit itu tidak boleh dihina tanpa diberi bantuan. Ia bukan masalah peribadi, sebaliknya boleh merosakkan masyarakat jika tidak ditangani dengan baik.

Ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan anak-anak tidak terbabit dalam masalah kecelaruan jantina dengan mengawasi segala tindak-tanduk mereka sejak kecil lagi.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Disiarkan pada: January 14, 2019 @ 11:26am
d