addin

Kasih sesama insan

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

KETIKA mencapai usia lanjut, manusia kembali seperti keadaan mereka ketika bayi. Golongan yang uzur dan berusia memerlukan orang lain mengurus dirinya kerana pergerakan dan kudratnya terbatas.

Makan, minum hatta untuk membuang air sekalipun memerlukan orang lain untuk menguruskannya. Atas kelemahan manusia itu, Allah SWT memerintahkan hamba-Nya menghargai orang lain.

Islam menjelaskan kepentingan berbuat baik kepada orang lain. Kita diperintahkan berbuat baik kepada ibu bapa, saudara- mara, jiran tetangga, tetamu dan sahabat.

Allah SWT menjelaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua
ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada golongan yang sombong dan membangga diri.” (Surah an-Nisa’, ayat 36)

Kasih sayang, saling ambil berat, sentiasa inginkan orang lain mendapat kebaikan antara perkara yang dizahirkan melalui sikap prihatin sesama insan.

Malah, sikap prihatin terhadap orang lain juga turut dikaitkan dengan iman. Ia bukan sekadar berlegar dalam topik perbincangan berkaitan akhlak, tetapi dikaitkan dengan iman yang termasuk dalam perkara akidah.

Rasulullah SAW membuktikan kepentingan sikap prihatin terhadap orang lain sebagai salah satu cabang iman.

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Iman itu ada tujuh puluh atau enam puluh cabang lebih, yang paling utama ialah ucapan ‘Laailaaha’illallah’, sedangkan yang paling rendah ialah membuang sesuatu yang mengganggu (orang lain) di jalan, dan malu itu salah satu cabang keimanan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis itu menyatakan, satu perkara yang mungkin sebilangan orang melihatnya kecil namun ia termasuk dalam cabang keimanan.

Membuang sesuatu yang mengganggu atau membahayakan orang lain di atas jalan adalah bukti betapa Islam amat mementingkan sikap prihatin terhadap orang lain.

Lihat pula orang sekeliling kita, mungkin ada jiran menghadapi kesulitan, maka kita boleh bertanya khabar keadaannya. Ada ketikanya kita bertemu orang meminta sedekah, jadi hulurkan sesuatu mengikut kemampuan diri. Paling kurang doakan kebaikan kepadanya dan jangan pula menghinanya.

Anak yatim juga tidak boleh dipinggirkan. Bagi golongan yang berkemampuan, anjurkan program bermanfaat untuk golongan itu bagi menggembirakan hati mereka.

Ketika menggunakan tandas awam misalnya, jaga kebersihan kerana tempat itu akan turut digunakan orang lain.

Begitu juga ketika berada di restoran, jangan merokok kerana ia mengganggu orang lain yang sedang ma-
kan, apatah lagi jika ada kanak-kanak atau bayi.

Selain itu, ketika berada di masjid dan surau, jangan membazir air dan elektrik kerana setiap kosnya ditampung orang ramai.

Gunakan kemudahan disediakan sebaiknya tanpa membebankan orang lain. Rasulullah SAW turut menjelaskan larangan orang yang memakan makanan berbau supaya tidak mendekati masjid.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang memakan bawang merah, bawang putih dan kurrath (sejenis daun bawang), maka janganlah dia mendekati masjid kami kerana malaikat berasa terganggu dengan hal (bau) yang membuat manusia terganggu.” (Hadis riwayat Muslim)

Larangan itu bukan menjadikan alasan orang yang makan makanan itu supaya tidak hadir ke masjid, tetapi saranan supaya dia membersihkan mulut serta menghilangkan bau sebelum datang ke masjid.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 12:55pm
d