addin

Akibat 'gila' wang, harta

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

UMPAMA aliran darah yang mengalir di dalam tubuh manusia, begitulah syaitan yang dapat masuk ke segenap urat nadi.

 Mereka akan berusaha untuk membongkar serta mengintip setiap inci kelemahan yang ada pada diri manusia.

Jika terhalang satu pintu, syaitan akan mengintip pula ruang pintu lain. Apa yang utama bagi mereka adalah berusaha menyesatkan serta melalaikan manusia daripada mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Dalam situasi tertentu, kita seorang hamba Allah lupa akan kelicikan dan gerak operasi syaitan sehinggakan dengan mudah mereka melalaikan diri daripada mengikuti jalan yang ditetapkan Allah.

Contohnya, dalam urusan perniagaan, Islam menetapkan pelbagai etika yang sewajarnya diikuti supaya setiap urusan tertakluk kepada sistem patuh syariah.

Namun dalam kesibukan mencari keuntungan, banyak pihak lupa kepada tatacara sebenar yang ditetapkan agama, lantas terjadilah salah laku dan penyelewengan ketika berurus niaga.

Syaitan laknatullah mengetahui manusia ‘gilakan’ wang dan harta. Mereka menggunakan kelemahan itu sebagai strategi untuk menenggelamkan manusia kepada perbuatan yang bertentangan dengan nilai agama.

Maka, dengan mudahnya syaitan menghasut manusia dalam urusan perniagaan haram dengan menayangkan di mata manusia nikmat keuntungan.

Syaitan mengetahui hajat manusia yang beria-ia mencari rezeki, lalu mereka gunakan peluang terbuka itu untuk membuatkan manusia fokus kepada pencarian rezeki semata-mata tanpa memperhitungkan nilai dan etika agama.

Golongan yang hanya melihat keuntungan dunia tanpa hitungan halal dan haram adalah manusia ‘kesayangan’ dan dicari-cari syaitan.

Seharusnya setiap pekerjaan itu adalah jalan jihad. Sayangnya ada yang berakhir dengan perbuatan yang dimurkai Allah. Banyak kes penipuan berlaku dalam perniagaan. Semuanya terjadi kerana manusia lupa tegahan Allah.

Allah SWT memberi amaran menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Celaka besarlah bagi orang yang menipu. Iaitu orang yang apabila menerima timbangan daripada orang lain, mereka minta dipenuhi. Dan, apabila mereka menakar dan menimbang untuk orang lain, mereka mengurangkannya.” (Surah Al-Mutaiin, ayat 1-3)

Seandainya syaitan melihat seseorang masih mencari rezeki dengan mengikuti syariat, itu belum cukup membuatkan mereka mengangkat ‘bendera putih’ untuk mengaku kalah.

Sebaliknya, syaitan terus mencari titik lemah diri manusia di sudut lain pula. Mungkin dipasangkan pula jerat supaya manusia berasa tamak dan sayangkan harta sehingga kedekut untuk mengeluarkan zakat atau menghulurkan sedekah.

Apabila sudah tertanam dalam hati seseorang rasa sayang kepada harta dan kekayaan yang dimiliki, sifat syukur kepada Allah akan terhakis.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya apabila kamu bersyukur, maka Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan sekiranya kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku begitu dahsyat.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Apabila rasa kepedulian terhadap nasihat dan amaran Allah tidak ditanam sekukuhnya dalam hati pasti akan mengakibatkan ramai manusia tewas dalam strategi diatur syaitan.

Begitu juga dalam urusan rumah tangga. Syaitan sentiasa memasang jarum halus bagi menjahanamkan hubungan pasangan suami isteri serta ahli keluarga mereka daripada jalan Allah.

Hasil kaji selidik didapati sifat panas baran keterlaluan khususnya suami atau ayah antara sebab runtuhnya rumah tangga yang dibina.

Tidak menghairankan, sifat marah pada diri seseorang dilihat oleh syaitan sebagai jalan paling berkesan untuk mereka menghasut manusia. Apa yang pasti, dalam apa saja urusan hidup, kita tidak terlepas daripada strategi syaitan untuk melemahkan serta menghakis iman manusia.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Disiarkan pada: March 12, 2019 @ 9:39am
d