addin

Dakwah terdekat

Oleh Fatimah Syarha Mohd Noordin

APA yang kita fikirkan apabila menyebut perkataan dakwah? Adakah perlu berdakwah kepada masyarakat yang lalai? Berdakwah kepada bukan Muslim atau berdakwah kepada orang baik agar kekal konsisten?

Semua itu adalah sasaran dakwah yang perlu didekati. Namun, paling asas jangan lupa pembinaan diri dan berdakwah kepada keluarga terdekat terutamanya pasangan dan anak-anak.

Keluarga adalah saksi kehidupan kita. Mereka memberi pengaruh besar terhadap kewibawaan sebenar diri kita.

Nabi SAW bersegera berdakwah kepada ahli keluarga Baginda ketika turun ayat menyuruh memperingatkan kaum kerabat terdekat dalam Surah al-Syuara’.

Abu Hurairah berkata, Nabi SAW berdiri lalu berkata, “Wahai Sofiyah, ibu saudara Rasulullah, aku tidak dapat membantumu daripada seksaan Allah sedikitpun. Wahai Fatimah binti Muhammad, mintalah sesukamu akan hartaku, tetapi aku tidak dapat membantumu daripada seksaan Allah sedikitpun.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tokoh yang diiktiraf namanya dalam al-Quran sangat memperhatikan perkara pokok (usul) ketika berdakwah kepada keluarga berbanding sekadar perkara cabang (furu’).

Firman Allah SWT yang maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: ‘Wahai anak kesayanganku, janganlah Engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain). Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.’”

Dakwah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud seruan, panggilan atau ajakan.

Bahasa Arab sememangnya amat besar pengaruhnya dalam hidup kita. Ia adalah bahasa al-Quran, rujukan tertinggi umat Islam sedunia. Bahasa Arab juga besar jasanya kepada bahasa Melayu kerana banyak perkataan bahasa Melayu dipinjam daripada bahasa Arab.

Yusuf al-Qaradawi berpendapat dakwah ialah mengajak kepada Islam, mengikut petunjuk-Nya, mengukuhkan manhaj-Nya di muka bumi, beribadat kepada-Nya, memohon pertolongan dan taat hanya kepada-Nya, melepaskan diri daripada semua ketaatan kepada selainNya, membenarkan apa yang dibenarkan oleh-Nya, menyalahkan apa yang disalahkan-Nya, menyeru kepada yang makruf, mencegah yang mungkar dan berjihad di jalan Allah.

Seterusnya, ‘Abd Al-Karim Zaydan menganggap dakwah adalah panggilan ke jalan Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan Aku menegaskan: Maha Suci Allah (daripada segala iktikad dan perbuatan syirik), dan bukanlah Aku daripada golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.”

Dakwah juga ditakrifkan sebagai menggalakkan manusia melakukan kebaikan, hidayah dan amar makruf nahi mungkar supaya mereka mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat.

Di dalam al-Quran, perkataan dakwah disebut sebanyak 198 kali. Sebutan itu terdapat dalam 55 surah dan 176 ayat. Sebanyak 141 ayat mengenai dakwah turun di Makkah.

Sebanyak 30 ayat turun di Madinah dan lima ayat lagi terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu) dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan juga sebagai penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada agama Allah dengan taufik yang diberi-Nya dan sebagai lampu yang menerangi.”

Kerja dakwah bukan hanya dipertanggungjawabkan kepada golongan agamawan saja. Ia juga bukan dibebankan kepada majlis agama, badan kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan.

Dakwah adalah kerja kita semua. Biarpun terdapat pelbagai gerakan dakwah ditubuhkan sama ada diasaskan melalui politik, kebajikan, menumpukan golongan mualaf, misi kemanusiaan dan sebagainya, kita mesti terbabit dalam kerja mulia itu.

Pendakwah harus bijak menilai keutamaan dakwah. Nabi SAW sendiri pernah ditegur Allah SWT apabila lebih mengutamakan berdakwah kepada pembesar yang menolak berbanding seorang buta yang datang menyerah diri untuk mendengar dakwah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Ia memasamkan muka dan berpaling kerana ia didatangi orang buta. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad)? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu). Ataupun ia mahu mendapat peringatan supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya.”

Sasaran dakwah lebih mengutamakan orang yang mencari dan menyiapkan persediaan hati berbanding golongan yang menentang atau mengabaikan dakwah Islamiah meskipun mereka berhak mendapat layanan dakwah kita.

Layanan dan kesantunan dakwah perlu diberikan kepada orang-orang yang mencari hidayah tanpa melihat nama, kedudukan, pangkat dan warna kulit.

Di situlah pentingnya berdakwah dengan ilmu. Imam Ghazali mendefinisikan ilmu sebagai ‘suatu kepastian secara demonstratif, cahaya (nur) adalah anak kunci kepada ilmu dan untuk sampai kepada ilmu yang pasti mestilah melalui pengalaman langsung.

Syed Muhammad Naqib al-Attas mentakrifkan ilmu sebagai “as the arrival in the soul of the meaning of a thing, or the arrival by the soul at the meaning of a thing.”

Maksudnya, sampai sesuatu pengertian ke dalam jiwa manusia atau datangnya sesuatu makna melalui jiwa manusia.

Kesimpulannya, berdakwahlah kepada keluarga dan masyarakat dengan ilmu. Ilmu pula mestilah mempunyai suluhan sumbernya iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

Penulis pendakwah dan penulis buku

Disiarkan pada: January 19, 2019 @ 4:30am
d