addin

Sikap lemah lembut akhlak terpuji

Oleh Kembara Mukmin

Kelembutan hati yang ada pada diri manusia itu bertujuan untuk memperindahkan akhlaknya.

Lembut tidak bererti kita lemah. Lihat pada sifat air yang lembut, ia mampu memadamkan api.

Malah, air yang lembut juga boleh menjadi tsunami yang dahsyat sehingga menghancurkan serta merosakkan satu kawasan atau negeri.

Maka, orang bersikap lemah lembut dan mampu mengendalikan diri daripada nafsu marah, melakukan kekasaran serta kezaliman terhadap orang lain adalah individu yang sangat hebat.

Sama juga halnya dalam kehidupan sebuah keluarga. Ibu bapa yang bersikap emosional dan mudah marah termasuk dalam golongan yang lemah kerana gagal mengawal diri.

Manusia memang mudah berasa tersinggung dan tidak berpuas hati. Namun, paling penting adalah berusaha mengendalikan diri supaya tidak melakukan perbuatan buruk.

Sebab itu, antara sifat yang melengkapkan kesempurnaan zat, kemuliaan serta keperibadian akhlak Nabi Muhammad SAW adalah sifat lemah- lembut yang ada dalam diri Baginda.

Istilah lemah-lembut itu adalah akhlak Nabi SAW ketika menghadapi kerenah manusia yang kufur, syirik, munafik, benci dan pelbagai lagi tindak balas terhadap Baginda SAW.

Baginda akan menghadapinya dengan lemah- lembut iaitu dia bersabar atas setiap kerenah dan kejahatan orang yang tidak suka kepada Baginda.

Ibnu Abbas meriwayatkan, Rasulullah SAW pernah berkata kepada al-Asyjij: “Kamu mempunyai dua sifat yang membuat Allah SWT dan rasul-Nya suka: Lemah-lembut dan murah hati.” (Riwayat Muslim)

Cuba kita lihat orang yang sedang marah, bagaimana wajah dan suaranya ketika bercakap? Mukanya, suaranya tersangkut-sangkut sehingga menyebabkan tingkah lakunya menjadi semakin tidak terkawal.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Surah Ali Imran, ayat 133-134)

Allah SWT memerintahkan hamba-Nya menjadi orang yang mudah memaafkan dan berlapang hati. Itu persiapan yang luar biasa kerana manusia sentiasa berurusan dengan pelbagai tabiat manusia.

Dalam sejarah, terdapat banyak peristiwa mempamerkan sikap lembut Rasulullah SAW. Antaranya, Rasulullah SAW memaafkan pembunuh bapa saudaranya, Hamzah bin Abdul Mutalib.

Hamzah dibunuh oleh Wahsyi bin Harb ketika Perang Uhud. Beberapa tahun selepas itu, Rasulullah SAW berjaya menguasai Kota Makkah, Wahsyi melarikan diri ke Thaif.

Ramai penduduk Thaif ketika itu memeluk Islam atas pengaruh Baginda yang cukup hebat dan kuat.

Perkembangan itu menyebabkan Wahsyi berasa bimbang sehingga dia merancang untuk pergi ke Syam, Yaman dan negeri lain.

Bagaimanapun, belum sempat dia berbuat demikian, ada orang menyatakan Rasulullah SAW tidak akan membunuh orang yang memeluk Islam.

Mendengar perkara itu, Wahsyi merasa tenang dan mengambil keputusan menghadap Rasulullah di Madinah.

Wahsyi mengucap syahadah di hadapan Rasulullah SAW. Baginda kemudian memintanya menceritakan bagaimana dia membunuh Hamzah.

Selepas selesai menceritakan semuanya, Baginda menyuruh Wahsyi pergi. Dalam sirah menyatakan, Wahsyi selalu bersembunyi supaya Baginda tidak melihatnya.

Jelas kepada kita keistimewaan yang ada pada diri Rasulullah SAW walaupun Wahsyi membunuh bapa saudaranya dengan begitu kejam sekali.

Disiarkan pada: March 26, 2019 @ 9:13am
d