addin

Bakti wali songo di Tanah Jawa

Oleh Muhamad Khairi Asyraf Basri

Julukan Wali Songo diberikan kepada sembilan wali yang banyak berjasa kepada penyebaran Islam di Indonesia.

Pada umumnya, Wali Songo berdakwah dan menyebarkan Islam di Tanah Jawa pada abad ke-14.

Terdapat tiga wilayah yang menjadi lokasi wali berkenaan menyebarkan dakwahnya iaitu Surabaya- Gresik-Lamongan-Tuban (Jawa Timur), Demak-Kudus-Muria (Jawa Tengah) dan Cirebon (Jawa Barat).

Penulis berpeluang bermusafir ke Pulau Jawa pada Mac tahun lalu bagi menjejaki peninggalan sejarah dan dakwah Wali Songo di beberapa lokasi termasuk Makam Sunan Ampel di Surabaya, Makam Sunan Giri di Gresik, Makam Sunan Drajat di Lamongan dan Makam Sunan Bonang di Tuban.

Selain itu, penulis turut melawat Makam Sunan Kudus, Makam Sunan Kali

jaga dan Masjid Agung Demak iaitu masjid pertama didirikan oleh Wali Songo di Kepulauan Jawa.

Masjid Agung Demak juga menempatkan makam Raden Fatah iaitu pemerintah pertama Kesultanan Demak. Baginda adalah keturunan Raja Majapahit yang alim, warak dan adil.

Destinasi terakhir penulis adalah ke Cirebon yang terletak di Jawa Barat untuk melawat Makam Sunan Gunung Jati iaitu sejauh 285 kilometer dari wilayah Jawa Tengah.

Istilah Sunan dalam kebudayaan masyarakat Jawa membawa maksud ‘orang yang dihormati’.

Sebahagian Wali Songo memiliki nama asal bermula dengan perkataan ‘Raden’ kerana mereka juga kerabat bangsawan istana kerajaan pada ketika itu.

Ramai menyangka kedatangan Islam di Nusantara khususnya di Tanah Jawa hanya dibawa oleh sembilan wali itu sahaja.

Sebenarnya, ramai lagi ulama sufi datang ke Tanah Jawa bagi tujuan dakwah.

Kisah dakwah ahli sufi yang penuh hikmah itu bermula dengan seorang tokoh agung bernama Syeikh Jamadil Kubra.

Beliau adalah ahli sufi yang juga Ahlul Bait Rasulullah yang datang ke Nusantara membawa dakwah Islamiah bermanhaj akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah al-Asyairah dan Mazhab Syafi’iyah.

Kedatangannya ke Nusantara diiringi dua puteranya iaitu Maulana Malik Ibrahim dan Maulana Ishaq.

Maulana Malik Ibrahim juga dikenali sebagai Sunan Gresik manakala Maulana Ishaq pula ialah bapa kepada Sunan Giri.

Syeikh Jamadil Kubra menetap di Pulau Jawa manakala Sunan Gresik ke Champa dan saudaranya, Maulana Ishaq mengislamkan Samudera-Pasai, Aceh.

Sunan Gresik bermukim di Champa selama 13 tahun dan berkahwin dengan puteri raja di sana.

Beliau dikurniakan dua putera dengan seorang daripadanya bernama Sayyid Ali Rahmatullah atau Raden Rahmat atau lebih dikenali sebagai Sunan Ampel.

Selepas 13 tahun berdakwah di Champa, Sunan Gresik datang ke Kepulauan Jawa.

Selain berdakwah, kedatangan Sunan Gresik ke Pulau Jawa adalah untuk berniaga, bertani dan menjadi tabib.

Beliau pernah diundang ke istana untuk mengubati isteri Raja Brawijaya Majapahit yang juga seorang puteri dari Champa.

Dakwah Sunan Gresik yang lemah lembut mendapat tempat di hati masyarakat yang pada ketika itu kebanyakannya menganut ajaran Hindu.

Vaisya dan Sudra iaitu golongan kasta bawahan Hindu amat tertarik dengan dakwahnya.

Kerajaan ketika itu juga sedang bergelut dengan kejatuhan ekonomi dan perang saudara.

Golongan Brahmana dan Ksyatria, termasuk biksu-biksu Buddha menjauhi kedatangan Sunan Gresik dan mula berhijrah ke Pulau Bali.

Dakwah Wali Songo menjadi lebih besar apabila Sunan Ampel bin Sunan Gresik memainkan peranannya.

Sepertimana kebiasaan ulama, Wali Songo pada zaman muda menghabiskan masa mereka belayar untuk menuntut ilmu.

Ada sebahagiannya belayar sehingga ke Asia Tengah dan Afrika Utara. Ada juga yang menuntut di sekitar Nusantara.

Namun selepas tamat pengajian, mereka pasti pulang ke kampung halaman bagi menyebarkan ilmu dan membina masyarakat.

Sunan Ampel dikatakan menganut Mazhab Hanafi kerana sepanjang perjalanan menuntut ilmu, beliau mendalami mazhab itu.

Walau bagaimanapun, apabila tiba di Kepulauan Jawa, beliau menghormati amalan masyarakat setempat yang mengikuti Mazhab Syafie.

Bahkan, diri beliau sendiri ialah orang yang menguasai Mazhab Syafie. Beliau membuka pondok pengajian untuk melahirkan masyarakat yang berilmu.

Wali Songo berpandangan, ada adat yang tidak bertentangan dengan syariat boleh diteruskan manakala adat yang bertentangan dengan syariat, mereka mengubahnya secara perlahan-lahan.

Sebahagian Wali Songo berdakwah menggunakan perantaraan wayang kulit, gamelan dan persilatan.

Ini bagi memastikan kesucian Islam tidak tercemar dengan bidaah dan pada masa sama mampu menarik minat masyarakat untuk mendalami agama Islam.

Begitulah penuh rahmah dan hikmahnya dakwah Wali Songo. Masyarakat Nusantara sememangnya lembut dan berseni sejak zaman dahulu.

Kerana itu nenek moyang kita dahulu dengan mudah menganut agama rahmat ini.

Jika Wali Songo berdakwah dengan pelbagai cara yang kreatif dan berhikmah, maka tidak hairanlah mengapa masyarakat Nusantara kini amat menyukai budaya berzanji, marhaban, qasidah dan lain-lain bentuk dakwah yang diselitkan dengan hiburan cara Islam.

Kedatangan ulama pendakwah itu turut menyebarkan ilmu tasawuf.

Ilmu tasawuf bertujuan membersihkan kerohanian jiwa dan membentuk akhlak iaitu adab insaniah sehingga terbinanya peradaban seperti ketamadunan kerajaan Islam silam.

Penulis penuntut tahun akhir Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute (UniKL MFI)

Disiarkan pada: March 22, 2019 @ 2:03pm
d