addin

Pemimpin diredai Tuhan

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Islam meletakkan beberapa syarat bagi melayakkan seseorang diangkat sebagai pemimpin. Apatah lagi sekiranya mahu diangkat menjadi pemimpin peringkat negeri atau negara.

Masyarakat Islam seharusnya menjadikan pra-syarat untuk mengangkat seseorang pemimpin berdasarkan kriteria yang digariskan agama.

Perkara pertama yang seharusnya diteliti ialah kejujuran dan sifat amanah. Urusan mentadbir dan mengurus sesebuah negeri atau negara sangat memerlukan pemimpin yang beramanah.

Pemimpin yang amanah akan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat berbanding diri sendiri dan sentiasa turun padang tanpa diundang.

Pemimpin itu menunjukkan sikap prihatin terhadap urusan kehidupan rakyat tanpa mengira musim. Baginya mendekati rakyat bawahan itu tidak boleh sesekali diabaikan.

Pemimpin yang layak diredai Allah adalah kalangan mereka yang sentiasa akur dan insaf bahawa setiap tindak-tanduk ketika memegang tampuk kepemimpinan itu akan dipersoalkan di hadapan Allah pada hari akhirat kelak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan ditanya tentang rakyat yang berada di bawah kawalannya. Orang lelaki adalah pemimpin dalam ahli keluarganya dan bertanggungjawab terhadap rakyat di bawah jagaannya. Wanita adalah pemimpin dalam rumah suaminya dan bertanggungjawab terhadap orang yang berada di bawah jagaannya. Khadam bertanggungjawab terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang berada di bawah jagaannya.” (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Anas bin Malik membawa sebuah hadis yang memperkatakan hal amanah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada iman bagi orang yang tidak ada sifat amanah dan tidak ada agama bagi yang tidak boleh memegang janji.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan disahihkan oleh Al-Bani seperti terdapat dalam Kitab Sahih al-Targhib Wa al-Tarhib)

Kelayakan akademik sahaja tidak mencukupi untuk menjadikan seseorang itu benar-benar menepati ciri-ciri sebagai pemimpin yang tulen.

Muncul ramai ‘pemimpin palsu’ yang gah melontarkan bicara kata sehingga ramai yang mendengar akan berasa terbuai dalam keindahan gagasan yang dicanangkan.

Pemimpin yang jujur dan beramanah tidak melontarkan janji yang sedap didengar. Mereka akan mengotakan apa yang dijanjikan kepada rakyat.

Dalam Islam, setiap pemimpin wajib melangsaikan apa yang dijanjikan tanpa dibayangi pelbagai alasan untuk mengelaknya.

Sebab itu Islam sangat menegah menyerahkan kepemimpinan kepada mereka yang tidak beramanah. Hal itu pernah disuarakan Rasulullah SAW yang menegaskan: “Sesiapa yang melantik seseorang petugas daripada kalangan orang-orang Islam, sedangkan dia mengetahui daripada kalangan orang-orang Islam itu masih ada orang yang lebih utama daripadanya, malah lebih mengetahui tentang kitab Allah dan sunah Rasul-Nya sesungguhnya telah mengkhianati Allah, Rasul dan juga seluruh orang yang beriman.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi)

Selain amanah, selaku umat Nabi SAW kita seharusnya menilai seseorang dari sudut keperibadian yang jujur dan tidak ada unsur penipuan.

Tersilap perkiraan tanpa merujuk kehendak agama yang sebenar, malah lebih teruja dengan sifat luaran sahaja bakal mengundang suasana kepemimpinan yang menyusahkan rakyat.

Akan timbul pelbagai gejala negatif yang bertentangan dengan ajaran agama seperti berleluasanya amalan rasuah, kronisme, tindakan tidak adil dan pecah amanah.

Seharusnya sesiapapun yang dijulang selaku pemimpin perlu insaf perihal peringatan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila Allah menghimpunkan manusia yang terdahulu dan yang kemudian pada hari kiamat, tiap-tiap orang yang khianat akan diangkat satu panji-panji yang boleh dikenali ramai. Dikatakan kepadanya, Inilah pengkhianatan pulan bin pulan...” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Disiarkan pada: March 5, 2019 @ 12:00pm
d