addin

Tak tahan dipukul suami

Oleh Suriany Awaludin

 

Apakah hukum seorang isteri bertindak lari meninggalkan rumah kerana tidak tahan dengan kelakuan suami yang kaki pukul?

Kami sudah berkahwin hampir dua tahun dan ada seorang anak.

 Suami panas baran dan perkara itu saya sedari sejak kami belum berkahwin lagi.

Pernah sebelum berkahwin, saya mahu memutuskan perhubungan, namun dia berkali-kali merayu dan tidak mahu kami berpisah selain berjanji akan mengubah perangainya itu.

 Malangnya, selepas berkahwin sudah banyak kali dia tengking, marah serta mengeluarkan kata-kata kesat terhadap saya tidak kira tempat walaupun ketika berada di khalayak ramai.

Yanie,

Kota Tinggi, Johor

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Surah Ar-Rum, ayat 21)

Perkahwinan yang dianjurkan Islam adalah berasaskan mawaddah dan rahmah.

Tujuan penyatuan di antara seorang lelaki dengan wanita adalah untuk saling mengasihi, saling melengkapi antara satu sama lain serta tempat berkongsi segala kisah suka dan duka.

Kedua-dua unsur iaitu mawaddah dan rahmah itu lahir daripada jiwa dan roh pernikahan. Jika salah satu elemen semakin lenyap dalam kehidupan berumah tangga, suami atau isteri perlu berusaha menyuntik kembali perhubungan mereka dengan nilai kasih sayang di samping memastikan tanggungjawab suami isteri dilaksana sebaiknya.

Berhubung masalah rumah tangga puan diuji perangai suami yang panas baran serta tidak mampu mengawal emosi memang amat mengecewakan isteri.

Jelas suami puan belum mampu memahami falsafah perkahwinan dan membiarkan dirinya dikawal emosi. Lebih buruk lagi, dia tergamak memukul puan sedangkan dia sendiri gagal mengambil langkah sewajarnya seperti disarankan Islam.

Seboleh-bolehnya puan perlu banyak bersabar. Namun, jika tidak mampu lagi menahan kekecewaan atau sebarang tindakannya sehingga boleh memudaratkan keselamatan, puan boleh memilih untuk memohon pembubaran perkahwinan secara talak atau fasakh.

Sekiranya suami berterusan memukul dan mengherdik isteri, itu satu tindakan yang boleh mendatangkan kemudaratan fizikal dan bukan fizikal. Ia satu kezaliman yang amat dibenci Islam.

Selain itu, saya menasihatkan puan turut membuat laporan kepada pihak polis dan pejabat agama Islam.

Jika puan ada mengalami kecederaan fizikal akibat dipukul suami, puan juga dinasihatkan membuat pemeriksaan serta rawatan perubatan di klinik atau hospital.

Semua dokumen berkaitan kezaliman suami sehingga menyebabkan puan ingin mengambil tindakan keluar dari rumah itu adalah satu pembelaan kepada diri dan ia boleh digunakan di peringkat permohonan cerai nanti.

Justifikasi tindakan puan adalah untuk menjaga keselamatan diri daripada terus dizalimi suami.

Selain itu, seandainya isteri didapati ingkar terhadap suami atau melakukan sebarang kesalahan tidak disenangi suami, selagi ia tidak bertentangan dengan syariat, hukum syarak menyediakan kaedah atau prosedur paling baik untuk menanganinya.

 Firman Allah dalam Surah An-Nisaa’, ayat 19 yang bermaksud: “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.”

Ayat itu menjelaskan prosedur yang perlu dilakukan suami dalam menyelesaikan sebarang konflik dalam rumah tangga. Seorang isteri perlu dinasihati terlebih dahulu.

Sekiranya usaha itu gagal, suami perlu pisahkan tempat tidurnya dan jika masih tidak berjaya, suami dibenarkan untuk memukul isterinya.

Bagaimanapun, pukulan yang dibenarkan syarak bukan bertujuan untuk menyakitkan, sebaliknya pukulan itu untuk memberi pendidikan kepada si isteri.

Penulis ialah peguam syarie

Disiarkan pada: March 28, 2019 @ 8:56am
d