addin

Hati bersih mudah terima ilmu

Oleh Dr Nurkhamimi Zainuddin

Di dunia ini, ada insan ditakdirkan buta. Namun, dia tetap pasrah atas ketentuan Allah SWT itu dengan mempelajari ilmu yang bermanfaat buat dirinya.

Buta yang ditakdirkan Allah SWT ke atas seseorang adalah qada’ dan qadar-Nya. Mereka patut dijadikan contoh oleh umat Islam.

Walaupun tidak dapat melihat, tetapi mata hatinya bersih dan terang. Setiap ilmu yang dipelajarinya mudah difahami dan diingati di dalam hati.

Hakikatnya, mereka hanya buta di mata, tetapi celik di hati. Ramai yang buta namun mampu menghafaz 30 juzuk ayat al-Quran.

Jelas, kecacatan penglihatan bukan penghalang untuk maju dalam bidang pendidikan pada masa kini.

Bagi yang sihat penglihatan sepatutnya bersyukur dengan anugerah penglihatan yang dikurniakan. Kita dapat melihat segala perkara dan pandangan di dunia ini.

Apabila dapat melihat kebesaran Allah, ia sepatutnya membuka hati kita untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT, merasai kenikmatan anugerah-Nya serta dapat menginsafi malapetaka dan bencana yang berlaku di dunia ini.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut mereka menjadi orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata yang buta, tetapi yang buta itu ialah hati yang ada di dalam dada.” (Surah al-Hajj, ayat 46)

Implikasi dihadapi manusia seumpama itu bukan sekadar buta mata hatinya di dunia sehingga tidak dapat melihat kebesaran Allah, malah tindakan dilakukan hanya menurut kehendak hawa nafsu.

Golongan terbabit semakin berani menentang kehendak Allah secara terbuka tanpa rasa bersalah. Menolak ketentuan dan peringatan Allah SWT menjadikan hati semakin gelap dan buta.

Kehidupannya di dunia sentiasa tidak tenteram, ditimpa musibah, sukar menerima perkara yang benar dan sebaliknya suka kepada kebatilan.

Kesannya di akhirat lebih dahsyat dan tiada jaminan syurga buat mereka.

Cuba renungkan kehidupan kita pada hari ini, bermula awal pagi hingga ke malam.

Adakah tanggungjawab kita sebagai hamba Allah sudah kita tunaikan mengikut aturan yang ditentukan oleh syarak?

Umat Islam kini berdepan fitnah akhir zaman. Jika tidak memandang dan mengagumi kekuasaan Allah dengan mata hati, banyak perkara mungkar akan kita lakukan.

Dugaan yang diberikan kepada setiap manusia juga tidak sama. Malah, yang tinggi pengetahuan agama sekalipun tetap diuji.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan datang suatu zaman seseorang itu tidak mempedulikan dari mana dia mendapatkan harta, apakah daripada sumber yang halal ataupun haram.”

Kita sering dilalaikan dengan kehidupan dunia dan berhibur sehingga membelakangkan nilai agama dan ajaran Rasulullah SAW.

Apabila berada di padang mahsyar kelak barulah kita menyesal. Ketika itu kita dihimpunkan dalam keadaan buta.

Justeru, hitung diri sebelum Allah menghitung segala amalan kita. Adakah sudah cukup amalan untuk bertemu Allah atau amalan kita di dunia ini sudah dijamin pahala di akhirat nanti?

Setiap pergerakan kita sentiasa diawasi dua malaikat, iaitu Raqib dan ‘Atid. Janganlah kita meletakkan diri dalam kalangan manusia yang celik di dunia, tetapi buta di akhirat.

Penulis Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Disiarkan pada: March 5, 2019 @ 10:37am
d