addin

Kebaikan 'kurikulum' ajaran Islam

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Ilmuwan Islam, Al-Mawardi pernah berpesan, “Sesiapa yang berbuat baik dengan orang, dia akan beroleh kebaikan. Sesiapa yang menyakiti orang lain, hanya akan beroleh penyesalan.”

Ringkas saja pesanan itu, tetapi ia mengandungi makna yang cukup bermakna. Pesanan al-Mawardi itu selaras tuntutan Islam yang mengajar umatnya sentiasa melakukan kebaikan kepada insan lain.

Rasa dan semangat kekitaan adalah antara ‘kurikulum’ ajaran Islam buat seluruh umatnya.

Islam tidak meletakkan amalan atau perbuatan secara individu, sebaliknya lebih terarah kepada bentuk landskap dan ekosistem kemasyarakatan yang saling melakukan kebaikan sesama manusia.

Selain itu, Imam al-Baihaqi dan at-Tabrani ada meriwayatkan sebuah hadis yang panjang untuk kita hayati bersama.

Abu Zar menceritakan, beliau bertanya kepada Baginda SAW, “Wahai Rasulullah, apakah yang menyelamatkan seseorang hamba daripada api neraka?”

Jawab Baginda: “Beriman dengan Allah.” Lalu Abu Zar bertanya lagi, “Wahai Nabi Allah, sesungguhnya amal perlu bersama dengan iman?”

Rasulullah menjelaskan: “Hendaklah dibelanjakan apa yang dikurniakan Allah.”

Kemudian Abu Zar menyambung lagi pertanyaan: “Wahai Rasulullah, apa pandangan tuan, kalau seseorang itu fakir dan tidak mempunyai sesuatu yang boleh dibelanjakan?”

Jawab Rasulullah: “Hendaklah menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar.” Beliau bertanya lagi: “Wahai Rasulullah, bagaimana kalau dia mempunyai kecacatan yang menyebabkannya tidak dapat menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar?”

Baginda bersabda, “Bantulah orang yang bodoh.” Siri pertanyaan dengan Baginda SAW, Abu Zar sambung lagi dengan bertanya, “Bagaimana kalau dia sendiri orang yang bodoh yang tidak boleh melakukan apa-apa?” Baginda tetap tenang melayan pertanyaan Abu Zar dengan menjawab, “Hendaklah menolong orang-orang yang tertindas.”

Tidak cukup dengan itu, Abu Zar ajukan lagi persoalan, “Bagaimana pula kalau dia seorang yang lemah yang tidak dapat membantu orang yang tertindas?”

Jawab Baginda: “Adakah kamu tidak ingin meninggalkan sesuatu kebaikan kepada saudaramu, buanglah sesuatu yang menyakitkan yang datang daripada orang ramai.”

Akhir sekali Abu Zar bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah jika seseorang berbuat demikian akan masuk syurga?”

Baginda tegaskan, “Tidak ada seorang Islam yang melakukan salah satu daripada sifat-sifat yang dinyatakan itu, melainkan sifat itu akan membimbing tangannya ke syurga.”

Terdapat banyak pengajaran dalam kisah Abu Zar bersama Rasulullah. Sesi pertanyaan itu membuktikan betapa indahnya pedagogi atau kaedah penyampaian ajaran Islam yang diberikan Rasulullah.

Baginda terbuka memberikan ruang dan peluang buat sahabatnya bertanyakan apa sahaja yang terbuku di hati.

Lihat bagaimana Baginda melayan soalan demi soalan yang diajukan kepadanya tanpa memperli, jauh sekali berasa bosan dengan kerenah sahabatnya.

Sebaliknya, Abu Zar jelas menunjukkan ciri-ciri umat Islam yang sentiasa inginkan ilmu. Tanpa segan silu beliau mengajukan apa sahaja persoalan yang tersimpan di hati untuk dikemukakan kepada Rasulullah.

Sikap Rasulullah menjawab pelbagai soalan daripada sahabatnya itu mengajar kita sebagai ibu bapa atau pendidik supaya tidak cepat bosan dengan pertanyaan anak-anak atau anak didik di dalam kelas.

Bahagian terpenting dalam penyampaian hadis itu adalah menyentuh perkara melakukan kebaikan.

Sehubungan itu, rebut peluang ketika hidup ini untuk berbuat amal soleh.

Ingat pesanan Rasulullah yang mahukan umatnya memanfaatkan lima waktu sebelum datangnya lima waktu lain.

Sabda Baginda yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa muda kamu sebelum datang masamu, masa sihat kamu sebelum datangnya masa sakit, masa kaya sebelum datangnya masa miskin dan masa hidupmu sebelum datang masa mati.” (Hadis riwayat al-Hakim)

Pesanan Baginda akan kekal relevan sepanjang masa. Usah menunggu masa pencen atau berstatus warga emas baru bersemangat dan bersungguh-sungguh berbuat kebajikan.

Allah mengingatkan kita menerusi firman-Nya dalam surah Yasin, ayat 68 yang bermaksud: “Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah, hakikat ini memang jelas), maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya.”

Justeru, kita perlu melembutkan hati untuk melakukan perbuatan baik pada setiap masa dan sentiasa bersemangat menghulurkan bantuan kepada sesiapa yang memerlukan pertolongan.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Disiarkan pada: January 15, 2019 @ 2:47pm
d