addin

Hargai keharmonian

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

DALAM sesebuah negara, Perlembagaan adalah elemen sangat penting untuk membawa hala tuju serta memacu kehidupan seluruh rakyat aman dan sejahtera.

Perlembagaan sesebuah negara digubal sebagai petunjuk kepada semua pihak bagaimana sesebuah negara ditadbir urus.

Demikian juga dengan Malaysia yang perlembagaannya digubal sebelum kemerdekaan lagi seharusnya dijadikan pedoman.

Seluruh rakyat perlu sentiasa akur dan patuh kepada Perlembagaan negara. Antara perkara yang perlu dihayati ialah berkenaan kedudukan agama rasmi negara iaitu agama Islam.

Sudah termaktub dalam perlembagaan, Islam diiktiraf sebagai agama persekutuan. Namun begitu, ia tidak sesekali bermakna agama-agama lain tidak boleh diamalkan.

Penganut agama lain masih tetap dibenarkan menjalankan aktiviti keagamaan masing-masing secara aman tanpa sebarang gangguan selagi tidak menimbulkan hal yang menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.

Bagaimanapun, kini sudah ada segelintir masyarakat bukan Islam berani bertindak mempamerkan sikap kurang harmoni terhadap masyarakat Islam.

Antaranya, ada pihak membuat provokasi jelik di media sosial terhadap anutan masyarakat Islam seperti menghina junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Media sosial juga sudah menjadi medan memporak-perandakan keharmonian masyarakat dengan mencetuskan sesuatu isu berbaur perkauman dan penghinaan terhadap agama lain.

Hanya dengan berpegang kepada sikap saling hormat-menghormati sahaja akan menjadikan sesebuah negara kekal dalam keadaan dan sejahtera.

Islam sejak awal pengajaran Baginda SAW lagi sudah menetapkan, melakukan sebarang bentuk provokasi terhadap anutan agama lain sangat ditegah.

Meskipun Islam adalah agama kebenaran, ia tetap tidak mengizinkan penganutnya berbuat sewenang-wenangnya terhadap penganut agama lain tanpa hak yang benar.

Dalam Surah Al-An’am, ayat 108, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mencaci sembahan yang mereka sembah selain Allah kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampau batas tanpa pengetahuan.”

Sebab itu, dalam sejarah kehidupan Rasulullah SAW bersama sahabat Baginda dahulu, langsung tidak ada sebarang penghinaan terhadap masyarakat agama lain sebaliknya urusan dan pendekatan dakwah dilaksanakan melalui saluran yang cukup berhemah.

Demikian juga ketika era pemerintahan kerajaan Islam Madinah yang diterajui empat sahabat Baginda SAW.

Mereka mengikuti jejak yang ditinggalkan Rasulullah SAW tanpa menyinggung mana-mana masyarakat bukan Islam.

Sebab itu, penyebaran Islam ketika itu begitu cepat dan mudah diterima masyarakat lain kerana dasar penyebaran Islam begitu berhemah dan tidak mempamerkan sikap sombong dan keras.

Sejarah menunjukkan sikap masyarakat Islam sangat terpuji pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad al-Fateh.

Baginda berjaya menguasai Kota Rom Timur, Konstantinopel tanpa bertindak kejam ke atas masyarakatnya yang tertawan atau merosakkan premis ibadat agama Kristian.

Masyarakat Konstaninopel yang beragama Kristian diberikan kebebasan untuk tetap kekal dalam agama mereka anuti selagi mereka taat dan patuh kepada kerajaan Islam.

Sultan Muhammad al-Fateh melarang keras tenteranya membinasakan rumah ibadat penganut agama Kristian.

Itu adalah bukti yang sudah terpahat dalam sejarah dan tiada sesiapapun dapat menafikan betapa Islam dan penganutnya sangat patuh kepada setiap ajaran Islam.

Keadaan itu sangat kontra dengan apa yang dila-kukan tentera Rom atau ketika tentera Tartar menyerang Kota Baghdad.

Sejarah pasti tidak dapat melupakan betapa kejamnya tentera Tartar membunuh masyarakat Islam tanpa batasan.

Lebih daripada itu, bahan khazanah ilmu seperti buku juga turut menjadi mangsa kekejaman mereka.

Sungai Furat di lembah Kota Baghdad dikatakan hitam airnya lantaran banyak buku dihumban ke dalam aliran sungai berkenaan.

Konflik antara penganut agama juga turut berlaku pada zaman moden ini. Beberapa negara memberikan kita penyaksian apabila masyarakatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama bertelagah, maka negara itu tidak akan aman lagi.

Suasana itu tentunya menyebabkan rakyat keseluruhannya menjadi mangsa. Sangat penting bagi pihak pemerintah untuk menangani permasalahan isu ‘panas’ seperti menghina agama lain dengan pantas dan cekap.

Usah dibiarkan isu sensitif berbaur penghinaan kepada penganut agama lain, apatah lagi terhadap masyarakat Islam menjadi ‘api dalam sekam’ yang akan menyemarakkan kemarahan.

Undang-undang tegas perlu segera digubal demi kesejahteraan hidup rakyat jelata supaya kekal harmoni.

Masyarakat bertamadun tinggi tidak menghina agama lain. Sebaliknya, mereka sentiasa mahu hidup saling hormat-menghormati sekalipun berbeza bangsa, agama dan juga budaya.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Disiarkan pada: April 9, 2019 @ 9:45am
d