addin

Berpada-pada kejar harta dunia

Oleh Hilmi Isa

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil (tidak benar), kecuali dalam perdagangan yang berlaku atas dasar reda-meredai di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya Allah maha penyayang kepadamu.” (Surah al-Nisaa’, ayat 29)

Hari ini ramai Muslim sudah kehilangan jati diri apabila lebih mengagungkan golongan artis. Segala kisah mengenai artis kesayangan mereka tahu.

Ia seakan-akan satu kebanggaan untuk mengetahui serba-serbi mengenai artis kesayangan. Gosip serta video berkaitan artis mendapat tontonan sehingga mencecah jutaan tontonan.

Apa yang dipakai artis menjadi fesyen ikutan. Apabila artis berpakaian menjolok mata, ramai yang turut menirunya.

Gaya hidup bebas artis juga menjadi contoh anak muda. Pada hari ini, ramai manusia mempunyai hampir segala kemewahan dunia, tetapi tidak berasa bahagia.

Puncanya kerana tidak mengikuti petunjuk yang dibawa Rasulullah SAW. Selain artis, masyarakat moden turut taasub terhadap guru kekayaan yang mengajarkan hidup bertuhankan harta benda.

Siang malam mengejar kekayaan sehingga mengabaikan solat. Sibuk mesyuarat sehingga solat ditinggalkan. Apa saja yang menghalang kekayaan akan diketepikan.

Agama menghindarkan rasuah tetapi materialisme membenarkannya. Lazimnya, perkahwinan yang tidak bahagia disebabkan sibuk mengejar kekayaan. Akibatnya, masa bersama keluarga semakin berkurangan.

Apabila hubungan semakin dingin dan konflik semakin tegang, jalan penyelesaiannya adalah perceraian.

Allah SWT berfirman dalam Surah an-Anbiya, ayat 25 yang bermaksud: “Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun sebelum kamu melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawa tidak ada Tuhan melainkan Aku, maka sembahlah Aku olehmu sekalian."

Rasulullah SAW menunjukkan jalan yang bukan saja membawa kebahagiaan di dunia tetapi di akhirat. Baginda juga menyuruh umatnya menjadi kaya kerana dengan harta kekayaan nanti boleh digunakan untuk membantu Muslim lain.

Kaya bukan untuk berfoya-foya, tetapi untuk manfaat ummah dan agama. Biasanya majikan Muslim lebih faham keperluan pekerja Muslim berbanding majikan bukan Islam.

Hakikatnya, kekayaan sebenar adalah kekayaan jiwa. Perhatikan golongan dermawan di Barat, selepas bersara mereka banyak melakukan kerja kebajikan.

Kebanyakan mereka menyatakan, kehidupan lebih bahagia dengan menyumbang. Menjadi impian ramai orang untuk bergelar jutawan, tetapi setelah beberapa lama, segala-galanya akan menjadi bosan kerana harta kekayaan yang dikejar itu tidak akan ada kesudahannya.

Penawar datang apabila harta itu dikongsi dengan golongan yang memerlukan. Itulah puncak kebahagiaan mereka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya ada pada Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi orang yang mengharap (reda) Allah dan hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Surah al-Ahzab, ayat 40)

Penulis Perunding Psikologi Bahasa

Disiarkan pada: January 25, 2019 @ 2:52pm
d