addin

Bunuh jiwa orang Islam

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

ISLAM disebar menerusi pendekatan dakwah yang beradab dan di-plomasi. Dalam sejarah perkembangan Islam, umat Islam tidak pernah bertindak mengancam atau bermusuh dengan penganut agama lain.

Hakikatnya, Islam dan penganutnya sentiasa berhadapan pelbagai persepsi buruk dan ancaman yang mengganggu-gugat keamanan dan ketenteraman.

Umat Islam sebenarnya tidak mudah diancam secara fizikal dan ketenteraan, tetapi pihak musuh menggunakan ‘serangan’ ke atas kekebalan iman dan takwa umatnya.

Misalnya, musuh Islam sudah lama ‘menyogok’ hiburan yang sia-sia supaya umat Islam khususnya generasi muda lari daripada ajaran agamanya.

Kesan langsung serangan budaya hidup melalaikan itu membuatkan generasi Muslim lebih cintakan hiburan.

Budaya hidup yang menjulang unsur hiburan itu semakin sebati dalam jiwa, sekali gus menghakis imej peribadi dan jati diri selaku umat Islam sebenar.

Musuh Islam tidak akan sesekali merelakan Islam dan penganutnya terus berkembang di atas muka bumi ini. Tanpa jemu mereka pasti berusaha menjayakan misi dan visi meruntuhkan pegangan akidah umat Islam.

Begitu juga cara menyogok bahan terlarang di sisi agama seperti arak, judi dan dadah. Sehingga hari ini, dadah masih kekal sebagai musuh nombor satu negara yang banyak menghancurkan masa depan generasi muda Muslim.

Kita tidak terkejut sekiranya usaha pihak Zionis Israel cuba mengalih pendekatan memusnahkan kelangsungan kehidupan umat Palestin dengan memperkenalkan dadah dalam kalangan penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.

Dalam satu laporan Arab News menyatakan, penggunaan dan permintaan beberapa jenis dadah sintetik seperti ekstasi, ganja serta opioid semakin meningkat walaupun langkah pencegahan dilakukan pihak berkuasa.

Pada Oktober tahun lalu, Ketua Jabatan Kawalan Dadah di Rafah, Mejar Ahmad Al-Shaer mengumumkan rampasan pelbagai jenis dadah termasuk ganja, pil ekstasi dan pil tramadol atau dikenali sebagai ubatan berasaskan opioid untuk merawat kesakitan selepas pembedahan.

Dilaporkan juga pelbagai langkah sekatan dan kawalan termasuk kempen dilakukan pihak berkuasa, namun gejala berbahaya itu masih sukar dibendung.

Apa yang menarik lagi untuk memahami situasi itu adalah kenyataan seorang pakar psikologi dan neurologi, Fadl Ashour menerusi kajian yang dijalankan di Gaza sejak tiga tahun lalu yang menunjukkan jumlah penagih dadah dianggarkan seramai 200,000 orang.

Tambah pakar itu lagi, penggunaan dadah opioid dan ubat perangsang oleh golongan belia di Gaza adalah sebagai cara mereka melahirkan kekecewaan dengan situasi yang melanda Semenanjung Gaza, khususnya sekatan dan kezaliman Zionis yang menyebabkan wilayah mereka duduki gagal membangun untuk mencipta masa depan yang lebih baik.

Pendedahan media itu sangat membimbangkan kerana penularan penggunaan dadah bakal menjadi ‘senjata halus’ pihak musuh memusnahkan kehidupan masyarakat di Palestin yang sudah sekian lama menderita.

Mereka menyedari hanya dengan melemahkan iman dan pegangan agama saja visi mereka meranapkan umat Islam akan berjaya.

Senjata halus itu adalah ‘pembunuh’ jiwa umat Islam. Dadah yang digunakan membuatkan generasi muda Muslim tidak lagi menjunjung hidup berpaksikan ajaran Islam sebenar, sebaliknya muncul generasi Muslim yang lemah iman dan celaru keperibadiannya.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Disiarkan pada: February 12, 2019 @ 9:53am
d