addin

Masalah rumah pusaka

Oleh Suriany Awaludin

Saya ingin bertanya mengenai pembahagian harta pusaka. Saya anak sulung daripada lima beradik. Arwah ayah meninggalkan rumah pusaka di kampung.

Saya dan dua beradik bersetuju untuk menjadikan rumah itu sebagai tempat berkumpul sekiranya kami dan saudara-mara lain pulang ke kampung.

Bagaimanapun, dua lagi tidak bersetuju dan mahu rumah pusaka itu dibahagikan mengikut faraid.

Apa yang perlu kami lakukan untuk menyelesaikan masalah ini?

Fahmi, Alor Star

PERTIKAIAN berkaitan harta pusaka adalah isu yang akan mengubah ikatan silaturahim dan persaudaraan. Disebabkan perkara itu, ia boleh menyebabkan hubungan antara adik-beradik kurang baik.

Islam adalah agama sempurna yang menyediakan medium terbaik dan praktikal sebagai penyelesaian untuk merungkai segala permasalahan harta pusaka melalui undang-undang pusaka Islam atau faraid.

Sistem faraid adalah undang-undang daripada Allah SWT yang diturunkan kepada manusia untuk menjamin keadilan dan kesejahteraan.

Bukan saja dapat menyelesaikan masalah kehidupan di dunia, malah ia kekal hingga ke akhirat nanti. Undang-undang itu juga dapat mendidik manusia mentauhidkan Allah SWT sebagai pemilik mutlak.

Manusia hanyalah pelaksana amanah yang diberikan. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa, ayat 7 yang bermaksud: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak daripada harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”

Sistem faraid adalah satu sistem pembahagian harta pusaka yang sangat unik dan tidak ada sistem lebih baik daripadanya di dunia ini.

Melalui sistem faraid, ia menjamin semua yang berhak mendapat pusaka dan bahagian mereka melalui penentuan waris oleh syarak, adil, pembahagian yang seimbang dan setiap orang berhak menerima harta pusaka berkenaan.

Sebagaimana masalah yang dihadapi saudara, rumah pusaka itu mempunyai nilai yang tidak dapat diganti dengan sebarang harta di dunia ini.

Apabila ibu dan ayah meninggal dunia, harta yang ditinggalkan itu adalah harta pusaka dan wajib diselesaikan dengan segera.

Ini kerana ketika hayat ibu ayah, tiada sebarang perancangan pusaka dibuat dan menyebabkan ia perlu diselesaikan oleh waris setelah kematian mereka.

Niat tiga orang daripada lima beradik untuk menjadikan rumah pusaka itu sebagai tempat berkumpul sangat baik. Secara tidak langsung, ia dapat mengukuhkan ikatan persaudaraan dan hubungan silaturahim mereka.

Namun, sekiranya terdapat pertikaian atau tidak sependapat dengan niat menjadikan rumah itu tempat berkumpul, ia perlu juga diselesaikan secara sistem faraid.

Melainkan, selepas dibincangkan bersama dan mendapat keputusan muktamad bahawa sekalipun dibahagikan secara faraid, rumah pusaka itu tetap akan dipelihara bersama untuk dijadikan tempat berkumpul.

Melalui cara itu, saya percaya semua pihak akan berpuas hati. Sehubungan itu, waris perlu mendaftarkan pembahagian pusaka di pejabat pusaka negeri untuk tujuan pembahagian dan pendaftaran hak milik.

Ia perlu diselesaikan segera bagi mengelakkan berlakunya kematian berlapis dan wujudnya perbalahan yang lebih serius.

Tiada pihak yang boleh campur tangan dalam menentukan hala tuju penyelesaian harta pusaka mereka melainkan dengan adanya permuafakatan dan kesatuan dalam kalangan adik-beradik.

Jika tiada kata sepakat, maka pembahagian secara faraid tetap menjadi penyelesaian terbaik.

Penulis peguam syarie

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 2:13pm
d